SEBUAH kedai makan yang dikenali Nasi Kandar Tok Nadoq baru-baru ini menarik perhatian ramai dengan konsep bufet nasi kandar yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Hanya mengenakan harga RM8.90, pelanggan dapat menikmati pelbagai pilihan lauk-pauk dengan variasi yang cukup menyelerakan termasuk jenis masakan ayam ros, ayam bawang dan ayam goreng serta pilihan sayuran.
Menggunakan konsep bufet nasi kandar unik menjadikan kedai itu lain daripada yang lain di Malaysia apabila pelanggan boleh menikmati semua lauk yang ada, namun dengan syarat mereka perlu menghabiskan semua makanan yang diambil.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Kedai yang terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang itu mengenakan denda RM15 untuk setiap 100gram makanan yang terbuang sekiranya pelanggan tidak menghabiskan makanan.
Kedai nasi kandar memaklumkan yang langkah itu diambil bagi mengelakkan pembaziran makanan dan juga untuk mendidik pelanggan agar lebih bertanggungjawab.
Nasi Kandar Tok Nadoq bukan sahaja terkenal dengan harga yang berpatutan tetapi juga dengan tujuan amal di sebalik perniagaan mereka.
Menurut pemilik kedai, tujuan mereka membuka perniagaan itu adalah untuk memberi makan kepada orang ramai dengan harga yang murah sambil mengamalkan amalan sedekah.
Dengan harga yang rendah dan bufet yang unik, Nasi Kandar Tok Nadoq terus mencuri perhatian pengunjung yang mencari hidangan yang tidak hanya menyelerakan tetapi berpatutan.
Nasi Kandar Tok Nadoq beroperasi bermula pukul 6 pagi sehingga 12 malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram