[VIDEO] Atlet angkat berat remaja perempuan India maut patah tengkuk dihempap barbel 270kg


  • Benua
  • Khamis, 20 Feb 2025

Tangkap layar video memaparkan Yashtika (kanan) maut apabila sebatang rod barbel seberat 270 kilogram terjatuh ke atas lehernya ketika sesi latihan di sebuah gim di India pada Selasa.

SEORANG atlet remaja perempuan, yang juga pemenang pingat emas dalam Sukan Kebangsaan Junior India, maut apabila sebatang rod barbel seberat 270 kilogram terjatuh ke atas lehernya ketika sesi latihan di sebuah gim di daerah Bikaner, Rajasthan dekat India pada Selasa.

Mangsa, Yashtika Acharya, 17 tahun, mengalami kecederaan parah apabila beban berat itu menimpa lehernya, mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Insiden itu disahkan oleh Ketua Pegawai Penyiasat (SHO) Balai Polis Naya Shahar, Vikram Tiwari.

BACA LAGI: [VIDEO] Terlebih berani hulur makanan sambil usap buaya 'mangsa banjir', warga emas hampir maut dibaham

BACA LAGI: [VIDEO] Warga emas hidap skizofrenia maut, kaki tersadung dirempuh kenderaan ketika lintas jalan di Mexico

"Mangsa segera dibawa ke hospital selepas kejadian berlaku, namun doktor mengesahkan Yashtika meninggal dunia ekoran daripada kecederaan parah," kata Tiwari kepada media pada Rabu.

 

 

 

 

Menurutnya, kejadian berlaku ketika jurulatih Yashtika yang tidak didedahkan namanya sedang membimbingnya mengangkat beban berat dalam latihan.

Namun, mangsa dilihat terjatuh sebelum barbel berkenaan menghempap kepala Yashtika.

Jurulatih itu turut mengalami kecederaan ringan akibat insiden berkenaan.

Setakat ini, keluarga mangsa tidak membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut. Mayat Yashtika telah diserahkan kepada keluarganya selepas selesai proses bedah siasat.

Terdahulu, tular satu video sejak Rabu memaparkan tragedi malang yang menimpa Yashtika.

Insiden tragis itu menimbulkan persoalan mengenai langkah keselamatan di gim serta protokol latihan bagi atlet muda, khususnya dalam sukan angkat berat yang berisiko tinggi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram