[VIDEO] Pernah sampai dirempuh kereta, penjual sate asal Kampung Gajah ketepi sakit demi besarkan 6 anak


  • Bizz
  • Selasa, 19 Nov 2024

Dengan semangat untuk membesarkan anak-anak, Latifah mula berniaga sate bermula sekitar 1990-an.

PERNIAGAAN sate sudah sebati dalam kehidupan Latifah Mohd Hassan sekeluarga sejak lebih 30 tahun dahulu.

Dengan hasil titik peluh wanita berusia 59 tahun itu bersama suami tercinta, Abd Hadi Mustaffa, 60, mengusung bekas berisi sate dan kuah kacang itulah mereka mampu membesarkan enam cahaya mata.

Memulakan bicara, kata Latifah, sekitar 1990-an lagi, dia mula menjual sate dengan menyewa ruang kecil di sebuah restoran Cina dengan bayaran sewa RM10 sebulan bagi menyara kehidupan mereka lapan beranak.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

2

Latifah memulakan perniaagaan sate ketika berumur 21 tahun.

"Saya berasal dari keluarga susah, sekolah pun setakat darjah lima sahaja. Dengan semangat untuk membesarkan anak-anak, saya mula berniaga sate.

"Jiran mengajar saya resipi membuat sate, dia tunjuk cara asas termasuk memerap daging dan menyediakan kuah kacang.

"Ada masa saya olah sendiri resipi, saya cuba pelbagai ramuan sehingga akhirnya dapat hasil yang diterima ramai sehingga sekarang," katanya kepada Majoriti.

Mengimbau kembali detik awal memulakan perniagaan, Latifah akui, dia bermula dengan peralatan seadanya, termasuk menggunakan penyapu lidi yang diraut sendiri.

Ketika itu katanya, dia tiada pilihan lain melainkan terpaksa meraut penyapu lidi satu persatu untuk digunakan sebagai lidi sate.

"Masa itu tiada duit sangat jadi guna apa yang ada saja, harga bahan mentah seperti ayam dan daging pun jauh lebih murah berbanding sekarang.

"Dulu biasanya sehari boleh jual satu ikat (200 cucuk sate), jualan boleh cecah RM50 hingga RM60 sehari," ujarnya.

3

Latifah mengembangkan jualan satenya ke pasar malam Kelana Jaya, TTDI, Setia Alam dan Kayu Ara.

Hanya berbekalkan sebuah motosikal jenis Honda lama, pasangan suami isteri itu berulang-alik dari Kayu Ara Damansara ke Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor untuk berniaga sate yang ketika itu hanya dijual 25 sen secucuk.

Dengan motosikal itu jualah Latifah dan suami mengusung makanan setiap hari, tidak kira hujan atau panas, demi mencari rezeki untuk keluarga.

"Kami juga pernah terlibat dengan kemalangan ketika dalam perjalanan ke lokasi niaga.

"Masa itu kami dilanggar dengan kereta sampai terpelanting kuah kacang, terpaksalah pulang dengan tangan kosong. Jika diingat semula detik itu memang sedih sangat," luahnya sambil mengalir air mata.

Akuinya, biarpun ada ketika kesihatannya terganggu, semangat untuk berniaga tidak pernah luntur.

“Sakit-sakit pun saya gagahkan diri. Kalau saya tak buat, anak-anak nak makan apa?” luahnya yang mula berniaga sejak umur 21 tahun.

Dengan keadaan ekonomi mereka ketika itu, menyediakan keperluan seperti makanan dan pakaian buat lima anak lelaki dan seorang perempuan bukanlah suatu perkara yang mudah buat pasangan ini.

Kongsi wanita kelahiran Kampung Gajah, Perak itu lagi, pernah suatu ketika, kehidupan mereka begitu susah sehingga terpaksa menggantikan susu dengan air sirap untuk anak-anak kecilnya.

"Bayangkan nak bagi anak-anak minum dalam botol susu pun adalakalanya tak mampu, kadang-kadang cuma sirap saja mampu diberi. Tapi mereka tak pernah mengeluh.

“Dulu saya dan suami buat semua kerja sendiri. Daripada (proses) raut penyapu lidi, perap, bakar sate, bungkus, sehingga menjual. Masa tu susah nak gaji orang.

"Lagipun daripada upah orang, baik saya guna untuk beli susu anak-anak dan juga beras," katanya sambil menambah pada awalnya dia terpaksa mengusung sekali anak-anak yang masih kecil ke tapak niaga.

5

Anak-anak Latifah Latifah (dua dari kanan) dan Abd Hadi (dua dari kiri) terus menyokong perniagaan keluarga sehingga ke hari ini.

Meskipun kesemua anak-anaknya sudah menginjak dewasa dengan kebanyakannya sudah berkeluarga, namun mereka masih terus menyokong perniagaan keluarga sehingga ke hari ini.

Selepas beberapa tahun beroperasi, Latifah mula mengembangkan jualannya ke beberapa lokasi lain seperti pasar malam Kelana Jaya, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Setia Alam dan Kayu Ara, dengan memperkenalkan jenama Sate Opah.

"Selain sate, saya juga menjual nasi lemak setiap Selasa di SS3, Kelana Jaya dan mengambil tempahan nasi tomato setiap Jumaat.

"Dahulu, saya berniaga hampir setiap hari, pagi dan petang. Bagi saya, berniaga bukan sekadar minat dan mencari rezeki tetapi juga membantu kami sekeluarga cekal untuk meneruskan kehidupan," katanya yang mendirikan rumah tangga pada usia 18 tahun.

Minat berniaga ujar wanita itu, yang membuatkan mereka bertahan sehingga ke hari ini. Dengan hasil jualan sate, Latifah dan Abd Hadi dapat memastikan anak-anak menjamah makanan yang lebih baik berbanding kehidupan lalu.

“Dulu tak puas bagi mereka makan sedap. Sekarang, kalau ada duit lebih, saya akan masak sedap-sedap untuk anak dan cucu.

“Selagi ada kudrat, saya akan terus berniaga. Hidup ini tak semudah yang orang sangka, tapi dengan anak-anak di sisi, semuanya rasa berbaloi,” tuturnya menutup perbualan dengan senyuman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram