Rakan lihat mangsa terjatuh, tak sedarkan diri tercekik gummy eye ball — Polis


  • 112
  • Khamis, 20 Feb 2025

Mohamad Fahmi (kanan) kini dilaporkan masih belum sedarkan diri dan dalam keadaan kritikal di Hospital Pulau Pinang.

ORANG awam diminta tidak mensensasikan kes seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang kini kritikal di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami sesak nafas dipercayai tercekik gula-gula gummy eye ball pada Selasa.

Tegas Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, ini kerana ia dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak polis.

Katanya, polis menerima laporan yang dibuat oleh guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sekolah Kebangsaan Sungai Dua dekat Butterworth, Pulau Pinang berhubung kejadian terbabit kira-kira pukul 12.49 tengah malam Rabu.

BACA LAGI : 'Gummy mata macam 'slime', lekat pada baju', insiden budak kritikal tercekik gula-gula di George Town jadi iktibar ibu bapa

BACA LAGI : [VIDEO] Atlet angkat berat remaja perempuan India maut patah tengkuk dihempap barbel 270kg

"Laporan dibuat susulan pelajar lelaki terbabit dijumpai terbaring di koridor menuju ke tandas.

"Hasil siasatan mendapati saksi kejadian iaitu rakan mangsa memaklumkan mereka berdua dalam perjalanan ke tandas.

"Mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum saksi meminta bantuan guru kelas untuk membantu mangsa. Pihak sekolah memberikan bantuan pernafasan namun gagal sebelum menghubungi Hospital Seberang Jaya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Anuar lagi, pegawai kesihatan kemudiannya berjaya mengorek dan mengeluarkan coklat dari mulut mangsa namun pelajar itu didapati masih tidak sedarkan diri.

Terdahulu, Majoriti melaporkan mangsa, Mangsa, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, sebelum itu didakwa rebah dan tidak sedarkan diri ketika sedang menjalani pembelajaran di sekolahnya. 

Berdasarkan hantaran dikongsikan ibu saudaranya di Facebook Fara Hani, Mohamad Hafiz kini berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Pulau Pinang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram