[VIDEO] Melawan hukum alam berniaga Nasi Lemak Kangkung RM2 'portion' menimbun, Zila pernah kena 'sapu' PBT tapi kini sudah miliki kedai sendiri


  • Bizz
  • Sabtu, 21 Dis 2024

Zila dapat membuka kedai Nasi Lemak Kangkung Marvelous yang beroperasi di Taman Danau Kota itu berkat sumbangan modal daripada anak-anaknya.

BERMULA dengan menjual nasi lemak menggunakan beras biasa pada harga RM2, Mazila Mahadir kini menjadi sebutan ramai dengan kelainan nasi lemak kangkung berharga RM2 yang disajikan menggunakan beras basmati.

Walaupun bisnes nasi lemak itu sudah beroperasi lebih 20 tahun, baru-baru ini, usahawan nasi lemak yang mesra disapa Kak Zila itu mencipta fenomena viral di media sosial menerusi kelazatan dan 'portion' nasi lemaknya.

Pada mulanya, dia hanya menggunakan beras biasa tetapi lama-kelamaan dia mencuba beras basmati yang lebih sedap dan jimat.

BACA LAGI: 'Peribadi rendah diri Sultan Ibrahim buat kami tenang', pemilik generasi ke-3 restoran asam pedas Lee besar hati kerabat diraja jadi pelanggan setia

BACA LAGI: Satu kampung pernah 'down' sebab harga rendah, wanita Kota Belud susun strategi jana pendapatan komuniti dengan serbuk koko

"Walaupun beras basmati lebih enak, saya tetap jual pada harga RM2 kerana mahu pelanggan berasa puas hati," ujarnya kepada Majoriti.

Zila yang merupakan anak jati Melaka itu difahamkan sudah pun menjual nasi lemak sejak umur 30 tahun lagi menggunakan resipi milik ibunya dengan ala masakan kampung.

Dia yang kini berusia 50 tahun, mengusahakan bisnes itu sejak anak-anaknya masih kecil lagi.

Berkongsi perjalanan hidupnya, Zila yang gemar menjamah nasi lemak sejak kecil berkata, hidangan itu membuatkan dirinya bersemangat untuk menjual menu kegemaran ramai itu kerana berpendapat ia tidak sama dengan air tangan sendiri.

Tambahnya, arwah ibunya dulu memang menjual nasi lemak namun sudah pun berhenti dan hal itu membuatkan dirinya menyambung legasi bisnes juadah tersebut.

"Saya tidak pernah berhenti jual nasi lemak sepanjang berniaga ini tetapi sekarang saya menggunakan beras yang lebih berkualiti dan mengekalkan kelainan nasi lemak kangkung yang menjadi trademark saya.

469110824_122189879420231442_1045715712336718941_n

Nasi lemak kangkung RM2 menjadi tarikan ramai sehingga ada menerima tempahan untuk majlis kahwin.

"Orang Melaka memang gemar menggunakan kangkung dalam nasi lemak mereka, jadi sebab itu nasi lemak saya dijual begini di Kuala Lumpur," katanya.

Siapa sangka, bisnes yang dimulakan secara kecil-kecilan dengan menjual nasi lemak di tepi jalan itu kini kian berkembang pesat.

Selain di Taman Danau Kota, Zila membuka kedai Nasi Lemak Kangkung Marvelous di gerai LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur sebagai salah satu strategi untuk memperkenalkan hidangan itu kepada lebih ramai orang.

"Saya jual nasi lemak hanya berharga RM2 dengan portion makanan yang memang banyak seperti dalam video tular.

"Saya tidak rasa rugi kerana pelanggan yang datang akan memesan lauk tambahan dan pelanggan sering datang berulang kali, jadi dari situ saya dapat sambutan yang menggalakkan dan dapat menampung kos operasi," tambah Zila.

Selain tarikan nasi lemak, menu lain yang turut popular di kedainya adalah asam pedas yang dihidangkan dengan ikan pari, ikan merah dan daging tetel.

"Asam pedas ini memang menjadi tarikan utama, sebelum ini pelanggan datang untuk makan nasi lemak tetapi sekarang asam pedas saya pun semakin dikenali," jelasnya.

Bercerita dengan penuh semangat, Zila berkongsi dia biasanya akan mula menyiapkan semua hidangan bermula pukul 3 pagi dan akan membuka kedai 6.30 pagi.

Berkongsi cabaran yang dilalui sepanjang 20 tahun berniaga, Zila mengakui pernah melalui waktu sukar terutama ketika berniaga di tepi jalan.

"Dulu, saya terpaksa bergaduh dengan pihak berkuasa yang bertindak merampas dan 'sapu' (rampas) peralatan seperti payung dan meja gerai.

"Namun, saya tetap tabah dan terus berusaha, Alhamdulillah sekarang bisnes semakin berkembang.

433273546_122116279178231442_7682533456616705286_n

Masakan asam pedas daging tetel antara tarikan pelanggan yang datang berkunjung ke kedai Zila.

"Walaupun sudah lama berniaga dengan menjual pada harga mampu milik di samping niat mahu sedekah, masih ramai lagi pelanggan yang datang," katanya.

Tambahnya, dia juga mendapat banyak permintaan ramai bagi tempahan Nasi Lemak Kangkung RM2 untuk perniagaan catering bagi majlis-majlis perkahwinan khususnya.

Menurut Zila, dia tidak pernah terfikir untuk berhenti berniaga kerana cinta terhadap masakan dan keseronokan melihat pelanggan puas hati dengan makanannya.

"Memang ada cabaran dan dugaan tetapi saya percaya dengan rezeki yang ALLAH berikan, dan sebab itu saya tetap teruskan juga.

"Saya turut melibatkan anak-anak dalam bisnes apabila mereka banyak menyumbang tenaga terutama dalam menguruskan kedai dan memasarkan nasi lemak ini.

"Mereka juga yang menyarankan agar saya membuka kedai dan memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook dan TikTok untuk memperkenalkan produk saya kepada lebih ramai orang," tambahnya.

Tambahnya, dia dapat membuka kedai Nasi Lemak Kangkung Marvelous yang beroperasi di Taman Danau Kota itu hasil sumbangan modal daripada anak-anaknya.

Zila kini memiliki dua cucu dan tidak pernah berhenti berusaha untuk mengembangkan bisnes miliknya.

"Saya suka masak dan itu adalah kunci kejayaan saya.

"Saya juga selalu memasak dengan hati yang ikhlas, sebab itu pelanggan suka dan terus datang," katanya yang aktif mempromosikan Nasi Lemak Kangkung Marvelous di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram