PELAKON berpengalaman, Riezman Khuzaimi, 55, kekal relevan dalam industri perfileman tanah air biarpun lebih dua dekad berkecimpung dalam bidang itu.
Terbaharu, peranannya sebagai SAC Datuk Mizan dalam filem Takluk: Lahad Datu (2024) meninggalkan impak besar buat penggemar karya tempatan yang amat mengagumi karisma dimainkan anak jati Taiping, Perak itu.
Cukup versatil di pentas lakonan, boleh dikatakan hampir semua jenis watak pernah dilakonkan Riezman yang kini masih kekal berpenampilan kacak dengan pesona tersendiri.
Riezman (kanan) dalam filem Takluk: Lahad Datu.
Namun, dalam pada kesibukan kariernya sebagai seorang pelakon, Riezman kini menceburkan diri dalam bidang hartanah sebagai ejen perumahan di bawah syarikat IQI Global.
Jelasnya, bidang hartanah sebenarnya telah lama diceburi sejak 2011 namun atas faktor masa dan komitmen lakonan, ia terpaksa dihentikan seketika.
Atas minat mendalam terhadap bidang itu, Riezman tampil membuat kemunculan semula sebagai ejen hartanah di bawah jenamanya, Don Empire.
"Saya buat ejen hartanah ini sebenarnya dah lama dan sekarang kembali semula atas faktor minat dan nak jadikan ia sebagai karier utama selepas lakonan.
"Bukan makna tinggalkan lakonan, tapi ia akan dijadikan lebih eksklusif, saya lebih gemar diberi watak yang benar-benar berkualiti, sekali tengok orang akan ingat sampai bila-bila.
"Macam filem Takluk: Lahad Datu, orang jumpa dekat luar pun ada yang panggil Datuk Mizan, itu la watak dan skrip yang bagus, dia lebih eksklusif," katanya kepada Majoriti.
Mengidolakan Datuk Rosyam Nor sebagai individu yang bagus, Riezman mahu menjadikan ia sebagai contoh terbaik sebagai seorang pelakon.
Jelasnya, pelakon digelar 'Hero Malaya' itu cukup bijak dalam mengatur perjalanan seninya yang kemunculannya sentiasa dinanti-nantikan peminat.
"Saya nak jadi macam Rosyam Nor, walaupun dia tak banyak muncul di wayang tapi sekali dia berlakon semua peminat ternanti-nanti.
"Dia pun relevan lagi dalam industri dan ada karier lain diutamakan dalam perniagaan pasar raya dan pembekal makanan.
"Itu la yang saya sedang lakukan, aktif di laman sosial dan utamakan kerjaya lain, bidang lakonan kita jadikan eksklusif dengan watak yang berkualiti," ujarnya.
Riezman turut aktif dan kerap bersiaran langsung di laman TikTok sebagai salah satu platform untuk mendekati peminatnya.
Menubuhkan sebuah empayar di bawah jenama Don Empire, pelakon yang mesra dipanggil Abang Don di TikTok itu mengadakan kelas untuk orang ramai yang berjinak meraih pendapatan di laman tersebut.
Beberapa artis tempatan turut mengikuti kelas tersebut antaranya, Nadiah Mustafa, Nita Hamzah dan Ieda Moin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram