KOLEJ Universiti Lincoln (LUC) pada Selasa mengumumkan kerjasama strategik dengan Cengild G.I. Medical Centre melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan memperkukuh pendidikan dan latihan dalam bidang kejururawatan.
Langkah itu merupakan satu usaha penting ke arah menjadikan institusi pengajian tinggi swasta itu sebagai pusat rujukan dan hab utama bagi melahirkan tenaga pakar kejururawatan terlatih di Malaysia.
Kerjasama tersebut melibatkan tiga fokus merangkumi tiga komponen utama.
BACA LAGI: Ketepi rasa malu, bekas 'cleaner' hospital tawar servis cucian cermin profesional sekitar Johor
Ia termasuk penajaan pelajar diploma kejururawatan, yang mana pihak Cengild akan menyediakan biasiswa kepada pelajar yang layak di bawah perjanjian ditetapkan.
Seterusnya, bagi latihan klinikal dan penggunaan fasiliti hospital, pelajar akan mendapat pendedahan praktikal di hospital di bawah pengurusan Cengild untuk memastikan mereka memenuhi keperluan Lembaga Kejururawatan Malaysia.
Selain itu, kerjasama tersebut juga merangkumi penggunaan identiti jenama hospital untuk tujuan promosi pengambilan pelajar dan pembangunan latihan.
Amin (duduk, kiri) dan Thilashiny (duduk, kanan) ketika menandatangi MoU antara LUC dengan Cengild G.I. Medical Centre.
LUC sebagai sebahagian daripada tanggungjawab di bawah MoU tersebut akan memastikan pelajar mematuhi etika profesional semasa latihan klinikal.
Kolej itu juga akan bekerjasama dengan Cengild dalam menyelaraskan jadual latihan serta menyimpan rekod akademik pelajar.
Di samping itu, LUC akan memastikan insurans mencukupi untuk melindungi pelajar dan staf semasa tempoh latihan klinikal.
Naib Presiden Hal Ehwal Korporat dan Serantau Kolej Universiti, Amin Mohd Shukor berkata, kerjasama itu adalah langkah strategik untuk menjadikan LUC sebagai pusat kecemerlangan dalam menyediakan tenaga kejururawatan berkemahiran tinggi.
"Melalui gabungan pendidikan berkualiti dan pengalaman praktikal, kami yakin dapat menyumbang pada keperluan tenaga kerja sektor kesihatan negara.
"Sebagai rakan kongsi, Cengild komited memastikan pelajar bukan sahaja mendapat pendidikan berkualiti tetapi juga pengalaman industri yang relevan.
"Pusat perubatan ini akan memantau perkembangan akademik pelajar secara berkala dan menyediakan insurans bagi melindungi keselamatan awam serta liabiliti hospital sepanjang tempoh MoU,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Selain Amin, antara yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Operasi Lincoln University, Aslin Hafiza Ali; Pengarah Klinikal dan Kolaborasi program Kejururawatan dan Sains Kesihatan Gunaan, Razlyn Amieza Aron; Pengurus Sumber Manusia Cenglid G.I Medical Centre, Thilashiny Letchumanan dan Pengarah Kejururawatan, Ewe Boon Lay.
Dengan termeterainya MoU itu, LUC dan Cengild berharap dapat melahirkan generasi baharu jururawat yang mampu memberikan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh bidang kejururawatan selain menyumbang kepada pembangunan sektor kesihatan di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram