INISIATIF di bawah Waste to Wealth oleh perusahaan sosial, Impactlution yang dijalankan pada tahun lalu membuka peluang pendapatan bagi golongan kurang berkemampuan untuk menaik taraf kehidupan ke arah lebih baik.
Program itu memberi peluang kepada suri rumah seperti Mas Nor Faradayazie Ab Aziz, 34, menjana sumber pendapatan tambahan bagi membantu membiayai perbelanjaan keluarga.
Wanita yang juga salah seorang penerima manfaat program tersebut meluahkan kegembiraannya disebabkan projek itu berjaya menghasilkan sekitar RM7,500 dalam tempoh berkenaan.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
Pendapatan tersebut dibahagikan dalam kalangan ahli komuniti yang terlibat secara aktif.
“Saya gembira kerana dapat menjana wang melalui kerja keras.
“Pendapatan tambahan amat penting dengan kos sara hidup meliputi aspek perumahan, makanan dan pendidikan yang semakin meningkat," katanya yang menetap di Taman Dato Harun in Petaling Jaya, Selangor.
Program tersebut menggabungkan inovasi dan kelestarian melalui proses mengitar semula botol kaca menjadi pasir, yang kemudiannya digunakan untuk menghasilkan produk konkrit mesra alam seperti pasu tanaman dan dulang, di bawah jenama GlazCraft.
Bagi Mas Nor Faradayazie, langkah itu tidak hanya membantu dari segi ekonomi tetapi juga mendidik komuniti mengenai pentingnya kelestarian alam sekitar.
“Saya kini semakin sedar akan kepentingan kitar semula dalam kehidupan.
“Botol kaca yang dibuang sebenarnya boleh menjana pendapatan sambil mengurangkan pencemaran alam sekitar,” ujarnya.
Mohd Faisal berharap dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk menjadi usahawan.
Mendidik dan memelihara alam
Impactlution diasaskan oleh pemenang Anugerah Star Golden Hearts (SGHA) 2019, Mohd Faisal Abdur Rani, yang juga merupakan ketua sukarelawan Pertubuhan Generasi Peduli Sampah Malaysia.
Mohd Faisal terlibat dalam aktiviti pembersihan awam melalui program Jom Tip Pah (Jom Kutip Sampah), mendidik orang awam dan korporat mengenai pengurusan sisa serta pembersihan bandar, kawasan kejiranan, sungai dan pantai.
Selain itu, Impactlution juga mengadakan program pemuliharaan hutan paya bakau dan hutan bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan alam sekitar dan perubahan iklim.
Melalui projek kitar semula kaca itu, Impactlution berharap dapat memberi manfaat kepada komuniti kurang berkemampuan serta menyumbang kepada pemeliharaan sumber alam.
Projek GlazCraft, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Waste to Wealth, bertujuan mencipta permintaan bagi produk kitar semula kaca dan menyediakan pasaran untuk pasir kaca.
Melalui projek itu, Impactlution berharap dapat membantu wanita kurang berkemampuan menjadi usahawan.
“Kami berharap komuniti terpinggir ini akhirnya boleh menjadi usahawan,” kata Mohd Faisal.
Dengan memperkasakan wanita dan mendorong amalan kelestarian, program kitar semula kaca tersebut menjadi contoh terbaik bagi menggambarkan bahawa langkah kecil juga boleh membawa satu perubahan yang besar.
"Inisiatif ini bukan sahaja membantu alam sekitar tetapi juga memperbaiki kehidupan mereka yang memerlukan, sekali gus mewujudkan harapan untuk masa depan yang lebih hijau dan adil," jelasnya. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram