
PENDUDUK Taman Indah Perdana di Kepong, Kuala Lumpur tidak berpuas hati dengan keadaan semasa melibatkan proses menaik taraf padang di kawasan kejiranan mereka.
Aktivis sosial, Yee Poh Ping berkata, penduduk mencadangkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk membina tempat letak kereta di bahagian luar padang bagi menampung kira-kira 300 kediaman di kawasan berkenaan.
"Namun, perkembangan kerja yang dijalankan ketika ini jelas menunjukkan kawasan tempat letak kereta tidak diluaskan sehingga ke hujung padang," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] MARA bantu pelajar cemerlang tercicir MRSM, terlepas ujian sebab tiada kenderaan
BACA LAGI: 47 pelajar keracunan di MRSM Terendak terima rawatan, punca masih disiasat
Penduduk juga menyatakan, mereka tidak melihat keperluan untuk memasang pagar anti panjat disebabkan langkah keselamatan sedia ada di kawasan itu sudah mencukupi.
Lebih 30 penduduk hadir semasa sidang media yang dijalankan oleh Poh Ping dalam usaha mengetengahkan isu-isu berbangkit.
Dalam perkembangan sama, kerja-kerja naik taraf padang itu dijangka siap pada 25 November.
Padang tersebut juga mempunyai kemudahan seperti gimnasium luar, gelanggang bola keranjang dan badminton.
Pada 24 Julai 2023, StarMetro melaporkan bahawa penduduk memohon ruang parkir penduduk disebabkan ada pemandu yang terpaksa meletakkan kereta di atas padang.
Menurut salah seorang penduduk berusia 48 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Leow, setiap rumah di Taman Indah Perdana kebiasaannya mempunyai dua atau tiga kereta.
"Namun ruang parkir yang disediakan tidak mencukupi. Ini akan menyebabkan orang terus meletakkan kereta di atas mahupun sekitar padang.
“Mereka sepatutnya meluaskan tempat letak kereta ke hujung padang sebelum projek ini disiapkan,” katanya sambil menambah terdapat perbezaan antara cadangan asal dengan pelaksanaannya.
Sementara itu, seorang penduduk, Choo Kok Pooi turut menyatakan kebimbangannya terhadap keadaan padang sekarang.
“Pokok-pokok di sekitar padang ditebang, meninggalkan sisa-sisa dahan dan ranting yang perlu dibersihkan.
"Semua laluan pejalan kaki menuju ke padang juga dirobohkan," ujarnya.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Chong pula menjelaskan, meskipun kerja menaik taraf saliran di sepanjang Jalan Perdana 11 telah dilakukan, kawasan itu masih mengalami banjir, terutamanya pada pertengahan bulan lepas.
“Parit perlu didalamkan dan dilebarkan untuk memperbaiki aliran air dan mengelakkan air berpatah balik,” tambahnya. — The Star/MEGAT SYAHAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram