[VIDEO] Kononnya buat 'konten' solat sampai sujud dalam air banjir, Yazid Hamka perjelas syarat sah di sisi agama


  • Mukmin
  • Isnin, 25 Nov 2024

Menurut Yazid Hamka, solat tetap perlu didirikan sekalipun dalam keadaan banjir namun mengikut kadar termampu.

BARU-BARU ini tular sebuah video seorang lelaki sedang melaksanakan solat dalam situasi banjir yang dilihat seakan-akan dihasilkan demi konten selain dianggap memperlekeh agama Islam.

Video berdurasi 26 saat itu memaparkan individu terbabit mendirikan solat dan menyempurnakan kesemua rukun-rukun meskipun terpaksa sujud di dalam air banjir.

Video yang dimuat naik di laman X (Twitter) itu tular sehingga mendapat kecaman warga maya apabila ada yang menyatakan perkara dan hal agama tidak boleh dibuat-buat main kerana boleh menjatuhkan imej Islam.

BACA LAGI: Ibu bapa perlu ambil iktibar kisah Nabi Yusuf, berlaku adil elak anak berasa cemburu, bertindak agresif

BACA LAGI: Dilempar dalam api keadaan tidak berpakaian, Nabi Ibrahim AS manusia pertama diberi penghormatan pakaian syurga di Padang Mahsyar

Perkara itu bukan sahaja mendapat perhatian warga maya malah penulis buku agama, Ustaz Yazid Hamka yang turut tampil mengupas isu tersebut yang menjadi bual mulut ramai.

Menurutnya, hukum solat dalam keadaan sebegitu adalah sah kerana semua rukun-rukun solat dapat dilaksanakan.

Yazid Hamka yang merupakan pakar dalam bidang Quran Sunnah lulusan dari Universiti Kebangsaan Malaysia bagaimanapun berkata, jika memang tiada tempat kering untuk mendirikan solat dalam keadaan sebegitu masih sah solat jika seseorang individu melaksanakannya.

"Solat tetap perlu didirikan sekalipun dalam keadaan banjir mengikut kadar termampu.

"Namun begitu, mangsa banjir mendapat rukhsah (keringanan) untuk membuat jamak.

"Andai bimbang mudarat jika berada di dalam air adalah dibolehkan solat dalam keadaan berdiri saja.

"Sujud dibuat dengan menundukkan badan sekadar termampu," jelasnya.

Yazid Hamka menegaskan dalam sirah Nabi Muhammad SAW, baginda pernah bersujud dalam lumpur.

Penulis buku agama itu turut memperjelas antara bacaan yang wajib dan rukun dalam solat masih sah jika dilakukan perkara ini sahaja:

1. Takbiratul Ihram

2. Al-Fatihah

3. Bacaan tahiyat akhir

4. Selawat (dalam tahiyat akhir)

5. Beri salam yang pertama

Solat adalah ibadah yang diwajibkan oleh ALLAH kepada umat Islam dan ia merupakan salah satu rukun Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram