
SEORANG remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun sudah ditahan polis bagi membantu siasatan kes cabul kanak-kanak di Masjid Jamek Sungai Masin dekat Batang Kali, Selangor pada awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung video yang tular kejadian itu di media sosial pada pukul 8.19 pagi.
"Suspek berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Sabtu untuk dipohon reman.
"Pada masa sama, maklumat yang boleh dikongsikan hanya berdasarkan kenyataan media kerana polis tertakluk mengikut Akta Kanak-kanak 2001 yang menitikberatkan privasi mangsa dan keluarganya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI : [VIDEO] Saf wanita khusyuk solat, tak perasan lelaki buat onar terhadap budak dalam masjid di Batang Kali
Terdahulu, tular di laman media sosial memaparkan seorang suspek cuba membuat perkara tidak senonoh terhadap seorang budak perempuan dalam kejadian di sebuah masjid di Batang Kali, kira-kira pukul 6.40 pagi Jumaat.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika beberapa penduduk setempat sedang menunaikan solat subuh di masjid berkenaan.
Secara tiba-tiba, seorang lelaki berbaju kuning memasuki ruang solat wanita dan dilihat mendukung sebelum melarikan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang solat di bahagian belakang saf.
Dalam rakaman tersebut, turut dilihat, lelaki berkenaan kemudian membawa kanak-kanak itu ke ruang yang lain dan didakwa cuba melakukan perkara terkutuk ke atas mangsa.
Tindakan tidak bermoral tersebut berjaya dirakam televisyen litar tertutup yang dipasang di beberapa sudut di dalam masjid berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram