BAYANGKAN diri dibelai dengan urutan yang membantu melegakan ketegangan selepas berjam-jam menghadap komputer. Pastinya, ia memberi kelegaan untuk mengatasi lesu berpanjangan.
Teknik urutan alternatif, terapi badan Dusun Inan misalnya, dipercayai dapat melegakan ketegangan diri. Sambil melayan urutan, aroma di UR SPA, The RuMa Hotel and Residences, Kuala Lumpur itu turut membangkitkan ketenangan.
Urutan tisu dalaman tersebut menggunakan teknik yang diturunkan daripada satu generasi ke generasi dalam kalangan Lotud Dusun, kumpulan dari daerah Tuaran di Kota Kinabalu, Sabah, yang mewakili kumpulan terbesar Orang Asli di Borneo Utara.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
Pengasas bersama Jari Jari Spa and Academy, Datin Dr Jeanette Tambakau berkata, mengikut kepercayaan masyarakat peribumi Borneo, urutan bukan sekadar ibarat satu perjalanan untuk melonggar dan penyembuhan mendalam, malah memegang kedudukan suci dalam ritual harian.
Sebelum atau selepas seharian bertungkus lumus di sawah, urutan diterapkan bagi memberi kelegaan selain menyegarkan badan.
Tambahan pula, sesi urutan tidak hanya terhad kepada golongan dewasa, sebaliknya ia adalah satu tradisi bagi setiap generasi masyarakat Borneo termasuk warga emas yang ingin kekal sihat dan meningkatkan kesejahteraan diri.
Bagi membolehkan teknik urutan itu dikendalikan dengan baik, empat daripada enam pakar terapi di spa adalah berasal daripada kumpulan etnik Dusun dan Kadazan.
Inisiatif itu bertujuan memberikan pemahaman yang mendalam tentang budaya dan warisan mereka.
Teknik urutan menggunakan tekanan sederhana hingga kuat dengan ibu jari berkenaan menumpukan titik tekanan merentasi bahagian leher, bahu dan belakang.
“Melalui pukulan atau teknik geseran lebih perlahan, urutan tradisional Dusun Inan bantu menangani simpulan otot dan kekejangan,” katanya.
Terapi badan Dusun Inan yang dilakukan selama 90 minit itu dimulakan dengan sesi regangan badan Dusunik Tradisional, bertujuan memberi kelonggaran dan menguatkan otot belakang.
Ia juga melibatkan regangan lembut dari bahu ke bawah, diikuti pergerakan ke atas bahu dan regangan silang di sepanjang bahagian tengah tulang belakang serta melintasi punggung.
“Selepas itu, dengan menggunakan minyak aromatik asli pakar terapi akan mengurut perlahan-lahan bagi membantu meningkatkan pengalaman terapeutik, sekali gus memberikan rasa tenang pada tubuh dan minda.
“Kelebihan urutan ini juga membantu meningkatkan kualiti tidur terutamanya mereka yang mengalami masalah insomnia serta merangsang aliran darah lebih baik ke seluruh badan,” jelasnya lanjut.
Kekerapan menjalani sesi terapi badan Dusun Inan bergantung kepada keperluan individu. — Instagram/therumahotel
Kedamaian
Apabila perjalanan darah bertambah baik, ia membawa pelbagai manfaat kesihatan seperti membantu penyembuhan luka dengan kadar segera.
“Kekerapan menjalani sesi terapi badan Dusun Inan bergantung kepada keperluan individu.
“Sekiranya mahu mengekalkan kesejahteraan, memadai dilakukan seminggu sekali,” ujarnya mengenai terapi Dusun Inan yang bukan saja mengurangkan ketegangan fizikal, tetapi membantu memberi keseimbangan minda dan rohani.
Dalam pada itu, ujar Jeanette, individu yang mempunyai masalah perubatan perlu mendapatkan rundingan pakar profesional sebelum menjalani terapi berkenaan.
Jeanette berkata, mengikut kepercayaan masyarakat peribumi Borneo, urutan juga memegang kedudukan suci dalam ritual harian. — Instagram/jeanettembakau
Terapi itu juga tidak disyorkan buat mereka yang menghidap epilepsi, ekzema akut atau sebarang penyakit kulit dan wanita hamil.
Selain terapi Dusun Inan, UR SPA, The RuMa Hotel dan Residences turut menawarkan Urutan Malaysia.
Mengambil masa 90 minit, sesi uruan berkenaan merangkumi rawatan refleksologi, urutan kepala tradisional India, teknik pernafasan Qi Gong Cina dan rendaman kaki herba Malaysia.
Manfaatnya membantu mengembalikan kesegaran dan merehatkan diri menerusi pengalaman kesejahteraan holistik pelbagai teknik mengikut pecahan kaum dalam satu rawatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram