"Kita banyak bakat dan sumber di Malaysia', bekas jurutera jelita idam tubuh akademi latih bakat, kemahiran kraf kulit anak tempatan


  • Bizz
  • Jumaat, 10 Jan 2025

Salah satu matlamat jangka panjang Hana Fedora adalah untuk menubuhkan sebuah akademi kraf. — Instagram/hanafedora

BERMULA dengan cita-cita untuk menjadi pensyarah selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik di peringkat pascasiswazah, Hana Fedora Abdul Aziz kini menempa nama dalam dunia kraf kulit.

Perjalanan Hana Fedora berubah arah selepas beberapa tahun bekerja sebagai jurutera, apabila dia mula merasakan keinginan untuk menceburi sesuatu yang lebih kreatif.

Ketika menetap di United Kingdom (UK) pada 2018 bersama suami dan tiga anaknya, wanita ini menemui minat baharu dalam kraf kulit.

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung

Dia turut mendaftar di London College of Fashion untuk mengasah kemahirannya.

“Saya memuat naik hasil kerja secara dalam talian dan rakan-rakan mula bertanya sama ada saya boleh membuat beg untuk mereka.

"Dari situlah perniagaan ini bermula,” jelas Hana Fedora.

Trends cover shoot with Hana Fedora, leather artisan and designer for Star Trends.  (September 20 2024) — ART CHEN/The Star(JUNE 26  2024) — ART CHEN/The Star # Metro Backpages

Hana Fedora mendaftar di London College of Fashion untuk mengasah kemahirannya.

Bagaimanapun, ketika pandemik Covid-19 melanda, keluarganya berpindah ke Taiwan dan menyebabkan perniagaannya terhenti seketika.

Namun, semangat usahawan ini tidak luntur. Pada Januari 2024, perniagaan kraf kulitnya kembali beroperasi di Kuala Lumpur.

Kini selepas setahun, populariti produknya terus meningkat. Bukan sahaja beg kulit tempahan khas, dia juga menghasilkan produk siap sedia yang boleh dibeli secara dalam talian.

“Kraf kulit membantu menemui semula sisi kreatif saya. Walaupun seorang yang ekstrovert, bekerja di ruang yang tenang memberikan kepuasan yang mendalam," ujarnya.

Salah satu matlamat jangka panjang Hana Fedora adalah untuk menubuhkan sebuah akademi kraf kerana dia merasakan terdapat banyak bakat dan potensi di Malaysia.

Jelasnya, dia sentiasa berminat dalam bidang pendidikan dan kemahiran yang dimiliki memberikan peluang untuknya melatih individu lain.

"Saya rasa rugi kerana kita mempunyai banyak bakat dan sumber di Malaysia tetapi kebanyakan syarikat fesyen cenderung mengupah tenaga kerja dari China atau Indonesia.

"Kita boleh bangunkannya dan mungkin suatu hari nanti orang akan datang kepada kita pula. Ia adalah matlamat jangka panjang dan saya sedar untuk beberapa tahun pertama, kami mungkin tidak menjana keuntungan," katanya yang kini mempunyai lima artisan di bawah latihannya.

Hana Fedora turut berkongsi bagaimana program fesyen yang diikutinya memainkan peranan penting dalam mendalami ilmu kraf kulit.

"Belajar daripada profesional membantu saya memahami sifat unik setiap jenis kulit.

"Ada yang kasar, lembut atau sangat nipis, semuanya memerlukan cara pengendalian berbeza," jelasnya.

Dia juga menekankan kepentingan teknik seperti vegetable tanning, yang menggunakan tannin semula jadi untuk memproses kulit.

Berbanding chrome tanning yang bergantung pada bahan kimia, teknik ini lebih mesra alam dan sejajar dengan nilai kelestarian jenamanya.

Kelestarian nilai utama

Menurutnya, kelestarian adalah teras utama perniagaannya. Ramai tidak sedar bahawa kulit vegan yang dianggap lestari sebenarnya plastik dan masih boleh merosakkan alam sekitar.

Sebaliknya, produk yang dihasilkan Hana Fedora menggunakan kulit sebagai hasil sampingan daripada industri daging.

"Kami mendapatkan kulit lembu menggunakan proses lebih mesra alam berbanding menghasilkan plastik," tambahnya.

Kurang kebergantungan luar

Untuk memastikan kualiti produk, bahan utama diperoleh daripada penyamak kulit ternama di Eropah dan UK, yang telah berkecimpung dalam industri ini selama beratus tahun.

"Kulit berkualiti tinggi ini juga digunakan oleh jenama seperti Hermes dan Goyard," ujarnya.

Bagaimanapun, peralatan yang digunakan diambil dari China, yang terkenal dengan pengeluaran alat berkualiti tinggi.

Semua produk dihasilkan sepenuhnya di studio miliknya di Malaysia.

Pengasas ini percaya bahawa rakyat Malaysia perlu menghasilkan produk tempatan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber luar.

"Jika kita tidak boleh mengakses sumber luar, kita masih boleh terus beroperasi kerana semuanya dibuat di Malaysia," katanya dengan penuh keyakinan.

Snapinsta.app_472178975_18477279325024557_3336605528007301846_n_1080

Semua produk dihasilkan sepenuhnya di studio miliknya di Malaysia. — Instagram/hanafedora

Mengimbangi keluarga dan kerjaya

Dalam menguruskan perniagaan dan keluarga, Hana Fedora mengakui dia juga berdepan cabaran dari segi menyeimbangkan antara keluarga dan kerjaya.

"Saya tidak bekerja mengikut jadual biasa 9 pagi hingga 6 petang. Saya mula bekerja seawal pukul 8 pagi dan berhenti pada 3.30 petang untuk mengambil anak-anak dari sekolah," katanya.

Perancangan harian yang teliti menjadi kunci untuk menyelesaikan tugas tepat pada masanya.

"Ia memerlukan perancangan rapi untuk apa yang perlu dilakukan hari ini, apa yang perlu dipotong dan sebagainya," jelasnya.

Dengan komitmen terhadap kelestarian, keunikan reka bentuk dan usaha menghasilkan produk berkualiti tinggi, jenama milik Hana Fedora bukan sahaja menonjol sebagai inspirasi dalam industri kraf kulit tempatan tetapi juga simbol kemahiran dan kreativiti rakyat Malaysia. — The Star/NASA MARIA ENTABAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram