BERMULA sebagai bisnes backup, seorang usahawan tidak menyangka perniagaan tudung yang dijalankan sekitar tiga tahun lalu kini berkembang menjadi antara jenama baharu pilihan warga kota.
Pada awalnya, pemilik jenama tudung, BELLERY, Muhammad Ashraf Hashim memutuskan untuk memulakan jualan hijab kerana ingin membantu kakitangannya bertahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau yang juga memiliki perniagaan perancang perkahwinan memberitahu, bisnesnya itu turut tidak terkecuali menerima impak akibat pandemik yang melanda seluruh negara bermula penghujung 2019.
BACA LAGI: Penduduk Tanjung Tualang sepakat tukar tanah terbiar jadi ladang salad
Butik BELLERY yang terletak di Lotus’s Mutiara Damansara.
Sebagai 'kepala kantor', lelaki berusia 35 tahun tersebut pastinya memikul amanah begitu besar demi menjaga kebajikan kakitangan yang berada di bawah jagaannya pada ketika itu.
Memandangkan aktiviti sosial dan keramaian, termasuk majlis perkahwinan, pertunangan serta resepsi antara aktiviti terakhir yang dibenarkan berlangsung, Muhammad Ashraf tahu, dirinya perlu memikirkan jalan lain untuk membantu kelangsungan hidup pekerjanya dalam tempoh sukar.
Disebabkan aktiviti perniagaan dalam talian mula mencatatkan peningkatan begitu ketara sekitar tahun 2021, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu akhirnya nekad memulakan perniagaan tudung, selepas perbincangan dibuat bersama pasukannya.
"Walaupun kerajaan mula melonggarkan kebenaran untuk merentas negeri, majlis keramaian adalah antara yang terakhir dibenarkan, sedangkan itulah mata pencarian utama kami.
"Ketika itulah kami sesama pasukan berdiskusi hingga tercetusnya idea memulakan bisnes ini. Tudung adalah salah satu produk wanita dan kita tahu kuasa membeli daripada golongan tersebut sangat tinggi," katanya kepada Majoriti.
BELLERY menghasilkan hijab dengan harga mampu milik namun tampak eksklusif. — Instagram/bellery.co
Kongsi beliau, sebelum BELLERY dilancarkan, pihaknya mengambil masa hampir dua bulan untuk membuat persediaan dari segi pemilihan produk, penjenamaan dan pemasaran.
Meskipun memiliki perniagaan sendiri sebelum ini, Muhammad Ashraf mengakui, dirinya berdepan cabaran apabila terpaksa melangkah ke dalam industri tudung tanpa sebarang pengalaman, apatah lagi perlu menerokai dunia yang agak asing bagi kaum Adam.
"Semuanya bermula daripada kosong termasuk urusan penjenamaan, kajian pasaran, pemilihan vendor, strategi pemasaran dan sebagainya.
"Namun saya bersyukur dikurniakan pasukan terdiri daripada anak-anak muda yang mempunyai dedikasi dan semangat yang tinggi untuk mendalami bisnes jenis ini," katanya yang kini menetap di Kota Damansara, Selangor.
Menghasilkan hijab dengan harga mampu milik namun tampak eksklusif kini menjadi keutamaan Muhammad Ashraf.
Jelas graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Rekabentuk Produk) dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu lagi, beliau juga memilih perniagaan tersebut berdasarkan keyakinan dan kemampuan dalam menghasilkan tudung dengan rekaan yang menarik serta tersendiri, selain melihat kepada permintaan dan saiz pasarannya
"Kebolehan menyediakan rekaan tudung mengikut idea sendiri turut menjadi kelebihan buat jenama ini semakin dikenali.
"Menggunakan jenama sendiri, kami tampil dengan produk fesyen yang berkualiti dari segi rekaan, material, jahitan dan bungkusan eksklusif dengan harga berpatutan," kata anak kelima dari lapan beradik itu.
Fadhlina juga antara pelanggan yang pernah menggunakan tudung jenama BELLERY.
Justeru tidak hairanlah jika pembeli BELLERY kini merangkumi pelbagai peringkat umur dan status sosial.
Lebih membanggakan Muhammad Ashraf, tudung keluaran syarikat Bellery Sdn Bhd juga menjadi pilihan orang kenamaan termasuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang pernah menggayakannya ketika menghadiri acara penting.
"Menteri Pendidikan juga merupakan salah seorang pelanggan kami. Beliau sangat menyukai rekaan dan kualiti tudung BELLERY.
"Ini juga membuktikan walaupun jenama ini masih baharu, BELLERY mampu menarik pelbagai pelanggan untuk mencuba tudung kami," ceritanya dalam nada teruja.
Muhammad Ashraf dalam pada itu turut memberitahu, butik BELLERY kini beroperasi di dua lokasi iaitu di The Curve dan Lotus’s Mutiara Damansara.
"Alhamdulillah kami juga dalam perancangan untuk membuka satu lagi cawangan di Bandar Baru Bangi, Kajang, yang dijangka dilancarkan pada Oktober tahun ini," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram