[VIDEO] Bisnes ikan tilapia tak bawa untung, pencinta alam kelahiran Sabah tawar inap desa dengan landskap hijau di Hulu Langat


  • Bizz
  • Isnin, 06 Jan 2025

Lereng Tanah menawarkan pemandangan landskap bukit hijau dengan panorama menakjubkan.

KECINTAAN terhadap alam semula jadi mencetuskan inspirasi buat Seri Rahayu Samsudin untuk mengambil langkah unik dengan membina kediaman berkonsepkan semula jadi.

Lereng Tanah Farmhouse (Lereng Tanah), lokasi penginapan yang terletak di puncak bukit di Hulu Langat, Selangor, menawarkan pemandangan landskap bukit hijau dengan panorama menakjubkan di atas ufuk.

Pemiliknya, Seri Rahayu yang mesra disapa Ayu percaya bahawa hubungan dengan persekitaran alam dapat meningkatkan kesejahteraan diri serta memberikan rasa tenang dan harmoni kepada penghuninya.

BACA LAGI: Dari kecil jarang masuk dapur, bekas juruukur bahan kini miliki 'central kitchen' sendiri bekalkan kek sekitar Lembah Klang

BACA LAGI: Ketepi rasa malu, bekas 'cleaner' hospital tawar servis cucian cermin profesional sekitar Johor

Justeru, wanita berusia 51 tahun ini memilih untuk membuka pintu rumahnya kepada dunia luar, menjadikannya sebuah ruang penginapan buat tetamu yang rindu akan kedamaian alam.

Menjalankan perniagaan sebagai hos di syarikat Airbnb sejak Jun 2021, Ayu pada awalnya diajak oleh seorang rakan yang turut sama menyewakan hartanah miliknya kepada pelancong.

"Inspirasi untuk membina rumah berkonsepkan alam semula jadi datang dari penghargaan mendalam saya terhadap persekitaran.

"Saya sememangnya seorang pencinta alam dan berusaha untuk menggabungkan elemen semula jadi ke dalam ruang hidup bagi mewujudkan suasana yang harmoni," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-12-26 at 08.50.35 (2)

Memiliki tiga cahaya mata memerlukan Ayu menempah penginapan yang selesa ketika melancong bersama keluarga.

Bermula dengan ikan tilapia

Bercerita lanjut, ahli perniagaan tersebut mengakui, menguruskan rumah tamu sendiri memberinya peluang untuk memperoleh keuntungan di samping menguruskan keluarga.

Fleksibiliti itu menjadi antara faktor wanita itu memulakan peranannya sebagai hos di Airbnb.

Bagaimanapun kongsinya, kawasan penginapan tersebut pada awalnya bermula sebagai sebuah ladang ternakan ikan tilapia pada 2016.

"Namun apabila keuntungan tidak seperti yang diharapkan, kami membuat keputusan untuk beralih kepada perniagaan lain.

"Justeru pada 2021 kami telah memberhentikan operasi pembiakan (ikan) dan membina bilik untuk inap desa yang diinspirasikan daripada inap desa milik rakan baik saya di Janda Baik, Pahang.

"Sementara ikan-ikan yang ada disediakan untuk tetamu Airbnb yang berminat dengan aktiviti memancing," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-12-24 at 15.39.40 (1)

Inap desa ini sesuai untuk keluarga besar yang mempunyai bilangan anak ramai.

Jelas Ayu, Lereng Tanah menawarkan konsep unik yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan keselesaan rumah.

Tersembunyi antara kehijauan alam semula jadi yang subur, destinasi klasik itu hanya 45 minit pemanduan dari Kuala Lumpur, sesuai untuk mereka yang ingin lari daripada kesibukan bandar.

"Di sini, anda akan rasa seperti berada di rumah sendiri tanpa perlu membawa apa-apa dan pada masa sama dapat menikmati suasana alam semula jadi.

"Dikelilingi hutan simpan yang memukau dengan pemandangan hijau mendamaikan, pasti memberikan pengalaman menenangkan untuk setiap tetamu," katanya yang pernah mengambil kursus dalam bidang psikologi kanak-kanak dan kecacatan.

WhatsApp Image 2024-12-24 at 15.38.25 (1)

Inap desa ini dikelilingi hutan simpan yang memukau dengan pemandangan hijau mendamaikan.

Pengguna setia Airbnb

Berbicara mengenai Airbnb pula, tambah wanita yang dilahirkan di Sabah itu lagi, dia dan keluarganya sendiri merupakan pengguna tegar platform penyediaan penginapan popular itu.

Memiliki tiga cahaya mata memerlukan dirinya menempah penginapan yang selesa dan sesuai ketika melancong bersama keluarga.

"Saya sendiri pengguna Airbnb kerana saya ada anak-anak. Jadi, apabila kami melancong, kami selalu menempah Airbnb.

"Ketika membuka inap desa ini, saya berhasrat menyediakan pengalaman yang sama untuk pelanggan, khususnya keluarga besar yang mempunyai bilangan anak ramai," katanya.

fa5cb319-fddb-42c5-8761-0a1c0384c137

Lereng Tanah menawarkan konsep unik yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan keselesaan rumah.

Ketika ditanya mengenai pengalaman bekerjasama dengan Airbnb, anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui dirinya berpuas hati terhadap sokongan yang diberikan.

Jelasnya, platform berkenaan sangat menitikberatkan pada setiap ulasan dan penilaian yang diterima.

"Kita tak perlu buat banyak, cuma pastikan tempat bersih dan pelanggan akan beri ulasan yang baik.

"Airbnb juga menyediakan banyak sumber untuk membantu kita mencapai standard yang diinginkan," ujar Ayu.

97f8becf-9b70-4cf5-8690-594a039a089a

Di Lereng Tanah, tetamu akan berasa seperti berada di rumah sendiri tanpa perlu membawa apa-apa.

Tetamu pelbagai latar belakang

Menjadi hos katanya, bukan sahaja membantu menjana pendapatan, malah memberi kesan yang mendalam terhadap hidupnya.

Tambah Ayu lagi, pengalaman bertemu pelbagai tetamu dari latar belakang dan budaya yang berbeza membuka ruang kepada sesi pembelajaran dan pertukaran idea.

"Setiap tetamu membawa cerita tersendiri dan dari situ saya dapat belajar banyak perkara baharu, sama ada tentang budaya atau cara mereka melihat dunia.

"Rutin harian saya juga berubah. Saya perlu lebih teratur dalam memastikan inap desa ini sentiasa dalam keadaan terbaik untuk menerima tetamu," tuturnya.

Bagi pencinta alam ini, peranan sebagai hos Airbnb bukan sahaja tentang menyediakan penginapan, tetapi juga membina hubungan dan mencipta pengalaman yang bermakna untuk kedua-dua pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram