TOKOH muzik legenda tanah air, Tan Sri Ahmad Nawab, 92, meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Gombak, Selangor kira-kira pukul 3.15 petang, Ahad.
Memetik laporan Harian Metro, berita pemergian itu dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez menerusi mesej aplikasi WhatsApp.
"Tan Sri Datuk Seri Ahmad Khan Nawab Khan telah kembali ke Rahmatullah di rumahnya di No 13, Jalan Ubin, Taman Melewar pukul 3.15 petang tadi," maklumnya.
Digelar sebagai maestro muzik, Allahyarham Ahmad Nawab atau nama penuhnya, Ahmad Khan Nawab Khan telah menggubah lebih daripada 2,000 lagu sejak penglibatannya dalam dunia seni bermula era 1950-an.
Beliau dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jun 2023.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia muzik, beliau telah menghasilkan lebih 200 buah album yang didendangkan oleh artis popular tempatan dan luar negara termasuk Uji Rashid, Hetty Koes Endang, Datuk Khadijah Ibrahim, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Ramlah Ram, Broery Marantika dan ramai lagi.
Penerima gelaran Seniman Negara Ke-7 itu juga pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram