Kombinasi gastronomi Eropah, lokal hasil air tangan Chef Suhalmi


  • Bizz
  • Rabu, 27 Nov 2024

Penerokaan menu ala Eropah di Restoran Atas merupakan air tangan istimewa daripada Suhalmi.

BERSEDIAKAH anda menikmati gastronomi Eropah, tetapi masih kekal berada di Malaysia?

Terletak di tengah-tengah kota, Restoran Atas, RuMa Hotel and Residences, Kuala Lumpur menawarkan pengalaman menjamu selera Eropah penuh gaya.

Ketelitian sudut rekaan restoran mencerminkan budaya Eropah itu turut merangsang deria bau dengan aroma sajian eksklusif.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

5

Grilled lamb rack dihidangkan bersama sos lada hitam sebagai menu utama.

Bermula sejak Jun 2024, sajian dihidangkan di restoran tersebut ibarat ekspedisi merentas benua.

Menghimpunkan cita rasa asli Sepanyol, Itali dan Perancis di bawah satu bumbung, penerokaan menu itu merupakan air tangan istimewa, Chef Eksekutif Suhalmi Tasir.

Berpengalaman lebih 23 tahun dalam industri, Chef Suhalmi memberikan pengalaman baharu buat individu yang gemar mencuba.

Bermula dengan pembuka selera sehingga hidangan utama, setiap menu disusun teliti untuk membangkitkan cita rasa Eropah sepanjang sesi menjamu selera.

Nikmati hidangan pemula European Prawn Croquette yang diperbuat daripada kentang dan daging.

Bresaola Tortellini Salad, adalah salad Itali yang diperbuat daripada daging lembu masin kering bersama cendawan dari Cameron Highlands, Pahang juga antara menu unik untuk dicuba.

Hidangan itu sesuai digandingkan dengan pomodor flat bread gebu yang dilimpahi keju dan taburan tomato merah.

Buat penggemar sup, boleh mencuba kombinasi rasa sup hidangan laut seafood bouillabaisse yang kaya dengan rasa jintan.

Restoran itu menawarkan tiga pilihan menu utama iaitu kambing, ikan siakap dan pasta ravioli mengikut cita rasa pelanggan.

4

Restoran Atas menawarkan pengalaman menjamu selera Eropah penuh gaya.

Tiga menu utama itu ialah grilled lamb rack dimasak bersama jus lada hitam, pan seared seabass, isi ikan siakap garing dihidang dengan tomato, kerang dan minyak zaitun serta pasta ravioli yang dimasak bersama bunga kobis.

Akhiri sesi menjamu selera dengan menikmati keenakan tart epal, dauphinoise apple tart sebagai pencuci mulut.

Selain itu, nikmati kesegaran ais batu kisar atau sorbet buah beri campuran, cameron berries granita yang cukup enak.

Kongsi Chef Suhalmi, setiap ciptaan menu yang boleh dinikmati secara ala carte itu adalah kombinasi antara selera Eropah dengan lokal.

“Misalnya, bunga hiasan, sayuran kecil dan makanan laut yang digunakan diperoleh daripada pengedar tempatan. Inisiatif ini juga adalah untuk menyokong kelestarian alam.

“Jika berbicara mengenai menu Eropah yang terkenal dengan kehalusan seni rasa, ia terhasil daripada bahan-bahan masakan berkualiti tinggi dan dipilih secara teliti,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram