[VIDEO] 'Customer' sampai nak buat menantu, penangan cucur kembung gadis persis Ummi Nazeera pikat hati pelanggan


  • Bizz
  • Isnin, 25 Nov 2024

Nur Arina Damia berhasrat untuk terus berniaga dan mengembangkan perniagaan keluarga mereka.

BERBEKALKAN minat membantu abang berniaga cucur sejak di bangku sekolah, Nur Arina Damia Muhamad Yusri mengambil keputusan untuk menyambung perniagaan Cekboom Cucur Kembung yang dimulakan sejak 2018 itu.

Beroperasi di Kampung Permatang Tok Mamat, Parit Buntar, Perak, si cantik manis ini mula mengambil alih bisnes tersebut selepas abang sulungnya, Nur Afiq Muhaimin, 24, menyambung pengajian di Walter Collage Kuala Lumpur pada 2019.

Mengimbau kembali pengalaman awalnya, usahawan berusia 20 tahun itu berkata, sejak sekolah dia sememangnya gemar membantu abang di kedai selepas waktu persekolahan.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Gabung piza dan kopi 'culture', 4 usahawan muda ada rahsia pilih doh NY, sasar buka 108 cawangan Mokky’s

"Habis sekolah, saya akan terus ke kedai untuk tolong. Masa itu tugas saya hanya goreng cucur sampai pukul 7 malam. Lepas itu baru balik rumah buat kerja sekolah," katanya kepada Majoriti.

Meskipun jadual hariannya menjadi agak padat, Nur Arina Damia tetap seronok kerana diberi upah RM30 hingga RM40 sehari, pada ketika itu.

Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), usahawan berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang ini mula mempelajari resipi dan proses pembuatan cucur kembung secara lebih serius, termasuk kaedah membuat bancuhan tepung dan kuah istimewa.

"Saya tolong abang ambil alih sebab sayang nak tinggalkan kedai ini. Niat nak sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi itu ada, cuma buat masa sekarang, saya berhasrat untuk mengembangkan bisnes ini terlebih dahulu," ujarnya yang berjaya menghasilkan jualan sehingga RM1,000 sehari, tidak termasuk tempahan majlis.

Dengan modal awal hanya RM500 untuk membuka sebuah gerai kecil, kini perniagaan mereka berkembang hingga mampu membangunkan kedai tetap yang terletak di lokasi lebih strategik iaitu berhadapan kompleks beli-belah Mydin, Parit Buntar.

WhatsApp Image 2024-11-23 at 20.50.20

Cekboom Cucur Kembung menawarkan variasi perisa moden seperti keju, chicken floss dan susu coklat yang dijual dengan harga RM6 sebekas.

Aneka perisa

Resipi asal kuih tersebut katanya, dipelajari daripada seorang lelaki berusia 70-an.

Menawarkan makanan yang dianggap nostalgia, cerita anak kedua daripada empat beradik itu lagi, cucur kembung merupakan salah satu makanan tradisional di negara ini yang sering menjadi pilihan orang dahulu.

Ujarnya, ia dianggap sebagai makanan ruji dek proses penyediaannya yang mudah, menggunakan bahan asas seperti tepung gandum, gula dan air yang senang didapati.

Meskipun menjual makanan orang lama, adik-beradik yang dibantu ibu bapa mereka cuba mencari kelainan dengan menawarkan variasi perisa moden seperti keju, chicken floss, susu coklat selain kuah kacang dan kaya pandan.

WhatsApp Image 2024-11-25 at 16.55.06

Nur Arina Damia (kanan) membantu abangnya berniaga sejak di bangku sekolah.

"Sebenarnya idea ini datang daripada permintaan pelanggan sendiri. Adakalanya mereka akan bertanya sama ada kami menjual cucur dengan perisa lain.

"Ada pelanggan minta buat perisa keju atau chicken floss, jadi kami usahakan. Sekarang ada empat jenis perisa yang boleh dicuba pelanggan daripada pelbagai golongan," jelasnya sambil menambah mereka menggunakan sekitar 15 kilogram (kg) tepung gandum untuk membuat adunan dalam tempoh sehari.

Kongsi Nur Arina Damia lagi, media sosial kini menjadi medium utama untuk mempromosikan bisnes ke serata negeri, tidak hanya tertumpu di kawasan sekitar.

"Sekarang kami cuba bawa kuih ini ke merangkumi pelbagai platform media sosial seperti TikTok.

"Sebelum ini kami hanya menggunakan Facebook, tapi sejak masuk TikTok, pelanggan muda pun mula kenal kuih ini. Ada yang datang dari Selangor dan Kuala Lumpur selepas lihat video yang kami kongsikan menerusi akaun cekboom cucur kembung," kongsinya.

WhatsApp Image 2024-11-23 at 16.24.24 (1)

Nur Arina Damia ketika mencanai dan memotong adunan cucur.

Raut wajah manis

Memiliki raut wajah yang manis dengan gaya penuh sopan, penulis sengaja menebak sama ada dia pernah menerima 'usikan' manja daripada para pelanggan.

Dengan senyuman yang tidak lekang di bibir, sambil tertawa kecil Nur Arina Damia mengakui, beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan dirinya giat mencanai dan menggoreng cucur meraih perhatian warga maya.

Malah tidak kurang juga yang mengatakan bahawa wajahnya memiliki iras-iras aktres terkenal tanah air, Ummi Nazeera.

"Namun jujurnya saya pun tak nampak sama seperti pelakon tersebut, tapi saya dan keluarga hanya mampu gelak sahaja bila orang komen begitu.

"Pernah ada kejadian mencuit hati yang mana beberapa makcik datang ke kedai dan minta untuk bergambar bersama-sama saya selepas membeli cucur. Katanya nak tunjuk anak untuk buat menantu," ceritanya.

Namun bagi usahawan itu, dia tidaklah mahu mengambil hati, sebaliknya hanya menganggap perkara tersebut sebagai gurauan sesama penjual dan pelanggan.

WhatsApp Image 2024-11-23 at 14.07.21

Nur Arina Damia (kiri) dan Nur Afiq Muhaimin (dua dari kanan) mendapat sokongan penuh keluarga untuk menjalankan bisnes.

Bisnes berkembang

Nur Arina Damia berkata, dia bersyukur kini, lokasi strategik ditambah pemasaran di media sosial menyebabkan perniagaan mereka semakin berkembang.

Ditanya tentang perancangan masa depan, usahawan muda tersebut bercadang untuk menyambung pelajaran jika ada pihak lain yang dapat menguruskan kedainya dengan baik.

"Selagi belum ada (pengganti), saya teruskan fokus dengan perniagaan ini sebab minat memang untuk berniaga dan mahu kembangkan bisnes keluarga," katanya optimis.

Nur Arina Damia berharap agar usahanya dan abang untuk membawa kuih tradisional ini ke pasaran moden akan terus diterima dan dikenali generasi baharu.

"Kami ingin mengekalkan tradisi sambil memberi sentuhan inovasi bagi memenuhi cita rasa pelanggan hari ini," ujarnya mengakhiri bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram