TITAH Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini mengenai pengasingan kuasa lebih besar antara Johor dan Kerajaan Persekutuan menimbulkan kontroversi sehingga menyebabkan berlakunya perdebatan di ruangan awam mengenai perkara tersebut.
Menerusi satu program audiosiar, Tunku Ismail yang juga dikenali sebagai Tengku Mahkota Johor (TMJ) berpandangan bahawa Johor bukan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan patut dilayan sama seperti status rakan kongsi yang dinikmati Sabah dan Sarawak.
Titahnya, Johor antara lain perlu diberikan haknya termasuk dalam isu melibatkan hasil pungutan cukai.
BACA LAGI: Inilah masanya, Umno berpeluang rampas semula DUN Nenggiri
BACA LAGI: Mohd Azizi boleh mohon tangguh PRK DUN Nenggiri, tunggu keputusan mahkamah
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim tampil menjadi antara individu yang mempertahankan titah tersebut.
Dalam satu kenyataan, beliau, pandangan Tunku Ismail harus dilihat daripada perspektif sejarah yang lebih luas dan tanpa kekangan tafsiran Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana beliau mendakwa, Johor tidak pernah diduduki atau dijajah secara langsung oleh pihak luar seperti Portugis, Belanda, British, mahupun Jepun, sekali gus mempunyai sejarah terpanjang di Malaysia sebagai wilayah berdaulat.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Hassan turut mendakwa sejarah Johor menyaksikan negeri itu tidak pernah ditewaskan dalam mana-mana perang oleh Portugis, Belanda atau British.
Disebabkan itu, beliau berkata, dengan mengambil kira perkara tersebut, tindakan meletakkan Johor di kedudukan kelas kedua dalam Persekutuan dalam Persekutuan Malaysia tidak boleh diterima oleh Johor.
Mengulas mengenai kenyataan itu, Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmi Ariffin menyifatkan bahawa pandangan dilontarkan oleh Hassan itu adalah tidak tepat.
"Saya ingat mungkin wujud salah faham dalam kalangan mereka yang tidak betul-betul mengkaji sejarah. Mereka mungkin ingat yang penjajahan itu wujud dalam satu bentuk sahaja.
"Contohnya, seperti apa yang berlaku ketika zaman pemerintahan Jepun yang berjaya menguasai keseluruhan tanah Melayu dari segi geografi, politik dan sosial," katanya kepada Majoriti.
Menurut Azmi, meskipun Johor dilihat agak lewat dalam menerima pengaruh British dalam pentadbirannya, namun negeri itu didakwa sememangnya pernah dijajah dalam beberapa tempoh masa.
Ia antaranya ketika pemerintahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim yang menyaksikan Baginda menerima Penasihat British menerusi perjanjian ditandatangani pada 1914.
"Pada waktu ini, ada yang kata sultan ketika itu masih berdaulat dan mungkin British pun dalam perjanjian tersebut ada kata macam itu. Tapi Baginda dikawal.
"Walaupun ada kata penasihat British itu hanya memberikan nasihat, tapi nasihat dikeluarkan itu memang tidak boleh disanggah dan mesti diterima. Jadi itulah yang terjadi ketika waktu pemerintahan Sultan Ibrahim.
"Itu satu contoh menunjukkan sultan gagal untuk memastikan kemerdekaannya. Jadi British sebenarnya telah berjaya bertindak dan mengawal Johor dengan keputusan pun dibuat di London," ujarnya.
Dalam pada itu, Azmi berkata, perjanjian Malayan Union yang turut ditandatangani oleh Sultan Johor juga merupakan satu lagi bentuk penjajahan yang berlaku terhadap negeri itu.
"Maksud Malayan Union itu adalah sultan serahkan kuasa betul-betul pada British di bawah Kekuasaan Ratu British. Ini adalah penjajahan yang memang sifat mutlak dan menjadikan negeri seperti koloni macam Hong Kong dan Singapura.
"Begitu juga zaman Jepun, ia merupakan pun satu penjajahan. Di waktu itu jelas tidak ada satu pun negeri Melayu ni yang tak dijajah. Jadi tak logik sebenarnya kata ada negeri di Malaysia tak dijajah.
"Kemudian kalau kita lihat dari segi kuasa raja-raja ketika itu, mereka tidak ada kuasa mutlak untuk negeri dia. Sebab dia kena akur dengan perintah pihak luar seperti Jepun dan British," katanya.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim. — Agensi
Pada masa sama, beliau berkata, isu sama ada bentuk penjajahan itu dilakukan melalui secara langsung atau tidak juga adalah tidak relevan kedua-dua perkara itu tetap tidak mengubah realiti bahawa kerajaan negeri pada ketika itu sememangnya dikawal oleh British dari segi pentadbiran termasuk ekonomi.
"Kalau kita ambil konteks ini (penjajahan secara tidak langsung), Kelantan pun boleh dakwa dia tak dijajah. Sebabnya Siam pun bukan jajah dia. British pun tidak ada, dia cuma hanya letak residen dan kemudiannya penasihat.
"Tapi bila dia letak penasihat, sultan negeri itu tidak boleh lawan British, dia kena ikut dan laksanakan peraturan yang dibuat, kalau tidak dia akan diturunkan," katanya.
Sehubungan itu, Azmi berpandangan bahawa ahli politik dan mereka yang memiliki kuasa tidak seharusnya lebih bertanggungjawab khususnya dalam membuat pentafsiran sejarah berdasarkan sumber rujukan yang betul dan benar-benar sahih.
Ujarnya, tindakan mereka yang mentafsir sejarah negara tanpa berasaskan bukti yang kukuh khususnya dalam isu tertentu dilihat hanya menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
"Kita sepatutnya meraikan semangat negara bangsa Malaysia yang bersatu. Jadi agak pelik kalau golongan elit ini yang rakyat letakkan harapan untuk satukan masyarakat tapi tiba-tiba mereka sendiri masih terperangkap dengan isu zaman penjajahan.
Azmi menyifatkan pandangan dilontarkan oleh Hassan berhubung sejarah Johor itu adalah tidak tepat.
"Kalau Johor contohnya menuntut mendapat taraf di peringkat Persekutuan sama seperti Sabah dan Sarawak, dari segi sejarah, negeri lain pun sepatutnya buat tuntutan yang sama kerana mereka sebelum ini pun pernah jadi negara yang merdeka.
"Cumanya bila mereka ini ikut serta dalam Persekutuan, baru mereka berubah status menjadi negeri. Jadi oleh kerana Persekutuan inilah seluruh negeri bersatu bagi mewujudkan negara bangsa Malaysia. Adakah kita mahu memporak-perandakan negara bangsa ini?" soalnya.
Azmi berkata, berbanding dengan isu sejarah tersebut, ada beberapa perkara penting yang perlu lebih diberikan perhatian oleh negara untuk membina masa depan lebih baik.
"Kita sudah membentuk negara Malaysia sejak tahun 1960-an lagi. Yang patut dibincangkan adalah macam mana kita nak selesaikan masalah hubungan kaum dan isu politik yang timbul pada masa ini termasuk masalah ekonomi dihadapi negara," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram