'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih


  • Bizz
  • Isnin, 02 Sep 2024

Faeeza Noor menyimpan hasrat untuk memberi peluang kepada masyarakat di Semenyih merasai pengalaman seolah-olah membeli-belah di luar negara.

CINTANYA terhadap lapangan fesyen sedari kecil menjadi titik tolak untuk usahawan wanita berusia 35 tahun ini berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Bertemakan moden, elegan dan timeless (M.E.T), Stail! By Donnicha (SBD) menawarkan pakaian dan aksesori eksklusif yang didatangkan khas dari Korea Selatan, Jepun, Hong Kong dan Indonesia untuk dipasarkan ke pasaran Malaysia.

Figura cantik manis, Faeeza Noor Mohd Jaafar, menyifatkan idea untuk membina perniagaan itu tercetus dek kerana kekurangan butik fesyen yang menyediakan produk M.E.T di Semenyih, Selangor.

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

BACA LAGI: Farina sanggup tinggalkan kerjaya wartawan demi pendidikan anak Sabah

WhatsApp Image 2024-08-31 at 22.27.52

Usahawan itu begitu meminati dunia fesyen sejak dari kecil.

SBD yang berlokasi di Taman Pelangi Semenyih ditubuhkan pada 2 Disember 2023.

Dilahir dan dibesarkan di bandar tersebut, wanita berkenaan menyimpan hasrat untuk memberi peluang kepada masyarakat di bandar itu merasai pengalaman seolah-olah membeli-belah di luar negara.

"SBD adalah idea yang lahir atas dasar minat pada penggayaan sejak dari kecil lagi. Oleh demikian, saya mencari asas dan ruang untuk merealisasikan impian ini.

"Dengan populasi penduduk yang semakin meningkat di Semenyih, saya yakin permintaan untuk fesyen sebenarnya banyak dan apa yang diusahakan ini boleh berjaya.

"Malah, Semenyih juga adalah tempat kelahiran saya dan pastinya saya rasa lebih dekat dengan kawasan ini.

"Saya mahu orang biasa juga diberikan peluang untuk berfesyen seperti mereka yang berada di bandar dan berkemampuan membeli-belah di luar negara," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-09-01 at 11.00.05

Bertemakan moden, elegan dan timeless, SBD menawarkan pakaian dan aksesori yang eksklusif.

Bercerita tentang pasang surut dunia perniagaan, Faeeza Noor mengakui dirinya tidak terkecuali berdepan cabaran sebelum memulakan perniagaan yang sudah menjadi impiannya sejak kecil.

Lebih pedih, keputusan untuk menjalankan bisnes itu di Semenyih juga menerima persepsi negatif daripada pihak yang dikenalinya secara peribadi.

"Ada dalam kalangan mereka yang melemparkan kata-kata negatif atau lebih mudah lagi, langsung tidak menyokong saya.

"Mungkin mereka menganggap saya sekadar menghabiskan wang untuk sesuatu yang sia-sia atau sudah pasti gagal, Wallahualam," luahnya.

Enggan berterusan melayan stigma negatif itu, dia nekad meneruskan hasrat untuk membina empayar fesyen dan kecantikan di bandar kelahirannya.

Bagaimanapun akui anak bongsu daripada tiga beradik itu lagi, mendapatkan dana daripada bank mahupun mana-mana agensi untuk perniagaan baharu juga bukanlah satu proses yang mudah.

Ceritanya, kira-kira dua tahun tempoh diambil untuk mengumpul modal sendiri, dengan bantuan suami dan ahli keluarga.

WhatsApp Image 2024-09-01 at 11.00.05 (1)

Naz Rahman (kanan) dan Sheahnee Iman (kiri) ketika menghadiri acara pembukaan butik berkenaan pada Disember tahun lalu.

"Modal yang dikumpul ini bukan hanya untuk membuka perniagaan tetapi juga bagi menampung belanja atau overhead SBD selama beberapa bulan awal.

"Ini kerana, tidak semestinya perniagaan yang dibuka ini akan terus menjana keuntungan dan saya sentiasa mengambil pendekatan optimis dan berhati-hati atau cautiously optimistic.

"Saya juga perlu membuat anggaran kira-kira keuntungan yang perlu dijana daripada jualan produk, jenis fesyen yang ingin dibawa ke Malaysia dan kajian pasaran untuk mendapat input tentang kemahuan pelanggan.

"Terutamanya apabila mempertimbangkan perniagaan seperti SBD ini tidak ada di Semenyih," katanya yang mendirikan rumah tangga pada 22 Februari 2022 bersama pasangan, Muhammad Akram Abdul Aziz, 39.

WhatsApp Image 2024-09-02 at 07.26.31

Faeeza Noor (kanan) bersyukur suami banyak membantunya untuk mengembangkan lagi bisnes.

Jadi pilihan produksi televisyen

Ujar Faeeza Noor, meskipun berdepan kesukaran pada awal pembukaan, Faeeza Noor meletakkan keyakinan bahawa usaha tidak akan mengkhianati hasil.

Nampaknya percaturan usahawan itu untuk terjun dalam bidang perniagaan selepas berkhidmat di sebuah syarikat teknologi telekomunikasi selama enam tahun membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka.

Usia setahun jagung tidak menghalang jenama SBD daripada terus meraih perhatian bukan sahaja masyarakat setempat, malah turut mula menjadi pilihan produksi televisyen tempatan.

Katanya, usaha mempromosikan pakaian dan aksesori fesyen di media sosial menarik perhatian ramai serta membuka ruang untuk promosi lebih meluas seperti di program TV3.

Kongsi lulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu lagi, sepanjang tempoh ini, SBD diberi peluang untuk menaja pakaian bagi program bual bicara yang popular siaran TV3, Wanita Hari Ini.

Snapinsta.app_441504072_973920454327710_3897705263220291526_n_1080

Jenama SBD turut mendapar perhatian produksi WHI sebagai penaja pakaian hos program bual bicara terkenal itu.

"Produk SBD juga pernah dipakai oleh hos-hos rancangan yang memfokuskan isu kewanitaan, kanak-kanak dan keluarga itu, yang mana mereka telah menggayakan pakaian kami dalam pelbagai episod sejak Februari 2024.

"Sejujurnya, pada awalnya saya tidak mengenali sesiapa pun secara peribadi di produksi TV3.

"Sebaliknya, krew produksi TV3 sendiri yang menghubungi saya berkenaan produk SBD apabila mereka melihatnya di media sosial, Facebook dan Instagram," jelasnya sambil memberitahu dia pernah beberapa kali ditemu ramah sebuah stesen radio untuk berkongsi perihal fesyen.

Lebih membanggakan, SBD juga menaja pakaian untuk pelakon popular tanah air, Emma Maembong dalam drama bersiri berjudul Wanita Milik Kaiden yang bakal disiarkan di televisyen tidak lama lagi.

Tidak hanya itu tambahnya, butik berkenaan juga pernah menaja selebriti terkenal, Uyaina Arshad untuk satu program yang dihadiri beliau di Kedah baru-baru ini.

"Selain itu antara klien lain yang pernah menggunakan SBD termasuklah personaliti televisyen, Naz Rahman; bekas penyampai berita NTV7, Sheahnee Iman Lee dan personaliti televisyen serta pemilik suara latar yang terkenal di Malaysia, Khairul Anuar Azmi.

"Dari segi jualan juga amat menggalakkan dan SBD menerima banyak maklum balas yang baik dan positif di media sosial," tuturnya yang menjadikan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai idola dalam dunia perniagaan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram