PENGGUNAAN motosikal elektrik kini mula mendapat perhatian di Malaysia, iaitu satu perkembangan dilihat seiring dengan kemajuan pasaran kenderaan elektrik (EV) di dalam negara.
Perubahan tersebut adalah selari dengan usaha kerajaan bagi mengurangkan jejak karbon dan menangani isu pencemaran udara.
Sebagai negara dengan jumlah motosikal agak tinggi, peralihan kepada motosikal elektrik dilihat sebagai langkah positif ke arah kelestarian alam sekitar dan penjimatan kos, selain turut memberi impak besar dalam sektor pengangkutan.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Bagaimanapun, kemajuan dalam penggunaan motosikal elektrik didapati agak ketinggalan berbanding kereta.
Situasi itu antara lain berkemungkinan berpunca daripada kekurangan penawaran, ketersediaan infrastruktur dan ditambah dengan penetapan harga bahan api yang masih berada di paras rendah.
Pada masa sama, tahap pencemaran udara di Malaysia yang masih terkawal juga menyebabkan penunggang di dalam negara masih selesa menggunakan motosikal di atas jalan raya.
Antara motosikal elektrik yang mula memasuki pasaran di Malaysia.
Situasi ini sama sekali berbeza dengan keadaan di negara jiran dekat Malaysia iaitu Vietnam.
Di ibu kotanya Hanoi yang berdepan dengan isu pencemaran udara, pemandu teksi, Phung Khac Trung menunggang motosikal elektriknya melalui jalan yang sesak dengan kenderaan dua roda terbabit mengeluarkan asap toksik.
Trung, 19, adalah salah seorang pekerja generasi-Z yang semakin banyak menggunakan motosikal elektrik di negara terbabit.
Di Vietnam, terdapat lebih 77 juta motosikal digunakan di atas jalan raya dengan sebahagian besarnya menggunakan petrol.
Sebuah motosikal elektrik berharga murah kini boleh didapati dengan harga serendah AS$500 (RM2,213).
Bagaimanapun, isu yang membelenggu penggunaan motosikal elektrik termasuk masa lama diambil di stesen pengecasan menyebabkan masih ramai pihak sukar meninggalkan tabiat lama.
Sejak sekian lama, Trung sememangnya tidak mempunyai pengalaman baik ketika menunggang motosikal di Hanoi yang dinilai antara 10 ibu kota tercemar di dunia pada 2023 oleh firma teknologi kualiti udara, IQAir.
Keadaan udara 'begitu tidak tertanggung oleh pengguna motosikal', kata Trung yang bekerja sebagai pembawa teksi motosikal sebelum memohon ke universiti.
Di Vietnam, terdapat lebih 77 juta motosikal digunakan di atas jalan raya dengan sebahagian besarnya menggunakan petrol. — Gambar hiasan
“Apabila berhenti di simpang tiga, satu-satunya keinginan saya adalah untuk melanggar lampu merah. Bau petrol sangat busuk,” katanya selepas syif waktu pagi yang sibuk.
Lebih dua pertiga daripada asap beracun yang menyelubungi Hanoi untuk sebahagian besar tahun ini disebabkan oleh kenderaan petrol, kata pihak berkuasa bandar raya tahun lalu.
Bank Dunia meletakkan angka itu pada 30 peratus.
Pihak berkuasa Vietnam mengarahkan agar satu perempat daripada kenderaan dua roda di seluruh negara mesti menggunakan elektrik menjelang 2030 untuk membantu memerangi krisis udara.
Pada 2023, hanya 9 peratus daripada kenderaan roda dua yang dijual adalah elektrik, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, walaupun jumlah itu hanya ketinggalan di belakang China yang mempunyai kadar penggunaan tertinggi.
Kos pengendalian yang rendah dan harga murah menarik minat pelajar, yang menyumbang 80 peratus daripada pengguna kenderaan dua roda elektrik di Vietnam, kata penganalisis pengangkutan Truong Thi My Thanh.
Tetapi bagi pemandu yang lebih berusia, keadaan itu menyebabkan adalah lebih sukar untuk mengubah tabiat mereka.
Penjual buah-buahan Tran Thi Hoa, 43, telah menunggang motosikal petrol selama lebih dua dekad dan tidak berniat untuk menukarnya.
“Motor petrol sangat mudah. Saya hanya mengambil masa beberapa minit untuk mengisi bahan bakar itu.
"Saya tahu motosikal elektrik baik untuk alam sekitar dan boleh membantu saya menjimatkan petrol tetapi saya terlalu biasa dengan apa yang saya ada," kata Hoa.
Bowen Wang, pakar pengangkutan mapan kanan di Bank Dunia, memaklumkan dalam satu sidang media bulan ini, bahawa syarikat penghantaran dan teksi, serta pemandu luar bandar boleh mendapat manfaat menerusi peralihan dilakukan.
Mereka biasanya memandu dengan jarak yang lebih jauh daripada pengguna bandar. Di situlah pertukaran ke kenderaan elektrik adalah kritikal," ujarnya.
Thanh menekankan bahawa Hanoi juga mesti menerima pengangkutan awam di samping kenderaan elektrik jika ia mahu mengurangkan kesesakan trafik.
Dengan peningkatan kos bahan api, ia akan mendorong lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan motosikal elektrik sebagai pengangkutan utama berbanding motosikal biasa yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara. — Gambar hiasan
"Tetapi jika peralihan kepada elektrik tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya isu Hanoi, pertumbuhan pemilikan memberikan satu harapan", kata Thanh.
Di Malaysia, keperluan peralihan kepada penggunaan motosikal elektrik berkemungkinan akan lebih meningkat selepas kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api khususnya RON95.
Dengan peningkatan kos bahan api, ia akan mendorong lebih ramai rakyat Malaysia bagi menggunakan motosikal elektrik sebagai pengangkutan utama berbanding motosikal biasa yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram