SEORANG lelaki berumur 33 tahun meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di rumahnya di Kampung Banir Belikong, Pasar Puteh, Kelantan pada awal pagi Rabu.
Difahamkan kejadian berlaku sekitar pukul 4.57 pagi ketika mangsa cuba menutup suis mesin basuh di depan rumahnya yang sudah dilanda banjir arus sungai deras.
Memetik laporan Berita Harian, mangsa yang terkena renjatan elektrik itu dipercayai terjatuh ke dalam sungai yang terletak berhampiran rumahnya yang juga berada di kawasan rendah.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis giat buru 4 suspek samun bersenjata di premis beli hasil sawit di Bukit Selambau
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.57 pagi dan tiba di lokasi kejadian sejurus selepas itu.
Mayat mangsa ditemui pada pukul 5.30 pagi dalam keadaan tersangkut pada sebatang pokok bunga beberapa meter dari tempat kejadian.
Jenazah mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk tindakan lanjut.
Operasi penyelamatan tamat pada pukul 5.34 pagi, menurut sumber dari JBPM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram