Guna ubat kandungi sumber haram boleh jika darurat, tapi cukup ikut kadar diperlukan


  • Mukmin
  • Rabu, 27 Nov 2024

Timbul persoalan mengenai status kehalalan bahan yang digunakan dalam ubat terutamanya apabila bahan tersebut berasal dari haiwan seperti babi.

PENGGUNAAN ubat-ubatan yang mengandungi bahan-bahan daripada sumber haiwan haram semakin menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam.

Hal ini demikian kerana timbulnya persoalan mengenai status kehalalan bahan yang digunakan terutamanya apabila bahan tersebut berasal dari haiwan seperti babi.

Jadi bagaimanakah hukum hakam terhadap pengambilan ubat dari sumber tidak halal itu sama ada dibolehkan atau tidak?

BACA LAGI: Ibu bapa perlu ambil iktibar kisah Nabi Yusuf, berlaku adil elak anak berasa cemburu, bertindak agresif

BACA LAGI: Dilempar dalam api keadaan tidak berpakaian, Nabi Ibrahim AS manusia pertama diberi penghormatan pakaian syurga di Padang Mahsyar

banner-10-produk-harian-yang-dihasilkan-daripada-khinzir-1486

Para ulama memberi penjelasan mengenai hukum penggunaan ubat yang mengandungi bahan haram khususnya yang berasal dari haiwan yang tidak halal seperti babi.

Berdasarkan penulisan dari Maktabah Al-Bakri ada menjelaskan pengharaman pengubatan menggunakan bahan haram seperti unsur babi adalah selari dengan ajaran Islam.

Ulusan tersebut menerangkan sekiranya dalam keadaan darurat, penggunaan bahan haram dibenarkan dengan syarat ia hanya digunakan mengikut kadar yang diperlukan.

Penulisan mengenai Perubatan Dan Kosmetik, Soal Jawab Agama itu menyatakan ubat yang mengandungi unsur babi tidak boleh digunakan kecuali jika ia diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan tiada alternatif lain.

Namun begitu, penulisan tersebut mengulas bahawa misalnya penggunaan ubat cair darah Clexane yang mengandungi unsur babi adalah haram kerana wujud alternatif halal seperti Arixtra yang mempunyai fungsi dan keberkesanan yang sama.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 2009 menyatakan bahawa penggunaan ubat dari sumber haram dilarang, kecuali dalam keadaan darurat dan tiada alternatif halal yang tersedia memetik topik 'Ubat Mengandungi Unsur Babi'.

Buku demikian menjelaskan Kementerian Kesihatan Malaysia bersama pakar perubatan tempatan mampu menghasilkan ubat-ubatan halal yang berkesan melalui kajian dan penyelidikan yang mendalam.

Dalam pada itu, menurut laman Mufti Wilayah Persekutuan menerusi topik "Penggunaan Bahan Yang Haram Dalam Perubatan" ada menjelaskan Nabi Muhammad SAW melarang penggunaan bahan-bahan yang diharamkan bagi mengubati penyakit.

Menerusi hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ALLAH menurunkan penyakit dan ubat dan menyediakan bagi setiap penyakit itu ubat. Maka berubatlah dan janganlah kamu berubat dengan benda yang diharamkan.

Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahan-bahan yang tidak halal dan diharamkan oleh ALLAH SWT seperti yang terkandung dalam al-Quran atau dijelaskan oleh Nabi SAW sama sekali tidak boleh dijadikan ubat untuk merawat penyakit walaupun dalam kuantiti yang sedikit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram