Pemasangan rel RTS Link bermula hujung 2024


  • Massa
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Fasa kerja seterusnya akan merangkumi pemasangan landasan, sistem isyarat, komunikasi dan kuasa tarikan.

PEMASANGAN sistem rel projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link untuk menghubungkan Johor Bahru-Singapura dijadualkan bermula pada penghujung tahun 2024 seperti yang dirancang.

Menurut satu kenyataan bersama oleh Mass Rapid Transit Corporation Malaysia (MRT Corp), Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) dan RTS Operations (RTSO), fasa kerja seterusnya akan merangkumi pemasangan landasan, sistem isyarat, komunikasi dan kuasa tarikan.

RTSO ialah usaha sama yang dibentuk pada 2020 antara pengendali rel Singapura, SMRT dan firma pengangkutan awam Malaysia, Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) untuk mengendalikan perkhidmatan rel ulang-alik rentas sempadan sepanjang 4 kilometer (km) ini.

BACA LAGI: BN siap sedia bertaruh 2 PRK DUN di DUN Kelantan, Selangor

BACA LAGI: Tak logik kalau ada negeri di Malaysia dakwa tidak pernah kena jajah — Pakar sejarah

"Lebih daripada 80 peratus kerja infrastruktur awam di pihak Singapura telah disiapkan, manakala di Malaysia mencapai 93 peratus siap," maklum kenyataan itu pada Jumaat.

Dengan jejambat laut dan darat hampir selesai, LTA bersedia untuk secara berperingkat memberikan akses kepada RTSO ke infrastruktur awam di Singapura mulai penghujung 2024.

Kerja-kerja yang masih belum selesai di Singapura, seperti kerja seni bina, jalan raya dan pemasangan sistem utama seperti pintu imigresen, akan dijalankan seiring dengan baki kerja struktur untuk sambungan rel tersebut.

Tambahan pula, kerja pembinaan untuk menghubungkan Laluan RTS ke stesen Woodlands North di Laluan MRT Thomson-East Coast, di Tingkat Bawah 1 bangunan Kastam, Imigresen, dan Kuarantin (CIQ) di Woodlands North, akan bermula pada 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram