Anak jati P.Pinang simpan kemas resipi rahsia bebola ikan 90 tahun dari Tembok Besar


  • Bizz
  • Ahad, 17 Nov 2024

Perniagaan keluarga yang terletak di Jalan Pokok Ceri, berhampiran Bukit Bendera itu diambil alih Kong Yeow daripada bapanya pada 1998.

MENGGUNAKAN resipi bebola ikan yang diwarisi sejak 90 tahun lalu, Phaung Kong Yeow kini menghasilkan lima jenis yong tau foo tradisional yang menjadi kebanggaan dalam dunia kulinari Pulau Pinang.

Resipi turun-temurun ini mampu memikat hati ramai, khususnya dalam kalangan penduduk tempatan di Air Itam.

Perniagaan keluarga yang terletak di Jalan Pokok Ceri, berhampiran Bukit Bendera itu diambil alih Kong Yeow, 52, daripada bapanya pada 1998.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

Menurutnya, resipi bebola ikan tersebut mula dibawa ke Malaysia oleh datuknya yang berasal dari Daerah Dabu, Meizhou, Guangdong, China.

"Satu penghormatan buat saya untuk meneruskan tradisi keluarga ini.

"Meskipun setiap hari kami perlu bekerja keras, melihat pelanggan menikmati hidangan asli ini memberikan kepuasan tersendiri,” katanya.

Isterinya, Khoo Wei Wen, 45, dan dua jiran turut membantu dalam operasi harian bagi memastikan persiapan yong tau foo berjalan lancar.

Meskipun anak-anaknya yang berusia antara 21 hingga 24 tahun, memilih haluan kerjaya berbeza, Kong Yeow memastikan resipi keluarga itu tetap dipelihara dan didokumentasikan dengan teliti sebagai rujukan generasi akan datang.

“Anak-anak perempuan saya telah mempelajari resipi ini sejak kecil. Mereka memerhatikan dan mempelajari setiap proses dengan tekun.

“Saya juga mencatat setiap bahan dan kaedah memasak, termasuk rahsia kecil yang menjadikan yong tau foo kami unik.

"Jadi, mereka (anak-anak) sudah pun mempunyai panduan yang benar jika memilih untuk meneruskan legasi ini pada masa depan,” ujarnya.

WhatsApp Image 2024-11-12 at 18.14.44

Kong Yeow turut menjual yong tau foo buatannya di pelbagai pasar mengikut jadual mingguan.

Resipi satu abad

Resipi keluarga itu dikatakan sudah berusia lebih dari satu abad, dengan mengekalkan bahan utama seperti daging belut, tepung ubi kayu dan sedikit perasa rahsia.

“Setiap hari, kira-kira 100 kilogram (kg) belut diperlukan untuk menghasilkan 2,200 keping yong tau foo,” jelas Kong Yeow.

Tambah usahawan tersebut, produk berkenaan juga dijual kepada peniaga pasar di seluruh Pulau Pinang, sementara sebahagiannya disediakan untuk jualan di gerai mereka.

Kong Yeow turut menjual yong tau foo buatannya di pelbagai pasar mengikut jadual mingguan.

Misalnya, di Pasar Kuantan Road pada Isnin, Rifle Range (Selasa), Pasar Malam Farlim (Rabu) dan seterusnya di kawasan lain sepanjang minggu, manakala Ahad dikhususkan sebagai hari rehat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng turut menyatakan penghargaan beliau selepas mengunjungi gerai lelaki itu baru-baru ini.

“Yong tau foo ini adalah warisan tempatan yang saya nikmati sejak remaja lagi. Air Itam dan Pulau Pinang kaya dengan tradisi kulinari unik, jadi penting untuk memelihara warisan seperti ini agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Dengan keazaman untuk memelihara dan meneruskan resipi keluarganya, Kong Yeow bukan sahaja menjaga kelangsungan perniagaan, tetapi juga melindungi legasi keluarga yang dibina sejak bertahun-tahun lalu. — TheStar/BERNARD SEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram