
"SAYA hanya nak tahu macam mana dunia ini nilai kebolehan saya."
Demikian ujar Iqbal Abdullah, pengasas kepada syarikat telekomunikasi Jepun, Xoxzo Inc.
Pada 2021, Xoxzo Inc dibeli oleh syarikat Jepun, Accrete pada harga penilaian mencecah AS$2 juta (RM8.7 juta).
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Waktu itu, Iqbal yang merupakan anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor menjual 67 peratus pegangannya kepada Accrete Inc sebelum melepaskan kesemua sahamnya pada Januari 2024.
Xoxzo Inc merupakan syarikat diasaskan oleh Iqbal pada 2007 dan menyediakan perkhidmatan platform khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pengguna telefon bimbit di Jepun untuk berhubung antara satu sama lain.
Meskipun perkhidmatan itu dianggap biasa di negara lain termasuk di Malaysia, masyarakat di Jepun ketika itu bagaimanapun belum begitu mengguna pakai teknologi tersebut.
Ini kerana sekitar 2007, untuk berkomunikasi, pengguna di negara dikenali sebagai Negara Matahari Terbit terbabit lebih banyak menggunakan emel untuk sebarang komunikasi.
Trend tersebut disumbangkan antara lain kerana kemajuan teknologi yang pada waktu itu sudah membolehkan telefon bimbit dihubungkan kepada internet.
Iqbal (kanan) ketika menghadiri persidangan peringkat antarabangsa di AS. — Twitter/iqbalabd
Jepun merupakan antara negara terawal yang berjaya menggunakan teknologi berkenaan.
“Lain daripada negara-negara lain. Jepun masa 2007 itu dia tak pakai SMS sangat dulu. Dia pakai emel dekat telefon. Semua orang ada emel.
“Tapi saya nak berkomunikasi dengan kawan di luar negara tak ada alternatif. Kemudian pada waktu itu, empat syarikat carrier terbesar SMS dekat jepun.
“Hanya dua saja carrier yang ada international SMS dan mahal. Satu SMS dalam 100 yen (RM3).
“Jadi itu adalah niche opportunity untuk orang macam saya ni dan saya rasa boleh buat perkhidmatan lebih baik orang Jepun boleh guna,” katanya kepada Majoriti.
Bermula dengan idea tersebut, Iqbal yang sudah menetap di Jepun sejak 1997 selepas menamatkan pengajian di Unversiti Saga mengasaskan Xoxzo Inc yang diusahakan selama 14 tahun sebelum ia dijual kepada syarikat lain.
Iqbal (kanan) sudah menetap di Jepun sejak 1997 selepas menamatkan pengajiannya di Negara Matahari Terbit itu. — Twitter/iqbalabd
Sebelum memulakan perniagaan tersebut, beliau yang merupakan graduan lulusan sains komputer pernah bekerja sebagai jurutera perisian di Yahoo Japan dan pengurus pemasaran di Amazon Japan.
Ditanya sama ada beliau menyangka perniagaan pertama diusahakannya itu dijual pada harga mencecah jutaan ringgit, Iqbal berkata, kewangan bukanlah motivasi utama ketika dia bermula.
“Niat dia bukan macam tu. Masa saya muda-muda dulu, sebenarnya nak tahu dunia ni macam mana dia nilai kebolehan saya. Ada beberapa caralah. Satu cara tu kita cari kerja dari situ kita tahu berapa orang sanggup bayar kita.
“Tapi sebab kita dalam bidang perisian, jadi saya nak tahu jika saya bina satu perisian ini, berapa banyak dunia akan bayar saya. Itu yang saya nak tahu.
“Jadi saya fikir-fikir dan ada satu idea yang saya nak buat dan kemudian orang boleh pakai (perkhidmatan SMS),” katanya.
Dalam pada itu, mengambil contoh kejayaan syarikat pertama dimulakannya, Iqbal berkata, sesebuah perniagaan termasuk yang teknologi tidak semestinya memerlukan kepada penyelesaian yang kompleks ataupun besar.
“Akan ada niche. Mungkin orang biasa tengok satu-satu perkara, dia tidak anggap itu satu masalah (ketiadaan perkhidmatan SMS yang meluas).
“Tapi itulah yang membolehkan syarikat saya bertahan selama 16 tahun dan gajikan 12 orang pekerja.
“Dengan teknologi itu juga saya dapat enam paten dekat Jepun berkaitan dengan SMS yang teknologi itu dekat Malaysia waktu itu semua orang dah tahu,” ujarnya yang tinggal di Tokyo bersama isterinya.
Teroka bidang AI
Iqbal (duduk, kiri) menubuhkan LaLoka Labs pada 2021. — LaLoka Labs
Selepas menjual sebahagian peganganya dalam Xoxzo Inc, Iqbal kemudiannya mengasaskan sebuah syarikat teknologi berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) berpangkalan di Tokyo yang dikenali sebagai LaLoka Labs.
Perniagaan terbaharunya itu menawarkan perkhidmatan penyelesaian berpandukan AI terutamanya dalam pemprosesan bahasa semula jadi (NLP) dan mesin pembelajaran.
Ia turut menarik perhatian pada 2022 selepas membuat pengambilalihan Kafkai.com, iaitu sebuah platform penjanaan kandungan yang menggunakan mesin pembelajaran untuk membantu perniagaan dan individu menghasilkan kandungan teks dengan lebih cekap.
Langkah itu turut menandakan penyertaan LaLoka Labs ke dalam bidang NLP, sekali gus menyumbang kepakarannya dalam bahasa perisian Python dan infrastruktur Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) untuk meningkatkan perkhidmatan Kafkai.
Menurut Iqbal, pada ketika ini, LaLoka Labs mempunyai lapan pekerja terdiri daripada pelbagai negara dengan dua dari Jepun, seorang dari Namibia dua orang masing-masing dari Malaysia serta Bangladesh.
Meskipun berpangkalan di Jepun, beliau berkata, kesemua mereka bekerja secara jarak jauh atau remote dengan pelanggannya turut datang daripada pelbagai negara.
“Pada tahun lalu kita peroleh pendapatan sekitar AS$100,000 (RM433,399). Masih agak kecil sebenarnya tapi disebabkan kita masih baru lagi, jadi kita cuba berkembang secara perlahan-lahan,” kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram