PERCUBAAN bekas pereka grafik menampilkan kelainan dengan menghasilkan kek bercorak batik membuahkan hasil apabila sentuhan ideanya meraih perhatian segenap lapisan masyarakat.
Tidak hanya penggemar tegar hidangan manis itu, malah kek buatan Nurliza Mohd Jonis, 44, juga mendapat permintaan tinggi pelanggan yang datang dari dalam dan luar negara.
Meskipun idea menghasilkan kek batik dengan rekaan unik dicetuskan sejak Mei 2023, perjalanan usahawan itu dalam dunia pembuatan kek sebenarnya bermula lebih sedekad lalu, ketika masih berkhidmat sebagai kakitangan awam di ibu negara.
Mengimbau detik awal perjalanannya, wanita kelahiran Kulai, Johor tersebut memulakan langkah dengan menghasilkan pencuci mulut ringkas tanpa menggunakan pemanggang.
Dek kemudahan yang ada di rumah ketika itu hanyalah ketuhar gelombang mikro, Nurliza pada awalnya bermula dengan jualan cake pop, sejenis kek berbentuk lolipop berasaskan coklat yang berasal dari luar negara.
"Saya kurang gemar memasak ditambah kesibukan di tempat kerja, jadi di rumah pada masa itu hanya ada ketuhar gelombang mikro.
"Melihat rakan-rakan sekerja yang turut menjalankan bisnes sambilan membuat kek, saya pun terinspirasi untuk melakukan hal sama.
"Namun saya tiada ketuhar atau mesin pengadun, semuanya saya belajar sendiri melalui internet dengan mencari menu berkonsepkan no bake dessert seperti oreo pop yang dicelup dengan coklat," katanya kepada Majoriti.
Antara rekaan cake pop yang dihasilkan di Crazepop.
Kek batik premium
Perniagaannya bertahan selama enam hingga tujuh tahun sebelum pelbagai cabaran lain muncul.
Tidak dinafikan ujar Nurliza, permintaan pencuci mulut ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencatatkan peningkatan memberangsangkan.
Bagaimanapun langit tidak selalu cerah buat pembuat kek itu apabila jualannya mulai surut sebaik PKP tamat, sedangkan kedai fizikal baru sahaja beroperasi di Bandar Damai Perdana, Cheras, Kuala Lumpur.
Penurunan mendadak dalam jualan memaksanya untuk mencuba pelbagai resipi popular lain seperti donat, kroisan dan brownie, namun masih menemui jalan buntu.
Namun segalanya berubah apabila usahawan berkenaan terlintas untuk cuba menghasilkan kek batik.
“Sebenarnya selama ini saya tak pernah suka pun makan kek batik. Nampak orang jual pun kita tak pernah teringin nak beli kerana memikirkan ia hanyalah kek batik sahaja kan?
"Jujur saya sendiri terkejut dengan sambutan kek batik, rupanya, peminat kek ini sangat ramai di Malaysia.
"Awalnya, saya tak begitu tertarik tapi apabila dah mula buat, saya mahu ia jadi sesuatu yang istimewa,” katanya mengakui strategi pemasaran di media sosial seperti Instagram crazepop dan TikTok memainkan peranan besar dalam mempromosikan poduknya.
Nurliza mempelajari resipi kek batik menerusi penyelidikan di internet.
Proses menghasilkan kek batik yang menawarkan rasa premium bermula dengan penyelidikan resipi terbaik daripada internet.
Menggunakan bahan berkualiti dalam proses pembuatan, Nurliza memastikan kek buatannya bukan sahaja cantik tetapi juga sedap.
“Saya percaya, rasa adalah keutamaan. Saya belajar resipi, buat sedikit penyesuaian dan pastikan hasilnya berkualiti tinggi.
"Walaupun bukan penggemar setia hidangan tersebut, disebabkan saya sudah lama bekerja dengan coklat, saya tahu bagaimana nak menghasilkan kek yang kukuh dan cantik.
"Walaupun dijual dengan harga agak premium, tapi pelanggan tetap menghargainya kerana rasa dan rekaannya yang lain daripada lain,” jelasnya menambah sambutan luar jangka kek batiknya masih hangat sehingga sekarang.
Nurliza mengakui terkejut dengan sambutan daripada peminat kek batik di Malaysia.
Minat mendalam terhadap coklat, disokong kemahiran seni reka grafik yang dimiliki, membolehkan wanita ini menghasilkan pastri dengan aneka rekaan unik dan mempesonakan.
Bagi ibu kepada tiga cahaya mata ini, Crazepop tidak hanya menawarkan keenakan kek batik yang premium, namun visualnya sendiri menjadi tarikan utama pelanggan.
Corak batik timbul pada kek batik yang ditawarkan Nurliza mencipta kelainan dengan mengangkat seni warisan nenek moyang sebagai hiasan kek.
Ujarnya, idea melukis corak berkenaan bermula secara kebetulan sempena Aidilfitri tahun lalu.
"Pelanggan biasanya akan menunjukkan rekaan yang diinginkan. Ada yang menempah corak batik yang dimahukan sendiri.
"Tidak hanya sekadar perhiasan, kita mahu kewujudan corak batik dirasai dalam bentuk makanan yang akan memberikan satu perasaan berharga buat pemakannya.
"Malah corak batik itu sendiri membawa nilai sentimental kepada pelanggan," ujarnya yang turut pernah menerima tempahan corak kain sari.
Corak batik sendiri membawa nilai sentimental kepada pelanggan.
Tidak hanya menjual, fokus anak ketujuh daripada sembilan beradik itu juga kini tertumpu pada kelas dan latihan pembuatan kek yang dilaksanakan sejak 2014.
Sejak hari pertama berlangsung sehingga kini, lebih 6,000 peserta sudah mengikuti kelas kendalian Nurliza.
Bukan sahaja Malaysia, pesertanya juga terdiri dari warga Korea, Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand, Iran, Filipina, India dan Dubai.
"Dengan pengalaman yang ada, saya merangka kelas komprehensif dan praktikal, sesuai sama ada untuk tujuan perniagaan atau sekadar mencari keseronokan," ujarnya.
Kek batik bukan sekadar pencuci mulut biasa bagi usahawan pastri ini, namun ia juga menjadi sumber pendapatan utama yang konsisten.
Ujarnya, permintaan kek batik jenamanya sangat memberangsangkan dengan penghasilan harian purata antara 10 hingga 15 kek bersaiz tujuh inci.
Kek batik berharga RM390 dengan ukuran 7x7 inci.
“Jumlah itu hanya untuk kek batik sahaja, belum termasuk jualan bagi saiz lain,” bicaranya yang menghasilkan lebih 80,000 kek pop dan pelbagai pencuci mulut lain setiap tahun.
Ditanya mengenai tawaran harga ditetapkan, Nurliza menjelaskan, dalam industri pastri yang semakin kompetitif, dia mengambil pendekatan berbeza dalam menentukan harga produknya.
Usahawan wanita ini turut menegaskan bahawa setiap harga ditetapkan berdasarkan kalkulasi yang teliti, bukan sekadar mengikut trend pasaran atau harga pesaing.
"Setiap produk pastri khususnya kek batik, dirancang dengan teliti untuk memastikan nilai yang diberikan berpadanan dengan harga dikenakan.
“Kita mereka bentuk produk mesti ada nilai, bukan sekadar ikut harga pasaran. Kalau orang lain jual RM15, tak semestinya kita jual harga sama.
"Rekaan yang lebih kompleks mengambil masa lebih lama, jadi harganya juga perlu lebih tinggi,” tambahnya.
Fokus Nurliza (tengah) kini tertumpu pada kelas dan latihan pembuatan kek yang dilaksanakan sejak 2014.
Kek batik hasil tangan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Reka dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila terpilih sebagai satu-satunya kek yang menjadi hidangan istimewa bersempena Hari Keputeraan Sultan Kedah, pada Jun lalu.
"Siapa sangka 'kek batik je pun' dapat masuk istana meraikan hari keputeraan Sultan Kedah.
"Proses menyiapkan kek bersaiz besar 12x14 inci dengan tiga blok reka bentuk utama memerlukan dedikasi dan fokus sepenuhnya.
"Jabatan Pertanian Kedah yang menempah kek tersebut memberitahu kek batik ini terpilih untuk disantap dalam majlis makan malam peribadi Sultan bersama tetamu kehormat, termasuk duta dan tetamu istimewa,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram