[VIDEO] Mula di pasar malam, usahawan asal Bagan Serai kembangkan legasi apam balik peninggalan bapa


  • Bizz
  • Rabu, 27 Nov 2024

Mohamad Azmi (kiri) tekad untuk mengembangkan legasi apam balik bapanya bukan sahaja di Malaysia, malah ke pasaran luar negara.

BERMULA sebagai perniagaan keluarga sejak 1983, jenama Apam Balik Kuhot (Kuhot) kini semakin menempa nama dengan pembukaan 16 cawangan di beberapa negeri termasuk Perak, Selangor, Johor dan Terengganu.

Diasaskan oleh seorang usahawan yang mewarisi bisnes ini daripada arwah bapanya, Kuhot membawa legasi keluarga ke tahap yang lebih tinggi dengan memperkenalkan konsep moden dan sistem francais.

Pengasasnya, Mohamad Azmi Ahmad memberitahu, perniagaan tersebut pada awalnya hanya beroperasi di pasar pagi dan pasar malam di kawasan sekitar Bagan Serai, Perak.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Gabung piza dan kopi 'culture', 4 usahawan muda ada rahsia pilih doh NY, sasar buka 108 cawangan Mokky’s

Usia setahun jagung tidak menghalang Mohamad Azmi meringankan tulang membantu bapanya, Ahmad Ismail menguruskan perniagaan.

"Kami berniaga dulu guna minyak tanah, jadi adakalanya hasil apam balik menjadi tidak konsisten. Kadang terlebih masak, hangit atau tidak cukup panas.

"Saya sejenis yang suka cipta benda baharu. Jadi sejak umur 10 tahun beritahu ayah saya sudah ada idea untuk buat apam balik guna dapur elektrik suatu hari nanti.

"Memang niat dari kecil mahu mengembangkan bisnes keluarga ini," katanya kepada Majoriti.

Kongsi lelaki kelahiran Bagan Serai, Perak itu, pada 2017, dia mengambil inisiatif untuk menjenamakan semula perniagaan tersebut dengan nama Kuhot, bersempena nama panggilan arwah ayah di kampung.

Snapinsta.app_463410664_1315375616175534_6957829922723026394_n_1080

Apam balik Kuhot mempunyai keunikan yang tersendiri dan berbeza daripada apam balik biasa.

Nama Kuhot, yang juga membawa maksud 'kuali panas' (jika diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris) dipilih kerana keunikannya dan mudah diingati.

"Walaupun tidak berkaitan langsung dengan produk apam balik, nama ini telah menjadi identiti perniagaan yang kuat," ujar anak sulung daripada enam beradik itu.

Tekad untuk mengembangkan legasi bapa dimulakan dengan proses menuntut ilmu dalam dunia perniagaan francais.

Bisnes ini bagi Mohamad Azmi, memiliki nilai sentimental yang tersendiri buat dirinya sekeluarga.

Justeru tidak hairanlah usahawan berkenaan tidak menunggu lama untuk berhijrah ke Kuala Lumpur usai Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 2004 dan bekerja di salah satu rangkaian francais terbesar negara.

WhatsApp Image 2024-11-26 at 12.29.10

Mohamad Azmi (kanan) ketika perasmian cawangan korporat yang pertama di Ipoh, pada tahun lalu.

"Pengalaman bekerja di sana selama hampir tujuh bulan memberikan saya banyak ilmu tentang operasi perniagaan francais, yang kemudian menjadi inspirasi untuk masa depan bisnes apam balik.

"Walaupun sekejap, pengalaman itu sangat berharga. Saya belajar cara menguruskan stok, menerima barang dan memahami operasi kedai harian.

“Dorongan utama saya untuk meneruskan perniagaan ini adalah kerana ia merupakan bisnes keluarga. Jadi saya ingin melestarikannya dengan cara yang berbeza,” bicaranya sambil memberitahu nilai jualan bagi setiap cawangan boleh mencecah anggaran RM350 hingga RM1,000 setiap hari.

WhatsApp Image 2024-11-26 at 12.56.45

Apam Balik Kuhot kini menawarkan 32 aneka menu yang boleh dinikmati pelanggan.

Buka tapak di UPSI

Jelas bapa kepada empat cahaya mata itu lagi, inisiatif mengembangkan bisnes apam balik diatur sebaik melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan.

Membawa resipi keluarga ke Tanjung Malim, Mohamad Azmi komited dalam menjalankan perniagaan di bazar kolej dan pasar malam sehingga produk berkenaan mula menempa nama di luar Bagan Serai sekitar 2005 hingga 2006.

Selepas melihat permintaan makanan tradisi berasaskan tepung itu meningkat khususnya di sekitar Ipoh, usahawan berjiwa besar ini mengorak langkah membina jenama Apam Balik Kuhot pada 2017, dengan kios sulung dibuka di Bercham, Ipoh.

"Bermula dengan lima menu, kini kami menawarkan 32 aneka menu. Antara yang paling mendapat sambutan ramai ialah apam balik wagyu berharga RM20 (saiz kecil) dan RM35 (besar).

"Selain itu kita ada beef pepperoni, chicken pepperoni, keju Nutella dan serunding ayam.

"Syukur Alhamdulillah buat masa ini, jualan harian di setiap cawangan boleh mencecah 250 hingga 500 keping apam balik bagi saiz kecil, manakala bagi saiz besar sebanyak 100 hingga 200 keping terjual," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-11-26 at 13.02.13

Kuhot turut memasarkan produk Tepung Pra Campuran Apam Balik yang memiliki pensijilan halal Jakim.

Pakej francais

Impian sedari kecil Mohamad Azmi untuk menghasilkan inovasi dapur elektrik akhirnya berjaya direalisasikan pada 2022 melalui Program Peningkatan Pengkomersialan Produk oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Memulakan perniagaan dengan modal RM4,500, usahawan itu kini menawarkan pakej francais bermula dari RM10,800 hingga RM120,000.

"Selain itu, kami turut menyediakan perkhidmatan katering bagi pelbagai jenis program termasuk majlis perkahwinan dan acara korporat.

"Kuhot turut memasarkan produk Tepung Pra Campuran Apam Balik yang memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak Mei 2024 dan sudah mula mendapat permintaan eksport dari beberapa negara seperti Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan China," kongsinya.

Dengan bimbingan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), jenama ini dalam proses mendapatkan lesen francais penuh, sekali gus membuktikan potensinya dalam industri makanan dan minuman (F&B). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram