[VIDEO] Gara-gara tak tengok kiri kanan ketika menyeberang jalan, penunggang motosikal hilang nyawa dilenyek bas di Tulungagung


  • Benua
  • Selasa, 26 Nov 2024

Berdasarkan pemeriksaan di tempat kejadian, pemandu bas sempat menekan brek untuk mengelakkan pelanggaran, namun gagal sebelum merempuh mangsa.

SEORANG penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah bas di jalan nasional Tulungagung, Jawa Timur, Indonesia pada pagi Ahad.

Media antarabangsa melaporkan pihak polis percaya mangsa kurang berhati-hati semasa hendak menyeberang jalan.

Ketua Polis Trafik Polres Tulungagung, AKP Mohammad Taufik Nabila berkata, kemalangan itu berlaku pada pagi Ahad di Jalan Panglima Besar Jenderal Sudirman, Kelurahan Kepatihan, Tulungagung.

BACA LAGI: [VIDEO] Bawah pengaruh alkohol, 2 sahabat baik nyaris hilang nyawa terperosok dalam lif hotel di China

BACA LAGI: [VIDEO] Ralit punggah barang gudang, pekerja buruh India maut, 4 kritikal tak sedar kena hempap timbunan guni gandum

Dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ialah motosikal Honda BeAT AG 3547 KCW yang ditunggang oleh mangsa, dikenali sebagai IPT berasal dari Desa Kedungwaru manakala bas kendalian Syarikat Harapan Jaya pula dipandu oleh RS berasal dari Desa Ngulungkulon, Trenggalek.

"Kejadian berlaku apabila mangsa menunggang motosikal dari arah barat menuju timur dan hendak menyeberang di jalan Panglima Besar Jenderal Sudirman," kata Taufik.

Pada masa itu, mangsa didakwa tidak berhati-hati dan gagal memeriksa keadaan lalu lintas sedangkan dari arah utara, bas terbabit sedang bergerak dan mengakibatkan kedua-dua kenderaan bertembung.

"Bas bertembung dengan motosikal di bahagian depan sebelah kanan dan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal di tempat kejadian," jelas Taufik.

Selepas kejadian, Unit Penegakan Hukum (Gakkum) Satlantas Polres Tulungagung dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan bersama pasukan kecemasan PSC119.

Berdasarkan pemeriksaan di tempat kejadian, pemandu bas sempat cuba menekan brek untuk mengelakkan pelanggaran, namun tidak dapat mengelak merempuh mangsa.

Hal itu dilihat daripada kesan geseran tayar bas di jalan raya, namun oleh disebabkan jarak yang terlalu dekat perlanggaran tidak dapat dielakkan.

"Kami mengingatkan semua pengguna jalan agar berhati-hati semasa memandu, peka dengan papan tanda jalan dan keadaan lalu lintas," tambahnya. —Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram