MENCARI tukang emas dalam kalangan usia muda di Malaysia kini dianggap 'mustahil' oleh pengusaha barang kemas mewah.
Situasi ini memaksa mereka untuk beralih kepada teknologi pencetakan logam 3D dan kecerdasan buatan (AI) untuk memenuhi permintaan pasaran.
Bagaimanapun, walaupun teknologi ini dapat menghasilkan karya seni yang rumit, ia masih belum mampu menandingi hasil seni buatan tangan yang dihasilkan oleh tukang emas berpengalaman.
BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung
Pemilik rangkaian kedai barang kemas mewah, Amee Philips berkata, meskipun mesin pencetak logam 3D yang dikuasakan AI dapat menghasilkan potongan terperinci dan tepat, ia masih gagal meniru sentuhan unik yang diberikan oleh kepakaran manusia.
Menurutnya, terdapat reka bentuk dan elemen seni yang hanya mampu dihasilkan oleh tukang emas mahir.
"Mesin pintar boleh membuat potongan yang sangat tepat, tetapi ada reka bentuk yang hanya tukang emas berpengalaman kami yang boleh cipta.
"Mesin tidak dapat meniru segala aspek seni yang dihasilkan dengan tangan,” jelasnya yang menubuhkan kedai barang kemas mewah di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura pada 2002.
Menjadi tukang emas yang mahir memerlukan masa bertahun-tahun serta dedikasi dan kesabaran yang tinggi.
Lepasi umur persaraan
Masalah tersebut semakin kritikal kerana kebanyakan tukang emas yang bekerja dengan Philips telah berkhidmat selama beberapa dekad, namun hampir kesemua mereka sudah melepasi umur persaraan.
“Saya rasa mustahil untuk mencari tukang emas muda di Malaysia dan ini adalah isu yang sedang kami kaji dengan serius,” akuinya.
Dia juga menyatakan bahawa Malaysia mengeksport hampir RM8 bilion barang kemas emas setiap tahun, namun generasi muda kini kurang berminat untuk menguasai seni tukang emas.
Jelas Philips, menjadi tukang emas yang mahir memerlukan masa bertahun-tahun serta dedikasi dan kesabaran yang tinggi.
"Ganjarannya yang baik tidak cukup untuk menarik golongan muda untuk menceburi bidang ini," ujarnya.
Walaupun tukang emas muda masih wujud di negara-negara seperti Thailand, Indonesia, India dan Sri Lanka, Philips mengakui, untuk membawa mereka ke Malaysia sebagai pekerja asing mahir adalah sukar, memandangkan kebanyakannya tidak memiliki sijil formal, walaupun telah berlatih bertahun-tahun.
Antara mesin pencetak model barang kemas yang terdapat di pasaran.
Gaji rendah
Dalam menghadapi kekurangan tenaga kerja mahir ini, industri barang kemas di Malaysia semakin menerima penggunaan pencetakan logam 3D dan kecerdasan buatan.
Teknologi ini membolehkan penghasilan barang kemas yang rumit, namun Philips percaya karya buatan tangan masih mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak dapat ditandingi oleh mesin.
“Bagi mereka yang benar-benar mencintai barang kemas, mereka akan mengenali dan mengagumi karya buatan tangan kerana ia adalah hasil seni yang sebenar,” tambah Philips.
Masalah kekurangan tukang emas ini bukanlah isu baharu.
Penasihat Persatuan Tukang Emas Pulau Pinang, Dr Joeson Khor menyatakan bahawa fenomena itu telah berlarutan selama lebih 20 tahun.
Pada masa lalu, golongan muda kurang berminat untuk menceburi industri ini kerana pengeluaran manual yang perlahan dan gaji yang rendah.
Seiring dengan itu, banyak kilang barang kemas mula menggunakan mekanisasi dalam skala besar, yang seterusnya mengurangkan keperluan untuk kepakaran manusia.
Selain itu, teknologi mekanikal juga membolehkan pengeluaran barang kemas emas lebih ringan untuk mengurangkan kos, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh tenaga kerja manual.
Walaupun laporan rasmi menunjukkan bahawa eksport barang kemas Malaysia meningkat, jelas Joeson, peningkatan tersebut adalah disebabkan oleh kenaikan harga emas sebanyak dua kali ganda dalam tempoh lima tahun terakhir.
Perkembangan itu membawa kepada peningkatan hasil yang ketara.
Namun, prestasi perniagaan barang kemas di Malaysia masih tidak sebaik yang diharapkan. — The Star/ARNOLD LOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram