SEORANG lelaki mendakwa dipukul, dikurung dalam bilik dan diugut oleh dua lelaki kerana menghamilkan ahli keluarga suspek di Tawau, Sabah pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa berusia 27 tahun diarahkan untuk ke rumah suspek di Kampung Merotai Besar, Tawau.
Jasmin berkata, mangsa mendakwa bahawa bapa kepada teman wanitanya mengarahkan untuk masuk ke dalam bilik sebelum pintu dikunci.
Katanya, bapa dan abang teman wanita mangsa juga didakwa menumbuk, memukulnya menggunakan tali pinggang serta mengugutnya dengan pedang samurai.
"Mangsa juga mendakwa suspek menekap lengannya menggunakan seterika panas sehingga melecur.
"Lelaki itu pada awalnya menerima mesej WhatsApp daripada teman wanitanya yang memberitahu bahawa dia hamil dan mesej kedua pada Selasa lalu dan memintanya pergi ke rumahnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, selepas diserang dan diugut, mangsa mengambil langkah keluar dari rumah dengan memecahkan tingkap sebelum berlari meminta bantuan penduduk kampung lain.
Susulan itu, laporan polis dibuat dan pada pukul 10.30 malam hari sama sebelum dua lelaki berusia 30 dan 64 tahun serta seorang wanita berusia 25 tahun berjaya ditahan.
Pada masa sama, polis turut merampas sebatang besi, telefon pintar dan sebilah pedang samurai.
"Orang ramai digesa supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes itu kerana siasatan terhadap kes jenayah itu masih diteruskan," tambahnya. — The Star/STEPHANIE LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram