Ditemukan dalam keadaan mengiring, pelajar tahfiz lemas ketika mandi-manda di tali air di Bachok


  • 112
  • Selasa, 26 Nov 2024

Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa di sekitar kawasan tali air di Kampung Padang Lati, Bachok pada Selasa.

TIGA sahabat berdepan tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas ketika bergembira menikmati mandi-manda di tali air di Kampung Padang Lati, Bachok, Kelantan pada Selasa.

Difahamkan mangsa yang berumur 14 tahun itu dipercayai seorang pelajar tahfiz di sebuah pondok di daerah tersebut ditemukan pada kedalaman tiga meter dalam keadaan terlentang.

Memetik laporan Buletin TV3, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok, Pegawai Bomba Kanan II, Lokman Yusoh memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.37 petang Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis giat buru 4 suspek samun bersenjata di premis beli hasil sawit di Bukit Selambau

BACA LAGI: Memandu seorang diri, penyelia tapak maut serta-merta kereta sondol belakang lori tangki minyak di PLUS dekat Nilai

Menurutnya, pihak bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sepanjang kawasan tepi tali air serta melakukan pencarian di dasar tali air.

“Mayat mangsa berjaya ditemui pukul 4.13 petang iaitu hampir satu jam pencarian.

“Mangsa ditemui dalam keadaan berkain pelikat tanpa baju, hasil maklumat awal bomba, mangsa dipercayai ke tali air untuk mandi-manda bersama dua lagi rakan,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan seramai 14 anggota, terdiri daripada lapan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok serta enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa.

Operasi tersebut menggunakan beberapa jentera termasuk satu Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Toyota Hilux dan sebuah Mitsubishi Pajero.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian tersebut dan mayat mangsa dihantar ke Balai Polis Jelawat untuk pemeriksaan sebelum dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) bagi tindakan lanjut.

Mohamad Ismail juga menasihati orang ramai supaya mengelakkan daripada bermain air dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri terutama sekali sepanjang musim tengkujuh yang sedang berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram