Tak perlu susah-susah cop pasport, Thai Street Mart di Bukit Bintang tawar aneka makanan jalanan Gajah Putih


  • Bizz
  • Khamis, 21 Nov 2024

Hafiz mengakui minuman teh madu berjaya dijual sebanyak 6,000 cawan sebulan.

KEHADIRAN tiga kedai serbaneka menghimpunkan puluhan pilihan makanan dan snek halal dari Thailand, Thai Street Mart, di sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur menawarkan pilihan kepada warga kota.

Kedai serbaneka yang mengetengahkan juadah ringan negara Gajah Putih itu dimiliki oleh satu-satunya usahawan Bumiputera di tengah kawasan Segi Tiga Emas itu.

Pemiliknya, Hafiz Othman, 39, berani mencabar diri untuk menetapkan sasaran membuka dua lagi Thai Street Mart di pusat beli-belah The Exchange TRX Mall dan Suria KLCC sebelum penghujung 2024.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

Tiga cawangan sedia ada beroperasi di Jalan Bukit Bintang, pusat beli-belah Ansa Walk dan Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Uniknya, setiap kedai serbaneka diketengahkan mengikut konsep hiasan dalaman berbeza, namun mengekalkan tema lampu neon yang sinonim dengan masyarakat Thailand.

Jelas usahawan berasal dari Kelantan itu, Thai Street Mart Suria KLCC, bakal menampilkan kerjasama antara dengan rantaian kopi tersohor Thailand, Cafe Amazon.

Santai berkongsi perniagaan dijalankan sejak Oktober tahun lalu, Hafiz mahu keluar dari kelompok selesa dan mencuba sesuatu berbeza seiring permintaan pasaran.

Interview pengasas Thai Street Mart Hafiz Othman. — SIA HONG KIAU/The Star

Thai Street Mart menjual variasi minuman jalanan Thailand.

Akuinya, biarpun menelan modal besar untuk setiap cawangan kedai serbaneka tersebut, tetapi dirinya optimis untuk mencapai satu tahun 10 cawangan dapat dipenuhi.

“Sambutan diberikan oleh pelanggan sangat memberangsangkan membuatkan saya yakin dengan sasaran ditetapkan,” katanya.

Menurut Hafiz, ilham untuk mengetengahkan perniagaan tersebut bermula daripada statistik yang mendedahkan kecenderungan rakyat di negara ini untuk bercuti ke Thailand.

Interview pengasas Thai Street Mart Hafiz Othman. — SIA HONG KIAU/The Star

Antara makaan ringan yang ditawarkan di Thai Street Mart.

Sijil halal

Thailand ujarnya, juga dikenali sebagai syurga makanan menyediakan hidangan asli tempatan yang sesuai dengan selera masyarakat tempatan.

Pendekatan kedai serbaneka secara tidak langsung bertujuan membawa makanan dan minuman jalanan Thailand ke pelanggan di sekitar ibu kota dan memberi nilai tambah kepada ekonomi tempatan.

“Perancangan untuk membuka Thai Street Mart mengambil masa dua tahun. Antara perkara perlu diberi keutamaan adalah status halal untuk setiap juadah dijual.

“Saya berulang alik ke kilang CP, Thailand untuk memastikan kesemua sajian dijual adalah halal.

“Selain itu, perancangan logistik dan penghantaran produk dari negara jiran juga perlu disusun dengan strategik agar tidak kekurangan bekalan,” jelasnya yang berpengalaman luas dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Snapinsta.app_464948115_3756618437883842_7625371666557155496_n_1080

Hafiz memberi keutamaan status halal untuk setiap juadah dijual.

Teh madu

Baginya, dalam perniagaan perlu sentiasa ada perancangan kedua dan bijak mengatur strategi pemasaran.

Sejak dahulu, makanan Thailand popular dalam kalangan masyarakat tempatan. Seiring perkembangan teknologi, juadah berkonsepkan sedia makan pula menjadi tarikan.

Hafiz memberitahu, Thai Street Mart membawa masuk hampir semua jenis juadah ringan yang terkenal di kedai serbaneka dan 7 Eleven, Thailand.

Antara yang mendapat sambutan adalah burger segera seperti Double Cheese Burger. Setiap minggu, lebih 10,000 biji burger segera terjual dan pesanan diambil tiga kali seminggu daripada pengedar di Thailand.

Thai Street Mart juga popular dengan minuman teh madu diperbuat daripada serbuk teh Thailand yang dicampur madu asli.

Interview pengasas Thai Street Mart Hafiz Othman. — SIA HONG KIAU/The Star

Thai Street Mart membawa masuk hampir semua jenis juadah ringan yang terkenal di kedai serbaneka dan 7 Eleven, Thailand.

“Minuman itu berjaya dijual sebanyak 2,000 cawan setiap hari dan secara purata 60,000 cawan sebulan.

“Permintaan tinggi itu bukti jelas bahawa perniagaan bergarisan kehendak pasaran semasa memberikan peluang perkembangan baik,” jelasnya yang turut mengendalikan perniagaan itu bersama isteri, Zetty Shahrudin, 32.

Tambah Hafiz, Thai Street Mart turut mengintai pasaran luar termasuk Singapura, Indonesia dan Brunei.

Namun, dia mahu jenama itu kukuh terlebih dahulu di negara sendiri.

“Saya harap dalam tempoh sedekad, sebanyak 30 cawangan Thai Street Mart dapat beroperasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram