PEMANDU lori treler yang menyebabkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kluang, Johor mendakwa bahawa tayarnya meletup sehingga menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintendan Nik Mohd Azmi Husin berkata, ketika disoal, pemandu berusia 40 tahun tersebut memberitahu perkara itu yang mengakibatkan nahas pada kira-kira pukul 7.40 pagi Jumaat.
"Pemandu itu sedang dalam perjalanan dari Port Klang ke Pasir Gudang. Berdasarkan kenyataan diberi, tayar kanan hadapannya pecah yang menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Titik buta dipercayai punca penunggang maut digilis treler di Lebuh Raya Pasir Gudang
BACA LAGI: [VIDEO] Treler ATM bawa muatan 2 kereta kebal tergelincir, trafik di Lebuhraya KL-Karak sesak
Tambahnya, ujian air kencing terhadapnya mendapati pemandu itu negatif dadah sambil mengatakan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Dia sudah ditahan dan permohonan reman akan dibuat untuk siasatan lanjut," katanya.
Nik Mohd Azmi turut mendedahkan pemandu berusia 33 tahun yang meninggal dunia di lokasi kejadian dikenal pasti sebagai Muhammad Adib Adnan yang merupakan jurutera aeroangkasa dan bekerja di Singapura.
Seorang lagi mangsa merupakan pemandu kereta yang bekerja sebagai mekanik berusia 25 tahun dan kini dirawat di zon merah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor akibat kecederaan dada dan kaki dialaminya.
Isterinya juga sedang menerima rawatan apabila mengalami pendarahan dalaman di kepala dan luka di dahi, dagu, tangan kanan selain beberapa kecederaan lain.
Namun, anak kepada pasangan itu yang berusia setahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki maut sementara dua lagi pengguna jalan raya cedera akibat kemalangan melibatkan tiga kenderaan dan sebuah treler yang sarat membawa baja.
Insiden itu sempat dirakam orang ramai dan kini tular di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram