BN siap sedia bertaruh 2 PRK DUN di DUN Kelantan, Selangor


  • Politik
  • Ahad, 23 Jun 2024

BN menyatakan kesediaan untuk bertanding di dua DUN yang ketika ini berpotensi diadakan PRK susulan terhentinya keahlian penyandangnnya daripada BERSATU. — Gambar hiasan

PADA minggu ini, isu mengenai pengosongan kerusi tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mula menampakkan perkembangan terbaharu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menjadi yang pertama mengisytiharkan kekosongan kerusi bagi DUN Nenggiri susulan daripada terhentinya keahlian penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim sebagai ahli BERSATU.

Perkara itu diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah.

BACA LAGI: Tak logik kalau ada negeri di Malaysia dakwa tidak pernah kena jajah — Pakar sejarah

BACA LAGI: Inilah masanya, Umno berpeluang rampas semula DUN Nenggiri

Mohd Nik Amar berkata, keputusan tersebut dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis daripada Mohd Azizi yang merupakan ADUN Nenggiri pada 13 Jun dan BERSATU pada 12 Jun lalu, memaklumkan mengenai kehilangan keahlian pemimpin itu.

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang merupakan salah seorang daripada tujuh wakil rakyat BERSATU yang dilaporkan terhenti keahlian selepas gagal membuktikan taat setia kepada parti.

Sebelum itu, kumpulan terbabit bertindak berpaling tadah selepas mengumumkan secara terbuka sokongan mereka terhadap Kerajaan Perpaduan.

Enam daripada mereka termasuk Mohd Azizi ialah Ahli Parlimen iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

2757163

Mohd Azizi Abu Naim

Untuk rekod, BERSATU pada Khamis memaklumkan parti itu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikosongkan.

Pada masa sama, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memaklumkan pihaknya turut sudah memberikan notis mengenai pengosongan kerusi DUN Selat Kelang kepada Speaker DUN Selangor pada Jumaat.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat dan juga Speaker DUN Selangor kedua-duanya setakat ini masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.

Sekiranya kekosongan itu benar-benar terjadi, ia bakal membawa kepada berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) di kesemua lapan kerusi berkenaan terdiri daripada enam kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.

Antara yang terawal memberikan respons mengenai perkembangan tersebut adalah Umno yang secara terbuka menyatakan kesediaan untuk bertanding mempertahankan kerusi DUN Nenggiri.

Untuk rekod, kerusi di Bawah Parlimen Gua Musang itu sememangnya secara tradisi merupakan milik Umno di Bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ia jatuh ke tangan BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada tahun lalu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu berkemungkinan meletakkan calon sekiranya PRK diadakan di Kawasan tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa calon BN hanya tewas dengan perbezaan 800 undi dalam PRN sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, walaupun BN menghormati keputusan dibuat Speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong, keputusan bakal dilakukan mahkamah berhubung status kerusi Nenggiri juga perlu dihormati.

Dalam pada itu, bagi kerusi DUN Selat Klang pula, Umno Selangor menyatakan kesediaannya bersaing di kerusi terbabit sekiranya BN dipilih mewakili Kerajaaan Perpaduan.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Johan Abd Aziz bagaimanapun berkata, keputusan mengenai perkara itu bergantung kepada pucuk kepimpinan gabungan terbabit.

Menurut beliau, BN Selangor ketika ini juga masih menunggu ketetapan yang bakal dibuat oleh Speaker DUN Selangor.

"Kalau pucuk kepimpinan putuskan BN bertanding, kita BN Selangor dan saya selaku Pengarah Pilihan Raya BN Selangor percaya kita bersedia bertanding kalau diberi mandat semula oleh pucuk pimpinan parti," katanya kepada Majoriti.

Ditanya mengenai kesediaan BN menerima penyandang kerusi terbabit, Abdul Rashid untuk bertanding di bawah gabungan itu sekiranya PRK diadakan, Johan berkata, pihaknya masih belum membuat sebarang perbincangan.

2761352

Datuk Abdul Rashid Asari

Namun, beliau berkata, BN Selangor akan mengadakan mesyuarat pada Isnin yang antara lain turut membincangkan mengenai perkara tersebut termasuk perkara mengenai pemilihan calon.

"Mungkin lepas mesyuarat itu kita akan buat satu keputusan mengenai apa yang patut kita siap sedia.

"Perbincangan mengenai hal calon juga pasti kan dibawa berbincang," katanya.

Untuk rekod, sebelum 2008, Umno di bawah BN pernah menguasai kerusi DUN Selat Klang selama lima penggal berturut-turut bermula pada 1986.

Bagaimanapun, kejatuhan BN di Selangor bermula pada 2008 yang menyebabkan gabungan itu terlepas daripada mentadbir negeri terbabit menyaksikan kerusi terbabit mula beralih kepada PAS selama dua penggal sehingga PRU 2013.

DUN terbabit kemudiannya jatuh ke tangan BERSATU pada PRU 2018 yang diwakili Abdul Rashid sebelum beliau mengekalkan kedudukannya pada PRN tahun lalu buat penggal kedua.

Pada PRN Selangor lalu, Abdul Rashid yang memperolehi sebanyak 25,143 menang dengan majoriti 8,325 undi menewaskan pesaing terdekatnya daripada Umno, Roslee Abd Hami yang mendapat 16,818 undi.

Seperti kebanyakan pemimpin BERSATU lain, Abdul Rashid juga pada asalnya merupakan ahli Umno sebelum beralih kepada BERSATU pada 2016. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram