[VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang


  • Bizz
  • Selasa, 06 Ogos 2024

Nur Aina Mardhia mengimpikan untuk membina sebuah kedai berunsurkan seni sejak dari bangku sekolah lagi.

KESEIMBANGAN simetri ditambah variasi warna dan corak pada rama-rama boleh menyentuh hati setiap mata yang memandang.

Bagi pelukis, Nur Aina Mardhia Mohd Esmadi, unsur kontra yang diwakili setiap satu daripada serangga paling cantik di dunia itu mampu diterjemahkan kepada pelbagai definisi.

Itu menjadi antara faktor wanita berusia 30 tahun itu memilih rama-rama sebagai trademark dalam setiap karya seninya.

BACA LAGI: Dari ditipu hingga pelanggan lari antara payah jerih selama 18 tahun suami isteri bina empayar Reka Teemor

BACA LAGI: Sanggup lupakan hobi kumpul setem, simpan emas jauh lebih lumayan

Bercerita dengan nada yang teruja, Nur Aina Mardhia berkata, serangga bersayap empat itu juga memberi gambaran bahawa manusia adakalanya perlu mencari ruang untuk bertenang seketika saat diuji dengan dugaan hidup.

"Saya memilih rama-rama kerana ia juga boleh disimbolikkan sebagai fairy. Rama-rama juga mempunyai debu pada sayap yang dipanggil pixie dust.

"Ia tidak boleh terbang pada waktu hujan, jadi metaforanya boleh dikatakan kadang kala kita perlu masa untuk bertenang sebentar pada hari yang mencabar," katanya kepada Majoriti.

Jelas graduan lulusan Ijazah Sarjana Seni dalam jurusan Art Business and Fine Art dari Claremont Graduate University, California, Amerika Syarikat (AS) itu, simbol transformasi pada rama-rama juga menambah kecintaannya terhadap spesies tersebut.

Membawa maksud yang mendalam, bagi anak kelahiran Batu Gajah, Perak itu, rama-rama juga boleh melambangkan kelahiran semula, harapan, takdir dan tuah yang dapat dihubung kaitkan dengan kehidupan manusia.

"Jadi lukisan rama-rama sebagai simbolik untuk sesiapa sahaja yang terdetik mahu berputus asa agar tidak mudah menyerah," ujarnya yang turut aktif mengetengahkan lukisan berkonsepkan glow in the dark.

Berkongsi tentang kedai berasaskan seni yang dibuka pada 3 Ogos lalu, pengasas Thinking On Box Studio (TOB) itu berkata, premis yang terletak di pusat beli-belah komuniti kreatif (GMBB) Jalan Robertson, Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu memfokuskan pada jualan produk dan perkhidmatan seni seperti hasil lukisan, galeri mini dan bengkel.

Jelasnya, walaupun kedai baru dibuka pada minggu lalu, namun perniagaannya sudah mula ditubuhkan pada tahun 2021 dan didaftarkan pada tahun berikutnya.

Snapinsta.app_453844595_7844310489012981_1792297285475470263_n_1080

Premis yang terletak di GMBB Bukit Bintang itu memfokuskan pada jualan produk dan perkhidmatan seni. — Instagram/thinkingonboxstudio

Nur Aina Mardhia memberitahu, tekad untuk menjalankan perniagaan bermula selepas dia diberhentikan kerja sewaktu penularan Covid-19 di Malaysia.

Bagaimanapun anak sulung daripada empat beradik itu mengakui, dia sememangnya mengimpikan untuk membina sebuah kedai berunsurkan seni sejak dari bangku sekolah lagi.

"Setelah membuat pertimbangan, saya memutuskan untuk membuka kedai dengan bantuan seorang lagi rakan. Alhamdulillah, mungkin rezeki dalam bidang yang saya betul-betul minat sejak dulu.

"Meskipun masih baharu, ramai juga yang sudah mula bertanya tentang kami dan kebetulan kedai ini juga dibuka selaras dengan pelancaran GMBB," jelasnya yang pernah berkecimpung dalam bidang pemasaran.

WhatsApp Image 2024-08-05 at 21.36.47

Nur Aina Mardhia

Sepanjang lebih dua tahun mengendalikan perniagaan tersebut, Nur Aina Mardhia mengakui, perjalanan bisnes itu ada turun naiknya.

Katanya, tidak dinafikan pada tahun pertama berniaga, dia dan rakan turut berdepan risiko kewangan yang tidak menentu.

"Sebelum ada kedai, kita biasa akan buka tapak di mana-mana acara sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, memang akan ada masa yang kita tidak dapat pulangan modal pun.

"Misalnya, jualan paling sikit pernah kami pernah dapat RM35 sahaja pada hujung minggu sdangkan kos sewa tapak cecah ratusan ringgit.

"Kita terpaksa tampung semula dengan menjual secara dalam talian atau buat kerja sambilan," ujarnya sambil menambah bahawa setiap dua minggu kedainya akan mempamerkan produk seni daripada artis yang berbeza-beza.

WhatsApp Image 2024-08-05 at 21.54.25

Rama-rama menjadi trademark dalam kebanyakan karya seni dihasilkan Nur Aina Mardhia.

Dia menambah, walaupun terpaksa menanggung risiko tidak menentu, usaha membuka tapak di pelbagai lokasi lebih memudahkan mereka untuk mendapat penaja dan kenalan baharu, seterusnya menyebarkan kesedaran terhadap industri seni kepada orang awam.

"Tahun demi tahun jenama kami semakin meraih sambutan hingga akhirnya kami mampu membuka kedai sendiri," tuturnya lagi.

Orang ramai yang berminat untuk mengunjungi premis milik Nur Aina Mardhia boleh layari Instagram Thinking On Box Studio bagi mendapatkan maklumat lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram