[VIDEO] Coklat nise, juadah legenda Kelantan buka rezeki buat Roziah tarik minat warga Brunei, Ireland


  • Bizz
  • Sabtu, 21 Dis 2024

Roziah berkata, proses pembuatan coklat nise memerlukan kesabaran dan ketelitian. 

COKLAT nise, juadah legenda masyarakat Kelantan terus kekal popular walaupun pengeluarannya semakin berkurangan dek kurangnya minat dalam kalangan generasi muda untuk menceburi bidang pembuatan manisan tradisional ini.

Roziah Hussein, 59, seorang usahawan manisan yang meneruskan legasi itu berkata, penghasilan coklat nise adalah satu tugas yang mencabar, apatah lagi perniagaannya hanya beroperasi dari dapur rumah.

Wanita ini bagaimanapun tidak keseorangan, dia turut dibantu anak kelimanya, Ros Amira Romli.

BACA LAGI: 'Tauke tak malu lap meja makan', bekas kontraktor terokai sektor F&B lepas hampir 3 dekad dalam dunia pembinaan

BACA LAGI: Gabung piza dan kopi 'culture', 4 usahawan muda ada rahsia pilih doh NY, sasar buka 108 cawangan Mokk

“Saya belajar kemahiran membuat manisan ini daripada ibu, Limah Jinal, 80, yang mengusahakan coklat nise selama hampir 40 tahun di Kampung Beris Panji, Kota Bharu.

“Saya mula membantu ibu sejak kecil dan mengambil alih perniagaan ini lebih sedekad lalu apabila ibu jatuh sakit.

"Namun kini saya terpaksa mengusahakannya dari rumah kerana kekurangan modal dan ruang khusus,” katanya.

Berkongsi tentang pembuatan, cerita Roziah, proses harian bermula seawal pukul 5 pagi untuk menghasilkan sekitar 4,000 keping atau 100 bungkusan coklat nise setiap hari bagi memenuhi permintaan pemborong, terutama peniaga di Pasar Siti Khadijah.

Menurut ibu kepada enam anak dan 13 cucu itu, bahan utama yang digunakan ialah nise kerek (gula melaka), tepung gandum, santan, kacang tanah dan sedikit garam.

“Proses pembuatan ini memerlukan kesabaran dan ketelitian. Tepung gandum dipanggang sehingga rangup sebelum diayak, manakala kacang tanah dikupas kulitnya dan digoreng.

"Gula nise pula dicairkan selama hampir dua jam sebelum dicampur dengan santan dan kacang tanah,” jelasnya.

Untitled design (14)

Gula nise dicairkan selama hampir dua jam sebelum dicampur dengan santan dan kacang tanah.

Roziah menambah, setiap langkah memerlukan ketepatan kerana suhu yang tinggi terlibat. Sebarang kelewatan boleh menyebabkan sirap nise mengeras dan menyukarkan proses pembentukan.

Apabila sirap nise mencapai konsistensi yang diinginkan, ia dituangkan ke atas permukaan kayu yang ditabur tepung gandum, kemudian dibentuk menjadi segi empat panjang dan dipotong menggunakan kati atau pemotong pinang.

“Proses membungkus juga memakan masa dan memerlukan kemahiran. Setiap coklat nise akan dibungkus dengan kertas layang-layang berwarna-warni, satu tradisi yang saya kekalkan hingga ke hari ini,” katanya.

“Walaupun proses membungkus manisan ini kelihatan mudah, ia memerlukan kemahiran dan memakan masa antara empat hingga lima jam.

“Disebabkan anak-anak sibuk dengan urusan masing-masing, saya menggaji orang lain untuk proses pembungkusan dan pemasaran," ungkapnya.

Manisan ini dijual kepada pemborong pada harga RM180 untuk 50 bungkusan dan permintaannya kekal stabil, bukan sahaja di Kelantan, Terengganu, dan Kuala Lumpur, tetapi juga di negara-negara seperti Brunei dan Ireland.

Bagaimanapun, Roziah mengakui bahawa usaha untuk memodenkan perniagaan itu dengan membeli mesin khas bernilai RM20,000 pada tahun lalu tidak membuahkan hasil kerana mesin tersebut tidak sesuai digunakan.

Dalam satu pengalaman istimewa pada November 2014, Roziah dijemput untuk mempamerkan seni memotong dan membungkus coklat nise kepada delegasi dari Brunei dan Kelantan di Kampung Kraftangan bagi menunjukkan penghargaan terhadap manisan tradisional ini.

“Coklat nise ini adalah warisan keluarga yang saya harap dapat terus dipertahankan. Walaupun proses pembuatannya sukar, permintaan yang berterusan menjadi penyuntik semangat untuk saya teruskan,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram