ARENA bola sepak tanah air sekali lagi digegarkan apabila Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara terbuka membuat kenyataan bahawa kegagalan dari segi individu merupakan 'barah' sebenar dalam sukan tersebut.
Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu memberi pandangan sedemikian apabila dia berasa kesal melihat kemerosotan dan konflik yang mengancam kelab Liga Super serta skuad kebangsaan sendiri.
Menurutnya, sikap individu yang gagal membuat perancangan tersusun menjadi punca sesetengah pasukan gagal untuk mencapai potensi sebenar di samping bergelut melepaskan diri daripada isu saban tahun.
BACA LAGI: Belasah Machan FC 10-1, KL Rovers tarik diri bertemu JDT?
BACA LAGI: [VIDEO] Enggan salahkan Bergson, fans JDT anggap taktikal bertahan LCS punca provokasi
TMJ memberi pandangan mengenai faktor utama isu tunggakan gaji kelab.
Luahan itu sekali lagi dibuat di Instagram peribadinya pada Isnin apabila dia membuat teguran terhadap perbelanjaan bermewah-mewahan dilakukan sesetengah kelab sehingga akhirnya menjerat diri sendiri.
"Mudah untuk uruskan kelab, ada RM10, belanja RM10. Perbaiki intrastruktur sedikit, ada sasaran realistik. Ini tidak, semua janji menang piala nak jadi 'populist'.
"Ada RM10, belanja RM15. Selepas itu, apabila gagal bayar gaji, dari pihak pengurusan sehingga penyokong mula menyalahkan badan induk seperti FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan pasukan juara, JDT. Semua salah kecuali diri sendiri," tulisnya.
Teguran itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak secara khusus dengan harapan kesemua pihak pengurusan kelab terbuka menerima hal tersebut demi kelangsungan pasukan masing-masing.
Luahan berkenaan juga relevan kerana skuad Harimau Selatan sering dipersalahkan atas isu-isu yang timbul melibatkan dunia bola sepak tanah air meskipun sesetengah masalah muncul akibat percaturan tidak efisien.
Pelbagai kejayaan sudah dikecapi sepanjang TMJ bergelar pemilik JDT.
Dalam hantaran berbeza, Tunku Ismail juga menjadikan pasukan simpanan mereka sebagai bukti bahawa pelaburan besar-besaran tidak diperlukan bagi meraih kejayaan di atas padang.
"JDT III ini semua pemain lokal, juara Piala Presiden tiga kali berturut-turut. Apa pula alasan dan konspirasi? JDT II di kedudukan teratas Piala MFL, JDT IV layak ke final (Piala Belia) dan JDT Bawah 12 Tahun menang di Singapura.
"Cukup-cukuplah dengan alasan, ubahlah pemikiran sendiri," katanya lagi.
Sepanjang memegang tampuk pemerintahan skuad Harimau Selatan, pelbagai kejayaan berjaya dikecapi dengan kejuaraan Piala AFC 2015 dan 10 gelaran Liga Super berturut-turut merupakan bukti terbaik.
Malah, jenama kelab itu juga kian dikenali di peringkat antarabangsa apabila mereka boleh dianggap sebagai antara pencabar dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang disertai saban tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram