
MENGUSAHAKAN perniagaan char kuey teow di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) sejak sembilan tahun lalu, Kuala Lumpur, Idora Junid, 34, menceburi sektor perniagaan makanan dan minuman (F&B) selepas berhenti kerja pada 2014.
Ditanya, mengapa char kuey teow? Sebagai peminat tegar sajian itu, Idora bersama suami tercinta sering menghabiskan masa menerokai pelbagai lokasi hanya untuk menikmati keenakan char kuey teow.
Namun, terdapat beberapa ketika pasangan ini terpaksa pulang dengan rasa kecewa disebabkan rasa hidangan tersebut tidak menepati selera mereka, menyebabkan terlintas di fikirannya untuk menjual sendiri makanan itu.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Idora menjual dua jenis char kuey teow iaitu versi basah dan kering.
"Saya gemar makan char kuey teow, tapi ada masanya rasa makanan itu tidak seperti yang diharapkan. Jadi saya terfikir, kenapa tidak saya buat sendiri dan jual? Lebih puas hati,” katanya kepada Majoriti.
Kongsi Idora lagi, idea untuk menjalankan bisnes makanan yang popular di Malaysia dan Singapura itu juga tercetus selepas melihat seorang kenalannya berjaya mengusahakan perniagaan char kuey teow di Pulau Pinang.
"Kebetulan, kawan menawarkan untuk berkongsi resipi asli char kuey teow Pulau Pinang, tetapi saya membuat sedikit modifikasi, yang disesuaikan dengan selera masyarakat setempat.
"Malah char kuey teow kami juga langsung tidak menggunakan bahan perasa tambahan, MSG (monosodium glutamate).
"Saya membuat RnD (penyelidikan dan pembangunan) dalam tempoh sebulan memulakan untuk menghasilkan rasa sos yang sesuai.
"Di sini juga kita memperkenalkan dua variasi char kuey teow iaitu basah dan kering dengan tetapi kedua-duanya menggunakan sos yang sama," ujarnya yang memulakan tapak gerai tepi jalan pertama di Kota Damansara, sebelum berpindah ke TTDI.
Char kuey teow hasil air tangan Idora semakin dikenali terutamanya dalam kalangan penduduk setempat.
Wanita berasal dari Gombak, Selangor itu mengakui, perjalanan di TTDI tidak mudah, terutama ketika permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun halangan, terutama dari segi peraturan yang ketat, tidak mematahkan semangat Idora untuk kekal bertahan sehingga ke hari ini.
Hasilnya kini, selepas hampir sedekad berniaga di lokasi berkenaan, usahawan itu bukan sahaja sudah dikenali dengan bisnes char kuey teow miliknya, malah turut berjaya melancarkan jualan roti john sejak tahun lalu dan terbaharu cream caramel.
Memulakan bisnes dengan modal permulaan hampir RM2,000, Idora mengembangkan perniagaannya dengan dibantu suami secara berperingkat.
"Untuk permulaan kami beli khemah kecil dan meja banquet atau meja lipat, kemudian menambah barangan lain sedikit demi sedikit," ujar pemegang Diploma Reka Bentuk Pengiklanan dari Kolej Universiti SEGI Kota Damansara.
Idora mempelajari cara pembuatan sos char kuey teow daripada rakannya.
Berbekalkan prinsip kualiti mengatasi kuantiti, Dora berusaha memberikan yang terbaik kepada pelanggannya, dengan meletakkan dirinya sebagai pelanggan.
Setiap hidangan dihasilkan dengan bahan berkualiti termasuk menggunakan telur gred A dan kerang segar serta bersaiz besar.
"Kalau bayar mahal, saya menjangkakan sesuatu yang bagus dan itulah yang saya berikan kepada pelanggan saya,” tuturnya yang pernah berkhidmat di bawah myStarjob, Star Media Group dalam bahagian pemasaran itu.
Walaupun perniagaan ini bermula dari kecil, Dora membuktikan bahawa dengan tekad dan usaha gigih, perniagaan makanan boleh menjadi sangat menguntungkan.
Idora mengambil masa kira-kira sebulan untuk menjalankan RnD bagi menghasilkan rasa sos yang sesuai.
Khemah koyak
Berkongsi tentang cabaran yang ditempuhi sepanjang mengendalikan tapak gerai itu, Idora memberitahu, kenaikan kos barangan dan ketidaktentuan cuaca memainkan peranan penting dalam hasil jualan char kuey teow jenama Mouthfull.
Bercerita lanjut, ujarnya, cuaca buruk dengan hujan lebat berserta angin kencang dan ribut yang melanda kawasan perniagaannya baru-baru ini mengakibatkan khemahnya koyak.
"Semasa sedang berniaga, hujan lebat tiba-tiba lebat, ditambah angin kuat disebabkan kawasan tapak niaga kami adalah laluan angin, jadi tak sempat nak rendahkan khemah, sudah kena angin kuat. Habis khemah terkoyak.
"Situasi tersebut menyebabkan gerai tidak boleh beroperasi selama dua hari kerana kami sibuk membeli barang-barang baharu bagi menggantikan yang rosak, dengan anggaran lebih RM500.
"Jadi kami terpaksa membuang sos yang dihasilkan begitu sahaja. Disebabkan kami tidak menggunakan MSG dalam bahan masakan, jadi ia tidak boleh disimpan dalam tempoh yang lama untuk mengekalkan kualiti rasa buat semua pelanggan," katanya sambil memberitahu mendapatkan bekalan telur dan minyak masak juga menjadi antara cabaran yang perlu ditanggung demi memastikan operasinya berjalan lancar.
Tampil dengan slogan 'Rasa bintang lima harga kaki lima', Idora ingin memberi gambaran bahawa setiap individu boleh menikmati keenakan makanan persis hotel bertaraf lima bintang, dengan harga yang berpatutan.
Selain menyediakan char kuey teow untuk anek majlis dan festival, wanita itu turut menyimpan hasrat untuk menawarkan perkhidmatan katering bergerak untuk menarik lebih ramai pelanggan baharu mengenali jenama Mouthfull. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram