Selain pamer 'dress up' ala Michael Jackson, Mr D jadi 'barber' kegemaran anak-anak autisme hingga ada sanggup datang dari Sabah


  • Bizz
  • Khamis, 21 Nov 2024

Darmalingam meletakkan elemen kasih sayang sebagai asas peraturan mengguntung rambut di MR.D Hair Studio.

SETIAP helaian rambut yang dipotong di kedai gunting rambut milik Darmalingam Manickam menyimpan kisah tersendiri, terutama buat anak-anak istimewa yang menjadi inspirasi utamanya.

Beroperasi sejak 2006, MR.D Hair Studio bukan sekadar menawarkan perkhidmatan gunting rambut, tetapi juga sebagai ruang untuk mengintepretasikan kasih sayang, kesabaran dan harapan.

Istimewanya di premis yang berlokasi di Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor itu, Darmalingam atau mesra disapa Mr D, tidak hanya dikunjungi individu berperwatakan normal, malah pelanggannya juga terdiri daripada golongan kanak-kanak istimewa.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Gabung piza dan kopi 'culture', 4 usahawan muda ada rahsia pilih doh NY, sasar buka 108 cawangan Mokky’s

Kemahiran menggunting rambut mungkin boleh dipelajari, tetapi memahami keperluan pelanggan dengan autisme memerlukan kesabaran, empati dan kemahiran komunikasi yang lebih mendalam.

Mr D antara susuk yang dikurniakan kelebihan itu. Kemahiran mengendalikan golongan tersebut juga sebenarnya datang dari pengalaman usahawan berusia 71 tahun itu menjaga mendiang adik perempuannya yang menghidap autisme.

Malah, adik bongsu itulah yang memberi inspirasi kepadanya untuk memulakan perniagaan gunting rambut sejak 18 tahun lalu.

Sebagai anak sulung kepada empat beradik, tidak dinafikan, dia memikul tanggungjawab yang berat sejak dari kecil.

Berkongsi kepada Majoriti, Mr D menyifatkan anak-anak istimewa adalah anugerah daripada Tuhan, yang dihadirkan sebagai satu bentuk 'pinjaman sementara' untuk menguji kesabaran dan menyebarkan nilai kasih sayang sejati.

"Kehidupan golongan ini tak panjang, tetapi keberadaan mereka mengajar kita menjadi lebih baik," katanya penuh emosi.

1

MR.D Hair Studio terletak di Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor.

Mengimbau kembali perjalanan dalam dunia penggayaan rambut, cerita Mr D, kariernya bermula pada 1987 selepas mengikuti kursus diploma di sebuah akademi di ibu kota.

Ketika itu katanya, dia masih lagi berkhidmat sebagai juruteknik di Telekom Malaysia Bhd (TM).

Namun minat yang mendalam terhadap dunia kecantikan dan fesyen menyebabkan dirinya memberanikan diri untuk menerokai bidang penggayaan rambut.

Meskipun perlu membahagikan masa antara kerja hakiki, belajar dan keluarga, bagi bapa kepada dua cahaya mata ini, minat adalah kunci utama dalam apa jua bidang, termasuk belajar menggunting rambut.

"Agak mencabar dan stres juga kerana masa itu saya perlu kerja siang, belajar malam, dan jaga anak. Memang susah, tetapi saya bahagia kerana minat dalam bidang ini.

"Kalau tiada minat, usaha dan wang yang dilaburkan mungkin hanya jadi sia-sia," tuturnya yang turut dibantu anak lelakinya mengendalikan premis berkenaan.

WhatsApp Image 2024-11-20 at 16.50.40 (2)

Mr D terkenal dengan kemahirannya mengendalikan pelanggan cilik.

Pelanggan cilik

Menerima sekitar 15 pelanggan setiap hari, Mr D banyak memberi tumpuan kepada pelanggan cilik autisme.

Akuinya, mengendalikan kanak-kanak autisme dalam situasi seperti memotong rambut bukanlah tugas mudah, kerana ia melibatkan aspek sentuhan deria yang sensitif.

"Bagi kanak-kanak ini, pengalaman gunting rambut boleh menjadi sesuatu yang mencabar, terutama apabila deria mereka terganggu oleh bunyi, sentuhan atau suasana sekitar.

"Sebab itulah proses ini memerlukan pendekatan yang sangat berbeza. Sentuhan pada kepala atau bunyi gunting boleh membuatkan mereka tidak selesa atau tertekan," kata lulusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) di Methodists Boys School, Kuala Lumpur itu.

Justeru untuk mengatasi cabaran tersebut, cerita Mr D, dia akan menggunakan pendekatan terapi lembut dan penuh kasih sayang, dengan suasana studio yang tenang.

Dia menjelaskan, kebiasaannya dia akan memberi masa untuk mereka menyesuaikan diri, selain bekerjasama rapat dengan ibu bapa untuk memahami keperluan anak-anak.

"Komunikasi dengan ibu bapa sangat penting bagi memastikan proses berjalan lancar. Mereka perlu beritahu saya apa yang anak mereka suka dengan tidak suka. Ini membantu dalam memahami dan menyesuaikan pendekatan saya," katanya yang pernah menerima kunjungan sebuah keluarga dari Sabah, semata-mata untuk memotong rambut anak mereka yang autistik.

Untitled design (41)

Mr D turut disenangi dalam kalangan pelanggan kanak-kanak.

Kongsi usahawan itu, bagi mengendalikan anak-anak syurga ini, dia turut mengambil inisiatif memperkenalkan satu set peraturan khas untuk memudahkan proses menggunting rambut.

Peraturan itu ujarnya, ditulis sendiri bertujuan memastikan pengalaman potong rambut di studionya bukan sahaja positif, malah memberi manfaat kepada kanak-kanak istimewa dan keluarga mereka.

Antaranya termasuk jangan stres, iaitu ibu bapa digalakkan untuk kekal tenang dan tidak membawa tekanan ke dalam studio bagi memastikan suasana yang harmoni untuk anak-anak.

"Wajib beritahu masalah, ibu bapa perlu berkongsi maklumat tentang keperluan dan keselesaan anak-anak mereka.

"Kesabaran adalah kunci. Penting untuk sabar dalam menghadapi kerenah kanak-kanak. Jangan dera mereka, ia satu dosa besar," katanya tegas.

Selain itu, kasih sayang juga menjadi elemen utama dalam pendekatannya terhadap anak-anak istimewa di studio berkenaan.

"Saya mencetak peraturan ini dan letakkanya di dalam kedai sebagai meluahkan perasaan. Saya mahu orang faham bahawa tugas ini memerlukan kesabaran tinggi dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi," bicaranya.

3

Mr D turut mengambil inisiatif memperkenalkan satu set peraturan khas untuk memudahkan proses menggunting rambut.

Sut tiga lapis

Selain cekap mengendalikan kanak-kanak istimewa, Darmalingam juga dikenali dengan gaya pemakaiannya yang stailo dan lain daripada lain.

Minatnya terhadap fesyen bermula sejak awal perkahwinannya pada 1977 dan semakin mendalam selepas menceburi dunia profesional pada 1987.

Terinspirasi oleh penampilan guru-guru yang mengenakan jaket dan sut tiga lapis, Darmalingam kini menjadikan gaya tersebut sebahagian daripada identiti dirinya.

"Setiap kali pakai sut tiga lapis, saya rasa lebih yakin. Kalau tidak berpakaian seperti itu, saya rasa kurang yakin dan seperti kehilangan sesuatu," ujarnya sambil memberitahu kedainya dibuka dari pukul 10 pagi hingga 9 malam, setiap hari kecuali Selasa.

Selama lebih 20 tahun, hampir setiap hari Mr D menggayakan sut, meskipun dalam cuaca panas.

2

Darmalingam (kiri) juga dikenali dengan gaya pemakaiannya yang stailo dan lain daripada lain.

Baginya, pakaian yang lengkap bukan sekadar keperluan, tetapi merupakan simbol keyakinan dan profesionalisme.

Selain sut, gaya tukang gunting rambut tersebut turut diserikan dengan aksesori unik seperti rantai kecil dan stoking yang terinspirasi daripada legenda pop, Michael Jackson.

Gabungan ini memberikan sentuhan peribadi kepada penampilannya yang kemas dan bergaya.

"Manusia perlu gembira. Apa yang kita pakai boleh mempengaruhi keyakinan kita dan itu penting untuk saya dalam menjalani kehidupan seharian," tambahnya sambil tertawa kecil.

Dengan pendekatan lembut, terapi khas dan keprihatinan terhadap anak-anak istimewa, Mr D menyuarakan harapan agar dirinya diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk terus membantu anak-anak istimewa di seluruh negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram