GAGAL sekali bukan bermakna gagal selamanya. Itu pepatah sesuai menggambarkan situasi yang dilalui Mohd Fadzli Che Harun.
Ditamatkan perkhidmatan sebagai pegawai kerajaan pada 2017 atas faktor tertentu, menyebabkan usahawan berusia 39 tahun ini jatuh terduduk.
Pernah berada di titik terendah dalam hidupnya, Mohd Fadzli mengakui, bukan mudah untuk dirinya bangkit daripada episod duka yang meninggalkan parut mendalam dalam perjalanan kariernya.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
Enggan menoleh ke belakang, dia bangkit menjalankan apa sahaja pekerjaan yang boleh dilakukan untuk menyara kehidupan, sehinggalah anak kelahiran Kampung Pulau Chondong, Machang, Kelantan ini memutuskan untuk menceburi dunia perniagaan.
Baginya, memulakan bisnes adalah satu alternatif yang dilihat tercapai dek akal, pada ketika itu.
"Selepas diberhentikan kerja saya benar-benar terjatuh, namun itulah yang memberikan motivasi untuk saya bangkit dan buat sesuatu untuk bertahan hidup.
"Saya tidak pernah terfikir nak berniaga ketika bekerja. Saya jenis yang fokus pada tugas dan tidak mencari pendapatan sampingan. Namun, selepas diberhentikan, saya terpaksa mencari jalan untuk menyara hidup.
"Saya cuba berniaga macam-macam asalkan jadi duit dan halal. Pada peringkat awal, saya jual jam, baju wanita, samping, kain songket dan pelbagai lagi asalkan dapat sara hidup ketika itu," katanya kepada Majoriti.
Perniagaan pemasangan filem penapis haba diilhamkan daripada rakan yang terlebih dahulu terlibat dalam industri tersebut.
Mula berniaga di Uptown Jalan Reko, Bangi pada 2017, anak sulung daripada lima beradik ini mengakui, berniaga bukanlah satu cabang kerjaya yang mudah, apatah lagi menjual barang yang tidak sinonim dengannya.
Ujarnya, menjual pakaian wanita mungkin kedengaran mudah, namun bagi seorang lelaki, ia adalah cabaran yang memerlukan usaha luar biasa.
"Ia memerlukan saya lebih memahami bukan sahaja fesyen, tetapi juga keinginan dan cita rasa mereka.
"Selain pemasaran, saya juga perlu memahami dari segi keperluan dan kehendak pelanggan wanita. Jadi saya perlu mencari alternatif lain untuk mengatasi cabaran tersebut," katanya.
Bercerita lanjut, Mohd Fadzli memberitahu, kesukaran menjual pakaian wanita dan keletihan melampau menyebabkan dirinya memutuskan untuk beralih kepada perniagaan pemasangan filem penapis haba untuk kenderaan (window tint), selepas mendapat cadangan daripada seorang kenalan.
Tidak dinafikan keputusan menceburi perniagaan itu diilhamkan daripada rakan yang terlebih dahulu terlibat dalam industri tersebut.
"Saya lihat rakan berjaya dalam bidang ini jadi saya ingin cuba sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan perniagaan Melayu seperti makanan, pakaian atau tudung.
"Saya mahukan sesuatu yang unik, yang memerlukan pelanggan hadir ke kedai untuk mendapatkan perkhidmatan," ujarnya.
Mohd Fadzli dan pasukan kemudian diberi latihan oleh kenalannya tentang cara sebenar pemasangan penapis haba untuk diaplikasikan pada kenderaan pelanggan.
“Kami dilatih tentang teknik pemasangan, jenis filem penapis haba yang sesuai dan cara untuk berurusan dengan pelanggan,” jelasnya yang berkhidmat sebagai pegawai kerajaan bermula 2009 hingga 2017.
Kakitangan UV Kool Tint diberi latihan tentang cara pemasangan penapis haba.
Bisnes kaum Cina
Bermula dengan modal sekitar RM20,000, bapa kepada empat cahaya mata itu menubuhkan bisnes dengan jenama UV Kool Tint di bawah syarikat TMK Industries, pada 2017.
Selepas setahun beroperasi, dia mengambil langkah untuk berkongsi rezeki dengan individu di sekelilingnya, dengan membuka cawangan UV Kool Tint di kawasan masing-masing, sambil memberikan bimbingan penuh berdasarkan pengalamannya.
Meskipun menceburi bidang perniagaan yang secara tradisinya dimonopoli oleh kaum Cina, Mohd Fadzli membuktikan melalui usaha gigih dan fokus kepada kualiti perkhidmatan, dia mampu mencipta kejayaan tersendiri.
Buktinya, kini jenama UV Kool Tint sudah berkembang sehingga berhasil membuka 57 cawangan seluruh Malaysia kecuali Sabah dan Sarawak.
"Kita merupakan rangkaian kedai filem penapis haba bumiputera terbesar di Malaysia buat masa ini, dengan hampir 60 cawangan yang beroperasi di seluruh negara.
"Sebagai jenama tempatan, kita menitikberatkan kualiti dan kepercayaan pelanggan. Ini adalah kekuatan kami.
"Kejayaan ini meletakkan jenama tempatan juga mampu diiktiraf sebagai peneraju dalam industri, membuktikan kemampuan usahawan Melayu untuk bersaing dengan pemain-pemain besar," bicaranya sambil menambah, nilai jualan sebulan secara purata boleh dianggarkan sekitar RM30,000 hingga RM40,000.
Mohd Fadzli memberi peluang kepada pemilik cawangan untuk menguruskan operasi dengan lebih bebas.
Ikhlas berniaga
Menurutnya, keikhlasan adalah asas utama untuk memastikan kelangsungan dan kejayaan sesuatu perniagaan.
“Dalam bisnes, perkara pertama yang perlu ada ialah ikhlas. Tapi keikhlasan ini susah nak diterjemahkan kalau kita tak melaluinya sendiri,” katanya.
Ujar Mohd Fadzli, keikhlasan bukan sekadar slogan tetapi perlu dijadikan amalan, walaupun melibatkan sekecil-kecil perkara termasuk melayan pelanggan di luar waktu kerja.
“Kalau pelanggan WhatsApp pukul 12 tengah malam sekalipun, jika masih berjaga, kita kena tenang dan jawab dengan baik.
"Pernah juga saya terima mesej pukul tiga atau empat pagi, biasanya mereka bertanya tentang servis seperti tinted, PPF (filem perlindungan cat) atau coating (pelindung),” katanya yang gemar berkongsi rezeki bersama golongan memerlukan.
Bagi Mohd Fadzli, melayan pelanggan dengan marah atau dendam yang terpendam walaupun balasan mesej kelihatan sopan, akan memberi kesan buruk kepada perniagaan.
“Anda boleh balasan dengan cantik, tapi kalau hati tak ikhlas, tetap akan beri kesan kepada perniagaan,” tegasnya.
Ketika ditanya pengalaman pahit sepanjang mengendalikan bisnes tersebut, Pengarah Urusan TMK Industries itu mengakui cabaran terbesar yang dihadapi adalah ketika penularan pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia kira-kira empat tahun lalu.
Mohd Fadzli juga gemar berkongsi rezeki bersama golongan memerlukan.
Bagaimanapun sulitnya ujian ketika tempoh itu, ujar Mohd Fadzli, dia mengambil keputusan untuk tidak memberhentikan mana-mana kakitangannya.
“Waktu itu, kami hanya ada belasan cawangan sahaja, tetapi kami berjaya mengekalkan semua pekerja. Itu adalah pencapaian yang sangat penting bagi saya,” jelasnya yang pernah melancarkan inisiatif bank makanan di setiap cawangannya bagi membantu individu terkesan akibat Covid-19 pada 2021.
Jelas pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu lagi, bermula Mei hingga Disember 2020, UV Kool Tint mula berkembang dengan pesat.
Dalam tempoh beberapa bulan sahaja katanya, mereka berjaya membuka lima hingga enam cawangan baharu serentak, dengan kawasan seperti Johor Bahru, Terengganu dan Kulim, Kedah menunjukkan sambutan luar biasa.
Mohd Fadzli dalam pada itu turut menekankan bahawa kejayaan sesebuah cawangan bukan hanya bergantung kepada lokasi, tetapi kepada semangat pemilik yang mengendalikan perniagaan tersebut.
"UV Kool Tint menggunakan model perniagaan berasaskan pelesenan (licensing) dan bukannya francais, yang memberi peluang kepada pemilik cawangan untuk menguruskan operasi dengan lebih bebas.
“Perniagaan ini melibatkan lebih 200 hingga 250 kakitangan di seluruh cawangan. Ramai daripada mereka kini mempunyai sumber rezeki yang stabil untuk menyara keluarga.
“Dalam perniagaan, saya tidak minat berniaga, tetapi saya lebih kepada ingin meneroka peluang untuk menjana pendapatan, untuk itu, saya akan terus berusaha mengembangkan rangkaian UV Kool Tint,” katanya mengakhiri perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram