Guna konsep sewa percuma siap menderma, idea ahli bisnes Singapura bangunkan kompleks makanan di PJ wajar jadi ikutan


  • Bizz
  • Sabtu, 23 Nov 2024

Steven berharap Ocean World bukan sahaja berkembang menjadi destinasi kulinari, tetapi juga platform untuk memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

PENDUDUK dan pengunjung yang sering ke Seksyen 19, Petaling Jaya, Selangor pasti menyedari kehadiran bangunan baharu yang mencuri perhatian dengan reka bentuk berwarna-warni serta pancaran cahaya berubah-ubah di pintu masuknya.

Bangunan itu kini dikenali sebagai New Ocean World Fine Food City (Ocean World).

Dahulu, kawasan tersebut menempatkan sebuah kilang pembungkusan dan kertas tisu yang dimiliki oleh Datuk Steven Yen Wen Hwa, 76.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

Mengenang kembali asal usul tanah itu, Steven yang juga pengerusi Ocean World berkata, kilang miliknya itu pernah menghasilkan kotak untuk syarikat tembakau berdekatan.

“Lokasi kilang ini sangat strategik, menjadikan penghantaran lebih mudah,” katanya.

Namun pada 2015, ahli perniagaan itu memindahkan operasi kilang ke Klang, Selangor untuk mengurangkan kos dan menyewakan bangunan lama berkenaan sebagai gudang selama 10 tahun.

Bagaimanapun, selepas melihat potensi lokasi tersebut, Steven mula membuat perancangan untuk membangunkan semula tanah itu.

2

Bangunan Ocean World mencuri perhatian dengan reka bentuk berwarna-warni dan pancaran cahaya berubah-ubah di pintu masuknya.

"Pada awalnya, saya bercadang untuk membangunkan pejabat dan hartanah kediaman, tetapi saya sedar di sini, pasaran tersebut sudah terlalu banyak,” tuturnya.

Steven akhirnya memilih untuk membangunkan sebuah kompleks yang memfokuskan pada makanan (food mall). Projek itu bermula pada 2018 dan siap pada 2022 dengan keluasan binaan 29,277 meter persegi.

Menariknya, projek tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Steven tanpa sebarang pinjaman, walaupun terdapat kelewatan bayaran selama tiga tahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19.

Kini, 11 daripada 23 premis di pusat berkenaan telah beroperasi, menawarkan hidangan dari pelbagai negara termasuk Vietnam, Hong Kong, China, Mongolia, Thailand, Jepun dan Taiwan.

Antara jenama terkenal yang membuka cawangan di sini termasuk Ru Xuan dan restoran hotpot Mongolia, iaitu Eerdun.

Ocean World juga bakal memiliki dewan bankuet tanpa tiang yang mampu menampung sehingga 600 individu, selain perpustakaan dan kemudahan karaoke.

Tiada sewa dikenakan

Steven memperkenalkan model perniagaan unik dengan tidak mengenakan sewa kepada pengusaha restoran.

Sebaliknya, dia menggunakan pendekatan sebagai rakan kongsi dengan pegangan 50 peratus dalam perniagaan tersebut.

“Saya juga sangat teliti dalam memilih rakan kongsi. Saya akan rasa makanan dan menilai dapur mereka terlebih dahulu. Jika dapur tidak kemas, saya akan menolak,” jelasnya.

Dalam perkongsian keuntungan ini, Steven juga menanggung separuh daripada kos pengubahsuaian, keuntungan dan kerugian.

Ocean World bukan sekadar pusat makanan. Steven menyifatkannya sebagai projek persaraan yang berorientasikan amal.

Dalam tempoh lapan bulan sejak pembukaannya, pusat tersebut telah menyumbang sebanyak RM210,000 kepada tujuh sekolah tempatan.

“Kami mempunyai pasukan yang akan berbincang dengan guru besar untuk mengenal pasti sekolah yang memerlukan bantuan.

"Pendapatan restoran dipilih untuk disumbangkan pada hari tertentu,” ujar warganegara Singapura yang menetap di Malaysia itu lagi.

Usahawan itu juga merancang untuk menjadikan sumbangan secara mingguan sebagai inisiatif tetap pada tahun depan, apabila kesemua 23 premis beroperasi sepenuhnya.

Dengan visi menjadikan Ocean World sebagai pusat komuniti, Steven berharap pusat makanan itu bukan sahaja berkembang menjadi destinasi kulinari, tetapi juga platform untuk memberi manfaat kepada masyarakat setempat. — The Star/GRACE CHEN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram