Jadi mangsa buli, bertahun-tahun rasa tak cantik, wanita asal Jerantut sanggup berhabis ratusan ribu ringgit timba ilmu bisnes


  • Bizz
  • Selasa, 26 Nov 2024

Hafizatul Atikah sanggup berhabis ratusan ribu ringgit demi menimba ilmu perniagaan daripada mentor.

BULI fizikal dilalui ketika zaman persekolahan meninggalkan kesan terhadap keyakinan diri empunya perniagaan kosmetik ini.

Setiap hari, kongsi wanita yang murah senyuman itu, dia pulang ke rumah dengan keyakinan diri menipis dan berasa tidak cantik selama bertahun-tahun.

Sehinggalah selepas melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor, usahawan tersebut secara tidak sengaja menemui kuasa magis menerusi solekan.

BACA LAGI: Selain pamer 'dress up' ala Michael Jackson, Mr D jadi 'barber' kegemaran anak-anak autisme hingga ada sanggup datang dari Sabah

BACA LAGI: Farina sanggup tinggalkan kerjaya wartawan demi pendidikan anak Sabah

Penemuan itu juga memberi sinar baharu bagi anak kelahiran Jerantut, Pahang itu apabila eksperimen pada wajah mendapat perhatian rakan-rakan seuniversiti dan meluas kepada kenalannya.

Kemahirannya menyolek menggunakan berus solekan mula mendapat tempahan sehingga membolehkan Hafizatul Atikah Mohd Fauzi, 34, menjalankan perniagaan sebagai jurusolek sambilan.

Boleh dikatakan, tempahan untuk perkhimatan menata rias agak padat.

“Solekan mempunyai kuasa tersendiri. Ia bukan sahaja menutup cela, menambah baik penampilan, tetapi membantu mengembalikan keyakinan diri.

“Bahkan, solekan juga mempengaruhi emosi seseorang wanita apabila wajah disolek,” katanya.

Peralihan

Seiring peredaran masa, selepas mendirikan rumah tangga bersama rakan kongsinya, Muhamad Syahmi Mashor, wanita itu mula terfikir untuk membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

Menjadi jurusolek memang menyeronokkan kerana waktu kerja yang fleksibel, namun dia juga ingin mendapat jaminan dalam mencari rezeki.

Pada masa sama, Hafizatul Atikah tidak mahu meninggalkan dunia solekan yang dekat di hatinya.

Bertitik tolak dari situ, wanita ini menghasilkan lip matte sebagai buah tangan pertamanya di bawah jenama Obsess Cosmetics pada 2016 kerana pada masa itu tidak banyak produk berkenaan di pasaran.

“Saya masih ingat ada lima kotak pewarna bibir diletakkan di tepi tangga rumah dan rumah ibu mertua.

“Semuanya dikendalikan sendiri daripada jualan, pemasaran, pembungkusan sehingga penghantaran,” jelasnya teruja dengan sambutan yang diterima.

Keuntungan jualan produk itu digunakan sebagai modal untuk mengeluarkan 500 produk asas solekan cushion foundation treatment.

Snapinsta.app_460328182_18459217510043414_4663775037291905915_n_1080

Hafizatul Atikah tidak mahu meninggalkan dunia solekan yang dekat di hatinya.

Ungu

Dalam masa empat hari, produk yang dijual dalam talian itu laris dengan maklum balas positif daripada pengguna. Respons positif itu terus mendorong Hafizatul Atikah untuk menghasilkan produk lebih baik.

“Sehingga kini, cushion foundation treatment adalah produk jualan terbaik Obsess Cosmetics, selain 16 unit penyimpan stok (SKU) lain.

“Koleksi kosmetik seperti pewarna bibir, maskara, pembayang mata manakala untuk penjagaan kulit seperti serum turut ditawarkan,” ujar pemegang Ijazah Sains Kemanusiaan itu.

Formulasi cushion foundation dihasilkan daripada bahan berkhasiat seperti Vitamin E, ekstrak minyak zaitun, minyak geranium, buah bearberi yang membantu merawat dan melindungi kulit.

Kelebihan bahan semula jadi itu juga memberi nilai tambah kepada pengguna yang mencari solusi sapuan solekan tanpa meninggalkan kesan buruk pada kulit.

Hafizatul Atikah memberitahu, penggunaan cushion foundation treatment turut membantu mengurangkan kesan jerawat biarpun dipakai setiap hari.

Bagi menarik perhatian pelanggan, pendekatan pengguna rona ungu digambarkan sebagai salah satu strategi perniagaan.

Selain menjadi warna kegemaran suaminya, Hafizatul Atikah memberitahu, warna itu sering dikaitkan dengan ketenangan dan kasih sayang.

“Ramai pelanggan melihat ungu sebagai rona comel dan sesuai untuk koleksi solekan.

“Padanan nama Obsess juga selari dengan konsep ingin disampaikan kepada pelanggan agar mudah ingat jenama itu,” katanya.

Snapinsta.app_403935845_1075005623689894_3457951898508196899_n_1080

Padanan nama Obsess juga selari dengan konsep ingin disampaikan kepada pelanggan agar mudah ingat jenama itu.

Ilmu

Sebagai pemimpin kepada 10 kakitangan dan tidak memiliki latar belakang dalam perniagaan secara formal, Hafizatul Atikah sanggup berhabis ratusan ribu ringgit demi menimba ilmu perniagaan daripada mentor.

Jelasnya, ilmu perniagaan sangat penting untuk membantu perusahaan dikendalikan berkembang dan bertahan saat genting.

“Berbekalkan ilmu perniagaan juga ia mendorong pengasas jenama menjadi usahawan yang proaktif dan sistematik dalam menguruskan perniagaan,” tuturnya yang mengeluarkan tiga edisi produk dalam setahun.

Menyentuh pemangkin semangatnya selepas berdepan cabaran dalam perniagaan, ibu kepada empat cahaya mata itu menyifatkan sistem sokongan yang baik adalah kunci utama.

Ujar anak keempat daripada lima beradik itu, salah satu cabaran perlu dihadapi adalah melibatkan komitmen idea dan kreativiti, sehingga kadangkala dia ketandusan ilham.

Pun begitu, cabaran lebih memeritkan pengalaman ditipu pengilang sehingga mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit dan ditindas oleh bekas ejen. Momen pahit itu membuatkan Hafizatul Atikah hampir berputus harap untuk meneruskan perniagaan kosmetik.

Bagaimanapun, sedih, pahit dan kegagalan yang dirasai dapat diatasi, berpegang prinsip kegagalan itu satu pilihan.

Pernah memiliki lebih 17,000 ejen di seluruh negara, katanya sistem itu dihentikan sejak setahun lalu bagi memudahkan jualan produk kosmetik lebih sistematik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram