MISI doktor ini jelas. Mahu membantu masyarakat terutama wanita tanpa mengira demografi mencapai tahap kesihatan optimum menerusi kesejahteraan hormon.
Lebih sedekad mencurah bakti sebagai pengamal perubatan am, Dr Norhaslinda Mat Hassin, 48, kini memfokuskan kepada perubatan estetik, penuaan sihat dan regeneratif sejak 2013.
Graduan Ijazah Sarjana Bidang AntiPenuaan, Perubatan Regeneratif dan Estetik daripada Universiti UCSI, Kuala Lumpur itu berkata, kesejahteraan hormon adalah kunci kepada kehidupan cemerlang dan berkualiti.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Sehubungan itu, kesedaran tersebut mendorong beliau memperkenalkan Skyhill Clinic di Denai Alam, Shah Alam, Selangor pada 2019. Di klinik estetik berkenaan menawarkan terapi hormon bio-identik direka khusus mengikut keperluan individu.
Menurut Pengamal Hormon Lanjutan daripada International Hormone Society (IHS), Belgium di bawah didikan Dr Hertoghe lebih dikenali sebagai Father of Hormones itu turut menjelaskan, wanita sering alpa penjagaan kesihatan diri.
Pendedahan
Sikap semula jadi golongan Hawa sering mendahulukan keluarga antara faktor membuat wanita dibelenggu masalah membabitkan emosi, mental dan fizikal.
Pernah bertugas di beberapa hospital termasuk Hospital Universiti Kuala Lumpur (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya), Petaling Jaya, klinik kesihatan sekitar Klang dan Pulau Indah, Selangor, Dr Linda memberitahu, sehingga kini wanita masih kurang diberikan pendedahan berkaitan kepentingan penjagaan hormon.
“Secara umum, hormon dikaitkan dengan punca masalah haid tidak teratur atau jerawat pada wajah.
Skyhill Clinic beroperasi di Denai Alam, Shah Alam sejak 2019. — Instagram/skyhillclinic
“Sedangkan, ketidakstabilan hormon adalah punca kepada pelbagai permasalahan wanita termasuk obesiti,” katanya yang turut menyifatkan bahawa ketidakstabilan hormon memberi impak besar dalam kehidupan wanita.
Bicaranya, mengalami masalah gangguan hormon atau hipertiroid juga punca kulit kusam, jerawat atau jeragat.
Selain itu, gangguan hormon berpotensi mengakibatkan emosi menjadi tidak menentu, hilang keyakinan diri dan hilang keinginan bersama pasangan.
Tegasnya, ada segelintir wanita secara luaran kelihatan kuat dan cantik, tetapi emosi mereka sebenarnya sering terganggu. Oleh itu, rawatan pemeriksaan hormon membantu mengatasi masalah dihadapi.
Berkongsi lanjut mengenai pengalaman, anak kelahiran Pulau Pinang itu mula bergiat aktif dalam dunia perubatan hormon selepas dirinya berdepan masalah sama.
Meskipun memiliki latar belakang dalam bidang perubatan, namun beliau juga tidak terkecuali.
Beliau pernah diiktiraf sebagai Wanita Ikon Negeri Pulau Pinang pada 2022. — Facebook/DrLinda Mat Hassin
Tekanan emosi
Masalah ketidakseimbangan hormon yang dialami 20 tahun lalu memberi kesan besar dalam hidup anak sulung daripada empat beradik berkenaan.
Menamatkan pengajian dalam bidang perubatan dan pembedahan sekitar 2000, kesibukan bekerja membawa kepada tekanan emosi melampau dan obesiti.
“Saya rasa tidak bertenaga, kerap letih, emosi kurang stabil, rambut gugur dan banyak lagi.
“Selepas menjalani pemeriksaan, keadaan kesihatan saya direkodkan bagus, walhal dalam diri saya tahu ada tidak kena,” jelasnya yang diiktiraf sebagai Wanita Ikon Negeri Pulau Pinang pada 2022.
Bermula detik itu, Dr Linda mula mencari jawapan kepada permasalahan dialami sehingga membawanya kepada penemuan kesejahteraan hormon.
Tanpa modal besar sewaktu dunia dibadai pandemik Covid-19, beliau nekad untuk menyumbang semula kepada masyarakat menerusi kepakaran diperoleh.
“Alhamdulillah, semakin ramai wanita mula sedar akan kepentingan penjagaan dan kesejahteraan hormon berterusan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram