BERMULA dengan menternak hanya tiga ekor kambing pada usia muda, Osman Cheyakutty kini menjadi penternak kambing dan biri-biri berjaya dengan lebih 3,500 ekor haiwan di ladangnya.
Berusia 55 tahun, Osman yang berasal dari Johor Bahru, Johor itu memulakan operasi pada 1990 dengan kambing yang dibela di belakang kediamannya sebagai hobi pada masa lapang.
Usahawan itu menjadikan penternakan sebagai sumber pendapatan utama bermula sewaktu usianya menginjak 21 tahun.
“Saya melalui tempoh masa yang sukar, namun pada 1993, saya membeli lima ekor kambing dari New Zealand, walaupun pada masa itu ramai yang tidak tahu manfaat susu kambing.
"Hari ini, saya mengimport kambing dan biri-biri dari Australia, Myanmar dan Thailand untuk memenuhi peningkatan permintaan,” jelasnya yang mempunyai dua ladang masing-masing di Seelong dan Kangkar Tebrau.
Menurut Osman, ladangnya menghasilkan kira-kira 90 liter susu kambing setiap hari, selain menjadi tumpuan pelanggan untuk mendapatkan kambing sempena Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Osman bersama produk daging kambing perap yang dijual di ladangnya di Kangkar Tebrau, Johor Bahru.
Ujarnya lagi, amalan penternakan dan reka bentuk fasilitinya mematuhi garis panduan Australia bagi memastikan kebajikan haiwan berada pada tahap optimum.
“Pada peringkat awal (ketibaan), kambing dan biri-biri akan ditempatkan di ladang saya di Seelong, yang mana mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berterusan dan diberikan makanan.
“Setelah mencapai berat ideal, kambing dan biri-biri ini akan dipindahkan ke Kangkar Tebrau.
“Haiwan-haiwan ini sentiasa diperiksa oleh pegawai Jabatan Veterinar. Saya juga menghantar sampel ke makmal swasta untuk memastikan produk saya berkualiti tinggi,” katanya yang menamatkan sekolah semasa darjah enam.
Osman berharap lebih ramai golongan muda akan terlibat dalam bidang penternakan haiwan bagi menyumbang kepada sektor pertanian negeri.
Usahawan itu juga menjalinkan kerjasama rapat dengan sebuah universiti tempatan dan agensi kerajaan.
“Pelajar yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang penternakan kambing akan ditempatkan di ladang saya selama tiga bulan untuk menjalani latihan praktikal dalam penjagaan kambing.
“Dengan kemajuan teknologi dan sains, industri ini sentiasa berkembang. Sebagai petani, kita mesti ada pengetahuan tersebut,” tambahnya yang kerap menghadiri kursus berkaitan penjagaan haiwan ruminan biarpun sudah berada dalam bidang itu selama berpuluh tahun. — The Star/MOHD FARHAAN SHAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram