Gabung piza dan kopi 'culture', 4 usahawan muda ada rahsia pilih doh NY, sasar buka 108 cawangan Mokky’s


  • Bizz
  • Rabu, 20 Nov 2024

Muhammad Azfar berkata, Mokky’s memiliki visi dan misi yang besar untuk masa depan.

DITUBUHKAN pada 2021, Mokky’s Pizza & Coffee (Mokky’s) mula mencipta nama dan mendapat tempat di hati peminat khususnya penggemar hidangan itu di Lembah Klang.

Restoran ini tidak hanya menawarkan piza dengan resipi unik, tetapi juga pengalaman menjamu selera yang berbeza, menjadikannya pilihan utama ramai pelanggan.

Diusahakan hasil kolaborasi empat rakan kongsi, Mokky’s kini memiliki dua cawangan dengan yang pertamanya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor dan terbaharu di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

Bersua secara empat mata bersama Pengasas Bersama Mokky’s, Muhammad Azfar Abdul Aziz, dia berkata, restoran yang dimulakan Muhammad Shahmi Shaharudin, 30, itu mula mencuri perhatian ramai selepas menjalani proses penjenamaan semula pada 2023.

Dalam tempoh hanya enam hingga tujuh bulan, jenama tersebut berjaya menarik pelanggan baharu dengan memanfaatkan kekuatan media sosial dan pengaruh pempengaruh tempatan, termasuk kolaborasi bersama produk-produk lokal.

"Pendekatan pemasaran yang agresif seperti memuat naik konten secara konsisten di ruangan Instagram, X (Twitter) dan TikTok memberi impak besar kepada perkembangan perniagaan ini.

“Kunjungan pempengaruh ke premis ini yang kemudian memuat naik hantaran mengenai Mokky’s menerusi media sosial mereka menyebabkan jumlah pelanggan bertambah secara signifikan," katanya kepada Majoriti.

Hadir dengan variasi sos yang dituang ke atas kepingan piza gaya New York bersaiz besar, ditambah kehadiran taburan keju, lada benggala, bawang dan cendawan, sudah pasti berjaya menambat hati para penggemar piza.

Ujar Muhammad Azfar, Mokky’s juga dikenali dengan keunikan piza yang ditawarkan, terutamanya doh yang dihasilkan sendiri oleh Muhammad Shahmi atau lebih mesra dipanggil Mokky.

WhatsApp Image 2024-11-19 at 16.37.01

Pendekatan pemasaran secara konsisten di Instagram, X dan TikTok memberi impak besar kepada perkembangan perniagaan ini.

Tutur bekas barista dan pengurus di sebuah kafe itu lagi, keindahan piza gaya New York itu terletak pada keupayaannya untuk menahan berat hiasan tambahan atau topping, berbanding dengan piza Itali.

"Doh piza kami memang resipi daripada Mokky selepas menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui platform seperti YouTube selama beberapa bulan.

"Mokky yang pernah menuntut di Amerika Syarikat (AS) mendapat inspirasi untuk menghasilkan doh piza selepas menyedari minat mendalamnya terhadap hidangan tersebut.

"Ia lebih kenyal, mengenyangkan dan mampu menampung topping yang banyak tanpa koyak. Piza gaya New York terletak pada keupayaannya untuk menampung lebih banyak topping berbanding piza Itali tradisional," jelasnya.

Tekstur doh tersebut memberi kelebihan kepada Mokky’s untuk menawarkan pelbagai pilihan topping secara lebih kreatif. Sehingga kini, Mokky’s mempunyai lebih daripada 11 hingga 15 menu piza.

WhatsApp Image 2024-11-19 at 16.37.00 (1)

Dari kiri, Muhammad Azfar, Muhammad Shahmi dan pempengaruh yang lebih dikenali sebagai Ceddy mempromosikan Mokky’s di media sosial.

Konsistensi

Dengan sambutan luar biasa yang diterima, usahawan berasal dari Shah Alam, Selangor itu mengakui mereka berdepan cabaran besar untuk mengekalkan konsistensi kualiti makanan, dengan jumlah pelanggan yang ramai.

Cabaran ini kongsinya, menjadi lebih ketara pada waktu puncak.

“Sebagai pemilik perniagaan, setiap hari saya fikir macam mana nak kekalkan konsistensi, bukan saja untuk piza tetapi juga melibatkan semua aspek daripada penyediaan doh hingga bahan-bahan lain,” katanya menambah proses penyediaan piza hanya mengambil masa sekitar empat minit sahaja.

Berkongsi lebih lanjut, Muhammad Azfar berkata, Mokky’s memiliki visi dan misi yang besar untuk masa depan, dengan sasaran untuk memiliki 108 cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Snapinsta.app_449461246_18031941302500615_3278639572054252940_n_1080 (1)

Pelbagai pilihan pasta, piza dan ayam goreng boleh didapati di Mokky’s.

Anak kedua daripada lima beradik itu menjelaskan, sasaran itu lahir daripada peluang yang wujud akibat perubahan pola pengguna baru-baru ini..

“Visi kami adalah untuk mendominasi pasaran piza di Malaysia. Saya nampak peluang ini timbul selepas kewujudan isu boikot melibatkan jenama tertentu.

"Ramai yang mula menyokong produk tempatan dan di situ ada kekosongan yang kami cuba isi,” katanya sambil memberitahu Mokky’s setakat ini berjaya menjual kira-kira 10,000 keping piza sebulan.

Snapinsta.app_462143543_18044410757500615_1641048393208298672_n_1080

Tekstur doh piza gaya New York memberi kelebihan kepada Mokky’s untuk menawarkan pelbagai pilihan 'topping'.

Piza keping

Di Mokky’s, tidak sah rasanya jika tidak memesan piza klasik kegemaran ramai iaitu peperoni daging yang rangup bersama keju mozarela dan sos tomato.

Jika inginkan sesuatu lebih istimewa cuba gabungkan menu piza peperoni daging bersama perisa ayam alfredo. Sos istimewa alfredo buatan sendiri bersama isi ayam panggang dan bayam menawarkan rasa sedikit lemak dan berjus. Setiap gigitan tidak memberikan rasa muak.

Selain itu, satu lagi menu menjadi jualan terlaris di Mokky’s ialah 'fake margherita' yang menggunakan bahan seperti sos tomato Itali bersama taburan daging kerbau, keju mozarela, daun basil dan minyak zaitun.

Menariknya, ia memberikan aroma harum dan segar daun selasih bersama gabungan keju yang mencair di atas daging kerbau dengan rasa luar biasa. Anda juga patut cuba menu pastanya.

Antara menjadi pilihan pasta telur masin yang lazat dinikmati bersama ayam goreng. Kepada yang sukakan pasta berperisa pedas kering, 'smoking olio' adalah pilihan tepat.

Sensasi rasa pedas daripada bawang putih dan cili bersama campuran dendeng daging lembu, tomato kering dan dua jenis cendawan itu pasti membuka selera.

WhatsApp Image 2024-11-19 at 16.37.01 (1)

Muhammad Shahmi (kanan) mendapat inspirasi untuk menghasilkan doh piza selepas menyedari minat mendalamnya terhadap hidangan tersebut.

Kopi

Menu sampingan lain yang terdapat di sini termasuklah 'buff wing' iaitu kepak ayam bersama sos pedas, jejari keju dan sup cendawan.

Lazimnya, minuman ringan akan menjadi pilihan di kebanyakan restoran piza, namun tidak di Mokky’s apabila santapan piza dilengkapkan bersama aneka kopi yang dibru segar dan biskut premium.

Turut disediakan minuman teh hijau dan jus buah kepada mereka yang kurang menggemari kopi.

Sementara itu, Pengasas Bersama Mokky’s, Muhammad Shahmi Shaharudin, 30, berkata, percubaan Mokky’s menggabungkan piza dan kopi merupakan kejayaan yang tidak dijangka.

"Setelah hampir setahun, penerimaan konsep tersebut menunjukkan hasil yang positif tambahan pula disifatkan kopi bantu menenangkan fikiran.

“Kombinasi piza dan kopi jarang dilihat di Malaysia, jadi kami bawakan konsep baharu ini. Pada awalnya, gementar juga sebab ia adalah gabungan yang sukar digambarkan keberhasilannya.

“Selepas melaksanakannya, tidak sangka ia diterima oleh ramai pelanggan kami,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram