[VIDEO] Gagal lolos dikejar JPJ, pemandu bawa lori ala 'GTA' ditahan lepas rempuh rumah orang awam di Melaka


  • Tular
  • Rabu, 19 Feb 2025

Tangkap layar seorang pemandu lori berjaya ditahan pihak JPJ selepas cuba melarikan diri di Melaka baru-baru ini.

SEORANG pemandu lori bertindak nekad memecut kenderaannya secara berbahaya dalam usaha melarikan diri daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebelum akhirnya terbabas dan merempuh sebuah rumah di kawasan perumahan di Melaka.

Dalam kejadian yang tular di media sosial pada Rabu itu, lelaki tersebut dipercayai enggan memberhentikan kenderaannya selepas diarahkan berbuat demikian oleh pegawai JPJ yang sedang menjalankan operasi pemantauan di sebuah lokasi. 

Sebaliknya, dia bertindak agresif dengan memandu secara melulu, menyerupai aksi dalam permainan video popular ‘Grand Theft Auto’ (GTA).

BACA LAGI: [VIDEO] Terlebih berani hulur makanan sambil usap buaya 'mangsa banjir', warga emas hampir maut dibaham

BACA LAGI: [VIDEO] Warga emas hidap skizofrenia maut, kaki tersadung dirempuh kenderaan ketika lintas jalan di Mexico

Beberapa video yang dikongsi oleh pengguna media sosial menunjukkan lori berkenaan dipandu secara berbahaya di jalan utama, memintas kenderaan lain serta nyaris melanggar pengguna jalan raya.

 

 

 

 

Cubaan lelaki itu untuk menghilangkan jejak akhirnya gagal apabila lori yang dipandunya terbabas lalu merempuh rumah seorang penduduk.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut, namun pemilik rumah mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan kediamannya.

Pemandu lori itu berjaya ditahan pihak berkuasa dengan bantuan orang awam.

Namun, setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak melakukan tindakan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram