[VIDEO] Satu-satunya pembekal di Yan, 'cendoi' hasil tangan Nur Farhanis ketengah resipi asli orang lama


  • Bizz
  • Rabu, 08 Jan 2025

Sehingga kini, Nur Farhanis mengekalkan keaslian rasa cendol menggunakan resipi warisan orang lama.

MENGETENGAHKAN keaslian resipi sebagai identiti utama, Nur Farhanis Azhan terus meraih perhatian masyarakat khususnya di utara tanah air, dengan produk cendol buatannya.

Berkongsi kepada Majoriti, perniagaan yang kini menghasilkan keuntungan sekitar RM12,000 sebulan itu bermula dari bisnes kecil-kecilan bekas suami sebelum dia mengambil alih sepenuhnya pada 2022.

Menurut usahawan berusia 29 tahun itu, dia sebelum ini bekerja di sebuah kilang selama lebih dua tahun, sementara bekas suami berniaga cendol bersama keluarganya.

BACA LAGI: Dari kecil jarang masuk dapur, bekas juruukur bahan kini miliki 'central kitchen' sendiri bekalkan kek sekitar Lembah Klang

BACA LAGI: [VIDEO] Bisnes ikan tilapia tak bawa untung, pencinta alam kelahiran Sabah tawar inap desa dengan landskap hijau di Hulu Langat

WhatsApp Image 2025-01-07 at 12.41.07

Nur Farhanis menghasilkan cendol 100 peratus asli menepati cita rasa orang dulu-dulu.

"Namun ia hanya tertumpu kepada jualan di pasar malam dan pasar minggu.

"Meskipun pada awalnya tidak terlibat secara langsung, saya juga sudah terbiasa dengan proses pembuatan cendol tersebut,” katanya.

Keadaan bagaimanapun berubah apabila bekas suaminya berpindah ke Kuala Lumpur untuk membantu kakaknya menguruskan bisnes lain.

@lensakamal Indah pemandangan Gunung Jerai. Hijau, saujana mata yang memandang sehijau daun pandan hehe Hi hampa! Nak kongsi sikit cendoi favourite. Kalau tak pernah try cendoi klasik ori pandan, hampa kena try tau. Pembekal dia orang local kita ja, dia buat sendiri nah. Salah satu pembekal best dilubuk hati saya kerana cendoi dia dihijauni 100% wangian pandan. Cendoi tradisional sedap, boleh pi beli kat kedai dia di Batu 18 (vendor meknis depan deretan kedai) Owner cendoi dia pun comei oooo hahaha #cendol #kampung ♬ Gurindam Jiwa - Salim Violin

Mengakui 'sayang' melepaskan bisnes cendol kepada pemilik lain, Nur Farhanis memutuskan untuk berhenti kerja di sebuah kilang pembuatan ubat batuk di Alor Setar dan mula mengambil alih perniagaan tersebut.

“Ketika kami masih (bergelar) suami isteri, dia (bekas suami) tinggalkan bisnes ini kepada saya dan saya memang nekad untuk teruskan.

"Sebelum ini pembuatan cendol dilakukan di rumah bekas mentua, namun agak sukar sebenarnya untuk menjalankan operasi di rumah.

"Jadi saya memohon sebuah kedai di bawah Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) di kawasan Gurun untuk memulakan operasi kilang kecil," ujarnya yang berpisah dengan bekas suami pada tahun lalu selepas hampir 10 tahun mendirikan rumah tangga.

Untitled design (22)

Kilang milik usahawan ini berjaya menghasilkan sekitar 200 kg cendol dalam tempoh sehari.

Satu-satunya pembekal

Selepas perniagaan bertukar tangan, ibu kepada seorang cahaya mata berusia tujuh tahun ini tahu, penambahbaikan perlu dilaksanakan jika mahu bisnes itu berkembang dan dipandang.

Sehubungan itu, bermodalkan kira-kira RM3,000, Nur Farhanis mengembangkan perniagaannya dari hanya menjual cendol kepada membekalkan produk tersebut buat pemborong, restoran dan katering di sekitar kawasan tersebut.

Menjadi satu-satunya pembekal cendol di daerah Yan, perniagaannya mula meraih perhatian banyak pihak, dengan kilang yang terletak di Fama Guar Chempedak itu berjaya menghasilkan sekitar 200 kilogram (kg) cendol dalam tempoh sehari.

WhatsApp Image 2025-01-07 at 10.49.35

Setiap proses pembuatan cendol dilakukan secara teliti bagi memastikan rasa dan kualiti produk berada pada tahap terbaik.

Berbicara lanjut mengenai keistimewaan cendol buatannya, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, sehingga kini dia mengekalkan keaslian rasa resipi warisan orang lama.

Kongsinya, setiap proses pembuatan cendol dilakukan secara teliti bagi memastikan rasa dan kualiti produk berada pada tahap terbaik.

"Selain wangi bau daun pandan, cendol yang dihasilkan di sini menggunakan santan kelapa, bukan santan sawit.

"Jadi rasanya memang 100 peratus asli menepati cita rasa orang dulu-dulu. Untuk lebih sedap saya cuma tambah pulut sahaja," jelasnya yang turut berniaga secara harian di sebuah gerai dekat kawasan Batu 18 dengan menu cendol biasa dan pulut.

WhatsApp Image 2025-01-07 at 11.14.54

Nur Farhanis turut berniaga cendol secara harian di sebuah gerai dekat Batu 18.

Dalam tempoh dua tahun, perniagaan wanita berasal dari Kampung Teroi, Guar Chempedak itu berkembang secara pesat dengan kini memiliki empat pekerja tetap yang membantunya memenuhi permintaan harian.

Bagi ibu tunggal ini, semangat dan dorongan keluarga memainkan peranan penting dalam membina semula kehidupannya selepas perceraian.

“Saya bersyukur kerana dapat memulakan sesuatu yang lebih besar daripada apa yang ditinggalkan.

"Dengan niat untuk membesarkan anak dan membantu keluarga yang lain, saya percaya usaha serta doa akan membawa kami lebih jauh,” katanya menutup perbualan dengan penuh yakin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram