Tak menyesal beli mesin AED RM7,000, mekanik di Penang puas hati dapat bantu mangsa serangan jantung


  • Massa
  • Sabtu, 21 Dis 2024

Augustine bersama mesin AED yang dibelinya pada harga RM7,000. — The Star

BENARLAH pepatah mengatakan 'sediakan payung sebelum hujan' yang mengingatkan manusia tentang kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan tidak dijangka amat penting.

Mengambil langkah sama, seorang sukarelawan dan ahli aktif Persatuan Bulan Sabit Merah sejak 2016, Augustine Wong, 28, sentiasa memastikan agar dia dapat menyelamatkan nyawa yang memerlukan dalam situasi kritikal.

Augustine yang juga merupakan mekanik mengambil keputusan untuk menjadi penyelamat dengan membeli mesin defibrilator luaran automatik (AED) untuk digunakan ketika waktu kecemasan khususnya buat individu terkena serangan jantung.

BACA LAGI: ChatGPT kini boleh diakses guna WhatsApp, cuma ramai kecewa info terhad setakat 2022, hanya kenal PM Ismail Sabri Yaakob

BACA LAGI: Berani bersuara, penduduk Venice Hill buktikan sikap ambil tahu penduduk berjaya 'lawan' caj MF melampau

defibrillator-809447_1920-e1597218379893

Mesin AED yang dapat membantu individu terkena serangan jantung. — Gambar hiasan/Agensi

Keputusan itu ternyata tidak sia-sia kerana dia berjaya menyelamatkan nyawa seseorang enam bulan lalu menggunakan mesin AED yang berharga RM7,000 yang dibelinya itu.

Kisahnya bermula pada 20 Ogos lalu apabila Augustine menerima teks dalam kumpulan mesej yang dipanggil 'GoodSam'.

Ketika itu, dia menerima khabar bahawa terdapat seorang individu rebah di gelanggang badminton di Machang Bubok, Pulau Pinang akibat serangan jantung mengejut (SCA).

Tanpa berfikir panjang, dia terus bergegas ke lokasi kejadian dengan hanya menunggang motosikal sambil membawa mesin AED miliknya.

"Ada beberapa orang secara bergilir-gilir melakukan bantuan pernafasan atau lebih dikenali sebagai Cardio-Pulmonary Resuscitaton (CPR) ke atas mangsa ketika saya tiba.

"Selepas itu, saya pula cuba lakukan CPR dan menggunakan mesin AED selama dua minit. Mangsa akhirnya mula bernafas semula,' katanya.

Mangsa yang berusia 58 tahun itu kemudiannya bertemu Augustine dan menghadiahkannya sebakul buah dan wang saku sebagai tanda terima kasih.

Untuk penjelasan lanjut, SCA sedikit berbeza daripada serangan jantung biasa kerana ia melibatkan jantung berhenti secara tiba-tiba sehingga tiada nadi dan mangsa mungkin berisiko untuk meninggal dunia.

defibrillator-3406702_1920-e1597218425753

Bantuan CPR dengan menggunakan mesin AED dapat meningkatkan kadar keberkesanan menyelamatkan nyawa seseorang. — Gambar hiasan/Agensi

Ia biasanya boleh berlaku tanpa dijangka dan biasanya tanpa amaran.

Meskipun ia terlihat berlaku dengan pantas, tindakan itu sekali gus dapat mengembalikan harapan untuk mangsa kembali hidup dengan normal dan meluangkan waktu-waktu berharga bersama keluarga mereka.

Statistik perubatan menunjukkan bahawa membantu mangsa SCA dengan CPR sahaja mempunyai kadar keberkesanan sebanyak 3 peratus hingga 5 peratus.

Manakala, CPR bersama bantuan mesin AED (alat yang berfungsi menghantar kejutan elektrik ke jantung mangsa) mempunyai 40 peratus hingga 70 peratus kadar kejayaan.

Augustine berkata, mesin AED miliknya merupakan pelaburan terbaik yang pernah dilakukannya setakat ini kerana dia percaya betapa pentingnya nilai menjadi responden pertama dengan persediaan sepenuhnya.

"Ini kali pertama saya menyelamatkan seseorang yang berada di ambang kematian.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat membantu untuk meletakkan lebih banyak mesin AED yang boleh diakses oleh orang ramai bagi digunakan oleh sesiapa sahaja dalam situasi waktu kecemasan," jelasnya.

Augustine turut menggalakkan masyarakat untuk belajar cara melakukan CPR dengan betul dan menggunakan AED agar dapat membantu menyelamatkan nyawa tersayang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram