TEKNOLOGI kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) amat popular ketika ini. Ia berpotensi dalam mengautomasikan operasi dan kerja yang sifatnya berulang-ulang.
Penggunaan teknologi AI menjadi alat penting dalam kehidupan manusia untuk menyelesaikan kerja-kerja yang kompleks bagi menjimatkan masa dan tenaga manusia.
Dewasa ini, AI juga dikatakan bakal memainkan peranan besar dalam meluaskan lagi perniagaan. Ikuti pandangan Pengasas Ai4biz, Hazril Hafiz mengenai perkembangan teknologi itu dalam dunia perniagaan.
BACA LAGI: 'Influencer mukbang' bawa resipi nasi ayam ala Pantai Timur, pikat 'lidah bandar' warga kota
Hazril Hafiz berkongsi mengenai perkembangan teknologi AI dalam dunia perniagaan. — Ai4biz
Boleh terangkan secara ringkas bagaimana anda boleh terlibat dalam bidang berkaitan AI?
Fokus kami di Ai4biz untuk memberi pendedahan kepada golongan yang ingin mendalami ilmu perniagaan dan pemasaran berasaskan AI merangkumi kaedah menghasilkan kandungan, video, gambar atau apa sahaja bagi tujuan pemasaran.
Kami mula memberi pendedahan dengan mengadakan kelas generatif AI sejak awal tahun lalu selepas ChatGPT diperkenal sekitar hujung 2022. Pada waktu itu, golongan usahawan mula tertanya-tanya dan ingin tahu manfaat yang bakal diperoleh jika menggunakan AI.
Generatif AI memerlukan kita memasukan arahan dan kemudian ia akan hasilkan sesuatu yang berbentuk material. Contoh AI seperti ChatGPT iaitu memasukkan arahan dalam bentuk teks dan AI akan membalasnya dalam bentuk teks.
Ada juga platform AI apabila dimasukkan teks ia menghasilkan gambar dan gambar menghasilkan video.
Malah, ada juga platform AI yang kita beri arahan secara teks ia menghasilkan bunyi atau lagu. Menerusi AI, banyak material boleh dihasilkan.
AI bakal memainkan peranan besar dalam meluaskan lagi perniagaan.
Lazimnya, AI sering kali dikaitkan dengan penghasilan gambar semata-mata. Bagaimana ia boleh membantu sesebuah perniagaan?
Sebelum bergiat aktif dalam bidang ini, saya merupakan pemasar digital, di samping berkhidmat sebagai pereka laman web. Sejujurnya, untuk saya sendiri AI amat berguna dan mempercepat segala urusan kerja.
Kajian AI Accelerator Institute mendedahkan, penggunaan generatif AI sepanjang 2023 adalah sebanyak 48 peratus untuk mempercepat kerja.
Bukan hanya untuk tugasan pemasaran, tetapi meliputi keseluruhan ekosistem perniagaan boleh dioptimumkan dengan penggunaan AI.
Bagaimanakah AI membantu perniagaan mengatasi sesuatu konflik?
Saya ambil contoh usahawan makanan dan minuman (F&B) yang menerima komen negatif dan akhirnya cara mereka membalas komen pelanggan itu menjadi tular.
Membalas ulasan dan maklum balas ada masanya sukar buat pemilik restoran kerana ia melibatkan emosi. Lebih-lebih lagi ulasan itu daripada pelanggan yang cerewet dan lantang.
Sebagai pemilik yang inginkan perniagaan bertahan lama dan kekal dengan imej bersih dalam apa jua keadaan perlu bersikap profesional dan berhemah. Sudah pasti bukan semua usahawan mampu mengarang atau membalas semula dengan ayat berhemah.
Jadi, solusi terbaik gunakan AI seperti Gemini. Bagusnya platform AI apabila saya mengambil konteks kedua-dua pihak iaitu maklum balas dan komen daripada pelanggan dan pemilik ia memberi jawapan balas yang sangat berhemah selepas menerima arahan.
ChatGPT yang diperkenal sekitar hujung 2022 mampu membantu memudahkan urusan para peniaga. — Ai4biz
Ini antara konflik yang boleh menggunakan AI dan pelbagai lagi kaedah yang saya ajar secara peribadi. Saya tidak boleh membimbing dalam skala besar kerana ia perlu disesuaikan dengan landskap perniagaan masing-masing.
Ciri AI sentiasa berubah dan hampir setiap hari saya akan jumpa sesuatu yang baharu. Teknologi AI terlalu laju dan kalau mahu kejar memang tidak sempat.
Kepada pemilik perniagaan, saya sarankan anda untuk sentiasa ambil tahu info, perkakasan dan strategi baharu AI yang boleh atau sesuai diguna dengan perniagaan anda.
Sebagai bos, anda tidak perlu belajar secara terperinci teknikal AI dari A hingga Z, cukup sekadar ambil tahu agar tidak diperdaya dengan pekerja anda. Yang perlu belajar secara teknikal adalah staf terutamanya bahagian pemasaran dan pereka.
Apabila pemilik ada pengetahuan mengenai AI secara tidak langsung mereka tahu apa yang perlu pasukan kerjanya lakukan.
Namun, jika pasukan tiada ilmu susah untuk menerima arahan dan sebaik-baiknya kedua-dua pihak perlu ada pengetahuan berkaitan AI. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram